Surah 79: An-Nazi’at (15 – 26)

Kisah Nabi Musa as dan Firaun

Surah 79: An-Nazi’at (15 – 26)


Ayat 15

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) kisah Musa?

Allah Swt menceritakan kepada Rasululullah saw kisah Nabi Musa as yang telah diutuskan-Nya kepada Firaun. Meskipun Dia menguatkan Nabi Musa as dengan mukjizat-mukjizat, namun Firaun tetap mengingkari semua bukti tersebut dan tetap pada kekafirannya serta bertindak melampaui batas. Lalu Dia mengazabnya dengan menenggelamkannya ke dalam laut.

Ayat ini merupakan pengubat hati buat Rasulullah saw kerana bukan risalah baginda sahaja yang didustakan malah berlaku juga kepada para nabi yang terdahulu. Ini juga merupakan ancaman kepada kaum baginda kerana Dia akan mengazab orang-orang yang melampaui batas dan mendustakan apa yang disampaikan oleh baginda sama seperti yang Dia lakukan terhadap Firaun dan kaumnya.

Ayat 16

إِذْ نَادَىٰهُ رَبُّهُۥ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى

Ketika Rabbnya memanggilnya (Musa) di lembah suci iaitu Lembah Tuwa.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memanggil Nabi Musa as untuk berbicara secara langsung dengan-Nya di Lembah Tuwa.

Ayat 17

ٱذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ

“Pergilah engkau kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.

Lalu Allah Swt memerintahkan Nabi Musa as bertemu Firaun yang membangkang lagi sombong.

Ayat 18

فَقُلْ هَل لَّكَ إِلَىٰٓ أَن تَزَكَّىٰ

Dan katakanlah (kepada Firaun), ‘Adakah keinginanmu untuk membersihkan diri (daripada kesesatan)?’

Ini adalah seruan pertama yang perlu disampaikan oleh Nabi Musa as kepada Firaun iaitu mengajaknya kepada agama Allah Swt dengan menyucikan dirinya dan berserah diri serta taat kepada-Nya.

Ayat 19

وَأَهْدِيَكَ إِلَىٰ رَبِّكَ فَتَخْشَىٰ

Dan engkau akan kupimpin ke jalan Rabbmu agar engkau takut kepada-Nya?”

Allah Swt juga memerintahkan Nabi Musa as mengatakan kepada Firaun bahawa baginda akan menunjukkan cara beribadah kepada-Nya. Dengan demikian diharapkan agar hati Firaun yang sebelumnya keras, jahat dan jauh daripada kebaikan akan menjadi khusyuk dan tunduk patuh kepada-Nya.

Ayat 20

فَأَرَىٰهُ ٱلْـَٔايَةَ ٱلْكُبْرَىٰ

Lalu (Musa) menunjukkan kepadanya mukjizat yang besar.

Di samping berdakwah dengan seruan yang benar, Nabi Musa as juga memperlihatkan kepadanya bukti-bukti yang kuat dan dalil yang jelas atas kebenaran risalah yang dibawanya dari sisi Allah Swt.

Ayat 21

فَكَذَّبَ وَعَصَىٰ

Tetapi dia (Firaun) mendustakannya dan menderhakai.

Namun Firaun mendustakan kebenaran itu dan melanggar perintah Allah Swt. Firaun tetap kafir, tidak mahu menerima apa yang disampaikan oleh Nabi Musa as, baik secara batin mahupun secara zahir. Padahal dia mengetahui bahawa apa yang disampaikan oleh baginda kepadanya adalah perkara yang benar, tetapi hal ini tidak menjadikannya beriman kepada baginda.

Ayat 22

ثُمَّ أَدْبَرَ يَسْعَىٰ

Kemudian dia berpaling lalu berusaha menentang (Musa).

Ayat 23

فَحَشَرَ فَنَادَىٰ

Kemudian dia mengumpulkan orang-orangnya lalu menyeru.

Firaun menentang kebenaran dengan mengumpulkan tukang sihir untuk melawan mukjizat Nabi Musa as. Firaun juga mengumpulkan semua pembesar-pembesarnya di hadapannya untuk dia menyampaikan seruan dan dakwaannya.

Ayat 24

فَقَالَ أَنَا۠ رَبُّكُمُ ٱلْأَعْلَىٰ

(Seraya) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.”

Allah Swt mengatakan Firaun mengaku di hadapan mereka bahawa dialah tuhan yang paling tinggi.

Ada pendapat mengatakan bahawa kalimah ini telahpun diucapkan oleh Firaun setelah 40 tahun dia mengatakan, “Aku tidak mengetahui ada tuhan bagimu selain aku,” dalam ayat 38 Surah Al-Qasas.

Ayat 25

فَأَخَذَهُ ٱللَّهُ نَكَالَ ٱلْـَٔاخِرَةِ وَٱلْأُولَىٰٓ

Maka Allah mengazabnya dengan azab di akhirat serta seksaan di dunia.

Ayat 26

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّمَن يَخْشَىٰٓ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Rabbnya).

Lalu Allah Swt menghukum Firaun dengan menenggelamkannya ke dalam laut bersama-sama bala tenteranya. Dia menjadikan pada kisah Nabi Musa as dan Firaun sebagai pelajaran bagi orang-orang yang takut kepada-Nya dan azab-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu juga) pada Hari Kiamat. (Laknat) itulah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.”

Hud 11:99