Surah 8: Al-Anfal (15 – 16)

Larangan Melarikan Diri dari Peperangan

Surah 8: Al-Anfal (15 – 16)


Ayat 15

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ زَحْفًا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلْأَدْبَارَ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.

Ayat 16

وَمَن يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍ دُبُرَهُۥٓ إِلَّا مُتَحَرِّفًا لِّقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَىٰ فِئَةٍ فَقَدْ بَآءَ بِغَضَبٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.

Allah Ta’ala mengancam dengan api neraka bagi sesiapa yang lari dari pertempuran pada ketika tercetusnya peperangan dengan orang-orang kafir kecuali mereka yang berpatah balik untuk melakukan tipu muslihat atau sebagai strategi peperangan, seperti memperlihatkan kepada musuh ketika itu dia seolah-olah lari ke belakang, padahal akan kembali menyerang atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain agar lebih mudah untuk memerangi musuh.

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda:

“Hindari tujuh perbuatan dosa yang membinasakan.” Para sahabat bertanya, “Apakah tujuh perbuatan itu?” Baginda menjawab, “(1) Menyekutukan Allah (syirik), (2) melakukan sihir, (3) membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan syariatNya), (4) memakan riba, (5) memakan harta anak yatim, (6) melarikan diri dari medan perang dan (7) menuduh berzina terhadap perempuan yang beriman, yang suci dan lalai daripada perbuatan keji.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan bahawa melarikan diri daripada peperangan selain hal-hal yang dibenarkan adalah haram dan merupakan dosa besar.