Kekuasaan Allah Swt Menciptakan Alam sebagai Bukti Kekuasaan-Nya Membangkitkan Makhluk-Nya pada Hari Kiamat
Surah 78: An-Naba’ (6 – 16)
Ayat 6
أَلَمْ نَجْعَلِ ٱلْأَرْضَ مِهَـٰدًا
Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan?
Dalam ayat ini dan ayat-ayat seterusnya, Allah Swt menyebutkan beberapa perkara yang menjadi bukti bahawa Dia berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Ini termasuk mengadakan Hari Kebangkitan dan sebagainya. Antaranya ialah:
▪️ Kejadian bumi.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menghamparkan bumi dan menjadikannya layak untuk didiami oleh semua makhluk-Nya di bumi.
Ayat 7
وَٱلْجِبَالَ أَوْتَادًا
Dan gunung-gunung sebagai pasak?
▪️ Dijadikan gunung-gunung yang kukuh sebagai pasak bumi.
Allah Swt juga menjadikan gunung-gunung pada bumi sebagai pasak-pasak untuk menstabilkan dan mengukuhkannya sehingga bumi tidak bergoncang. Dengan demikian manusia dan makhluk-Nya yang lain di atasnya sentiasa tenang.
Ayat 8
وَخَلَقْنَـٰكُمْ أَزْوَٰجًا
Dan Kami jadikan kamu berpasang-pasangan.
▪️ Penciptaan manusia yang berpasang-pasangan.
Allah-lah yang menjadikan manusia berpasang-pasangan, ada lelaki dan ada perempuan sehingga terbentuklah keturunan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan-Nya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang……….”
Ar-Rum 30:21
Ayat 9
وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا
Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat.
▪️ Waktu malam untuk berehat.
Allah Swt menjadikan tidur supaya manusia dapat beristirahat daripada segala kesibukan dan mencari rezeki pada siang hari. Ini bertujuan supaya tubuh mereka menjadi segar kembali.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia-lah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirahat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.”
Al-Furqan 25:47
Ayat 10
وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِبَاسًا
Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian.
▪️ Suasana malam dijadikan sebagai pakaian atau tabir.
Allah Swt menjadikan suasana malam itu sebagai pakaian atau tabir menutup pandangan mata manusia sama seperti pakaian yang menutup tubuh.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Demi malam apabila menutupinya.”
Asy-Syams 91:4
Ayat 11
وَجَعَلْنَا ٱلنَّهَارَ مَعَاشًا
Dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan.
▪️ Waktu siang untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Allah Swt menjadikan siang terang benderang agar manusia dapat melakukan aktiviti kehidupan dengan bekerja bagi mencari rezeki dan melakukan pelbagai urusan yang lain.
Ayat 12
وَبَنَيْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعًا شِدَادًا
Dan Kami bina di atas kamu tujuh lapis (langit) yang kukuh.
▪️ Penciptaan tujuh lapis langit.
Allah Swt menjadikan tujuh lapis langit dengan segala keluasannya, ketinggiannya, kekukuhannya dan kecanggihannya serta hiasannya yang dipenuhi dengan bintang-bintang, baik yang tetap mahupun yang beredar.
Ayat 13
وَجَعَلْنَا سِرَاجًا وَهَّاجًا
Dan Kami jadikan pelita yang amat terang (matahari).
▪️ Matahari sebagai pelita yang cahayanya menyinari seluruh alam semesta.
Sesungguhnya Allah Swt menjadikan matahari yang cahayanya menerangi seluruh alam dan terlalu banyak manfaatnya sinaran matahari itu kepada seluruh manusia.
Ayat 14
وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلْمُعْصِرَٰتِ مَآءً ثَجَّاجًا
Dan Kami turunkan daripada awan, air yang banyak tercurah.
▪️ Awan yang mengandungi hujan.
Allah Swt memberitahu bahawa Dia-lah yang menjadikan awan yang mengandungi air. Dia-lah juga yang mengawal awan dan menentukan di manakah akan diturunkan sebagai hujan dan berapa kadarnya. Ini menunjukkan bahawa semua makhluk-Nya bergantung kepada kekuasaan-Nya.
Ayat 15
لِّنُخْرِجَ بِهِۦ حَبًّا وَنَبَاتًا
Supaya Kami tumbuhkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan.
Kemudian dengan air itu tumbuhlah pelbagai jenis tanaman yang menghasilkan biji-bijian, buah-buahan, juga rumput dan sayur-sayuran. Semuanya menjadi sumber makanan manusia dan haiwan ternakan.
Ayat 16
وَجَنَّـٰتٍ أَلْفَافًا
Dan kebun-kebun yang lebat.
Selain itu dengan air hujan segala jenis tanaman dan tumbuh-tumbuhan hidup dengan subur menjadi taman-taman atau kebun yang lebat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian yang berhampiran, kebun-kebun anggur, tanam-tanaman, pohon kurma yang bercabang, dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama, tetapi Kami melebihkan rasa sesuatu tanaman daripada yang lainnya……….”
Ar-Ra’d 13:4
Allah-lah yang telah menjadikan semua ciptaan-Nya itu dengan ilmu dan kekuasaan-Nya. Dengan kekuasaan-Nya itu Dia akan menghidupkan yang telah mati dan dengan kekuasaan-Nya juga Dia akan mengadakan Hari Perhitungan.