Bukti Kekuasaan Penciptaan Allah Swt
Surah 79: An-Nazi’at (27 – 33)
Ayat 27
ءَأَنتُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمِ ٱلسَّمَآءُ ۚ بَنَىٰهَا
Apakah kamu lebih sukar penciptaannya atau apakah langit? Allah telah membinanya.
Allah Swt mengemukakan pertanyaan secara mengejek kepada orang-orang yang mengingkari Hari Kebangkitan, iaitu hari dihidupkan-Nya kembali semua makhluk sesudah penciptaan pada kali pertama. Bukankah penciptaan langit yang begitu tinggi, kukuh tanpa tiang dan dihiasi indah dengan bintang-bintang lebih sukar daripada menciptakan manusia? Sudah pasti penciptaan langit lebih sukar penciptaannya daripada penciptaan mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia……….”
Ghafir 40:57
“Dan bukankah (Allah) yang menciptakan langit dan bumi, maka sesungguhnya Dia mampu menciptakan kembali jasad mereka yang sudah hancur itu? Dia Maha Pencipta, lagi Maha Mengetahui.”
Yasin 36:81
Ayat 28
رَفَعَ سَمْكَهَا فَسَوَّىٰهَا
Dia telah meninggikan binaannya lalu menyempurnakannya.
Kemudian Allah Swt menjelaskan sifat penciptaan langit. Dia menjadikan langit pada kedudukan yang sangat tinggi dan sempurna, diterangi dengan bintang-bintang tanpa sebarang kecacatan sedikitpun.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu tidak akan lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu yang cacat dan (penglihatanmu) dalam keadaan letih.”
Al-Mulk 67:3-4
Ayat 29
وَأَغْطَشَ لَيْلَهَا وَأَخْرَجَ ضُحَىٰهَا
Dan Dia menjadikan malamnya (gelap gelita), dan menjadikan siangnya (terang benderang).
Ayat ini menyatakan bahawa Allah Swt menjadikan gelap pada waktu malam dan terang pada waktu siang dengan cahaya matahari. Dia juga menjadikan pergantian malam dan siang serta perubahan cuaca sesuai untuk kehidupan dan tempat tinggal.
Langit amat luas dihiasi pula dengan bintang-bintang pada malam yang gelap dan siangnya terang bercahaya.
Ayat 30
وَٱلْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَىٰهَآ
Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya.
Allah Swt menghamparkan bumi yang luas ini untuk memudahkan manusia menjalani kehidupan di atasnya. Mereka juga dimudahkan untuk melakukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan juga melakukan pekerjaan.
Ayat 31
أَخْرَجَ مِنْهَا مَآءَهَا وَمَرْعَىٰهَا
Dia memancarkan daripadanya mata airnya, dan (menumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya.
Kemudian Allah Swt mencipta air sebagai sumber kehidupan manusia dan haiwan. Dia bukan sahaja menurunkan air hujan dari langit tetapi juga mengeluarkannya dari bumi dalam bentuk mata air. Daripada air itu, Dia mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk kegunaan manusia dan haiwan di muka bumi ini.
Ayat 32
وَٱلْجِبَالَ أَرْسَىٰهَا
Dan gunung-gunung dipasakkan-Nya dengan teguh.
Allah Swt menjadikan gunung-gunung sebagai pasak untuk menetapkan dan mengukuhkan bumi. Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada makhluk-Nya.
Ayat 33
مَتَـٰعًا لَّكُمْ وَلِأَنْعَـٰمِكُمْ
(Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.
Segala apa yang ada di atas bumi ini adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia dan haiwan ternakan. Ini semua menunjukkan kemampuan Allah Swt, ilmu, hikmah dan rahmat-Nya di muka bumi dan di langit serta keagungan-Nya.
Namun masih terdapat manusia yang mengingkari kemampuan-Nya menghidupkan kembali manusia supaya diminta pertanggungjawab dan menerima balasan. Sesungguhnya hal ini patut disyukuri dan bukan diingkari, tetapi manusia itu sangat zalim lagi kufur.