Surah 8: Al-Anfal (1)

Hukum Pembahagian Harta Rampasan Perang

Surah 8: Al-Anfal (1)


Ayat 1

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَنفَالِ ۖ قُلِ ٱلْأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

Ayat ini membicarakan persoalan harta rampasan perang oleh kaum muslimin setelah selesainya perang Badar. Perang ini berakhir dengan kemenangan kaum muslimin. Mereka memperoleh harta rampasan perang yang banyak.

Al-Anfal (Al-Ghanimah) ialah semua harta yang diperoleh kaum muslimin daripada musuh dalam medan pertempuran. Harta rampasan perang dinamakan Al-Anfal (bentuk jamak daripada Nafal) kerana harta-harta ini menjadi harta kekayaan kaum muslimin.

Setelah kaum muslimin memperoleh harta rampasan perang itu, terjadilah perselisihan pendapat di antara mereka yang ikut berperang sehingga mereka hampir kehilangan akhlak yang mulia ketika memperdebatkannya. Perselisihan itu adalah tentang cara-cara pembahagiannya dan pihak mana yang berhak mendapatkannya. Pihak pemuda atau pihak orang-orang tua, pihak-pihak orang Muhajirin atau pihak Ansar, atau adakah masing-masing pihak sama-sama mendapat bahagian. Persoalan itu dibawa kepada Rasulullah saw agar mendapat keputusan yang adil.

Pada akhir ayat, Allah Ta’ala menegaskan bahawa kaum muslimin wajib mentaatiNya dan RasulNya serta ketentuanNya. Ini kerana Dia lah Rabb sekalian alam dan Maha Berkuasa, Dia memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang boleh menghalangnya.

Apabila masalah harta rampasan perang merupakan hak Allah Ta’ala dan RasulNya, maka takutlah kepadaNya dalam setiap perkataan dan perbuatan dan jauhilah segala bentuk perselisihan dan sengketa dalam masalah tersebut yang akan menyebabkan kemurkaan Allah Ta’ala. Perselisihan ini juga boleh menyebabkan perpecahan dan permusuhan yang merugikan orang-orang Islam.

Oleh itu, segala ketentuan Allah Ta’ala wajib diterima dengan redha. Manakala ketaatan kepada Rasul dalam urusan agama bererti taat kepadaNya kerana Rasul menyampaikan agamaNya dan memberikan penjelasan melalui perkataan, perbuatan dan keputusannya.

Ada beberapa riwayat tentang sebab turunnya ayat ini, antaranya, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sa’ad bin Malik, dia berkata, “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, Allah swt telah menyelamatkanku pada hari ini daripada orang-orang musyrik, maka berikanlah kepadaku pedang ini!’” Maka Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya pedang ini bukan untukmu dan bukan juga untukku, letakkanlah!” Sa’ad berkata, “Maka aku letakkan pedang itu. Kemudian aku kembali, lalu aku berkata (dalam hatiku), ‘Mungkin pedang ini akan diberikan kepada orang yang tidak mendapat ujian seperti diriku?’” Sa’ad berkata, “Tiba-tiba ada seorang lelaki memanggilku dari belakang.” Sa’ad berkata, “Aku bertanya, ‘Apakah Allah telah menurunkan sesuatu berkenaan dengan diriku?’” Lelaki itu (Rasulullah saw) berkata, “Engkau tadi meminta kepadaku pedang ini padahal ia bukanlah milikku dan sesungguhnya sekarang pedang ini telah diberikan kepadaku, jadi pedang ini aku berikan kepadamu.” Sa’ad berkata, “Dan Allah telah menurunkan ayat ini, ‘Mereka bertanya kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang, katakanlah harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul.’”

(HR. Ahmad)