Surah 78: An-Naba’ (21 – 30)

Balasan Neraka Jahannam bagi Orang yang Melampaui Batas

Surah 78: An-Naba’ (21 – 30)


Ayat 21

إِنَّ جَهَنَّمَ كَانَتْ مِرْصَادًا

Sesungguhnya Neraka Jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai.

Ayat 22

لِّلطَّـٰغِينَ مَـَٔابًا

Lagi menjadi tempat kembali bagi orang-orang yang melampaui batas.

Allah Swt menyatakan bahawa Neraka Jahannam itu tempat kembali dan tempat tinggal yang telah dikhaskan kepada orang-orang yang derhaka, berbuat dosa dan menentang para rasul-Nya. Maksud tempat kembali adalah tempat terakhir bagi mereka.

Ayat 23

لَّـٰبِثِينَ فِيهَآ أَحْقَابًا

Mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya.

Mereka akan tinggal lama dan tidak ada penghujungnya, ertinya mereka kekal di neraka.

Ada juga pendapat yang menyebutkan bermaksud jangkamasanya adalah 80 tahun. Namun setiap hari di akhirat adalah bersamaan 1000 tahun mengikut kiraan waktu di dunia. Oleh itu, ia merupakan jangkamasa yang sangat lama sehingga tidak terhitung, kecuali jika Allah menghendaki yang lain (untuk orang-orang yang bertauhid).

Ayat 24

لَّا يَذُوقُونَ فِيهَا بَرْدًا وَلَا شَرَابًا

Mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman.

Di dalam Neraka Jahannam, mereka tidak menemukan hal yang mendamaikan hati, tidak juga mendapat minuman yang baik buat mengisi perut mereka.

Ayat 25

إِلَّا حَمِيمًا وَغَسَّاقًا

Selain air yang mendidih dan nanah.

Abul ‘Aliyah mengatakan bahawa ini merupakan lawan daripada kesejukan iaitu diganti dengan air yang mendidih, manakala minuman yang enak diganti dengan nanah.

Yang dimaksudkan dengan ‎حَمِيمً ialah air yang panasnya telah mencapai puncak didihnya. Manakala yang dimaksudkan dengan غَسَّاقً ialah campuran nanah, keringat, air mata dan yang keluar dari luka-luka ahli neraka, di mana baunya yang busuk tidak dapat ditahan. Semoga Allah Swt melindungi kita daripada hal tersebut berkat kurniaan dan kemurahan-Nya. Allahumma aamiin!

Ayat 26

جَزَآءً وِفَاقًا

Sebagai pambalasan yang setimpal.

Seksaan yang sedang mereka alami ini merupakan balasan terhadap amal perbuatan buruk mereka selama mereka berada di dunia.

Ayat 27

إِنَّهُمْ كَانُوا۟ لَا يَرْجُونَ حِسَابًا

Sesungguhnya mereka tidak berharap (takut) kepada hisab.

Sesungguhnya ketika di dunia dahulu mereka telah melakukan dosa dan tidak menginginkan pahala. Ini kerana mereka sama sekali tidak percaya bahawa akan ada kehidupan lain di akhirat dan ada balasan amal perbuatan mereka selepas menjalani hisab.

Ayat 28

وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا كِذَّابًا

Dan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dengan bersungguh-sungguh.

Mereka benar-benar mendustakan hujah-hujah Allah Swt dan bukti-bukti kebenaran-Nya yang Dia turunkan kepada para rasul-Nya.

Ayat 29

وَكُلَّ شَىْءٍ أَحْصَيْنَـٰهُ كِتَـٰبًا

Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam suatu kitab.

Sesungguhnya Allah Swt mengetahui amal perbuatan semua hamba-Nya dan semuanya telah tercatat dalam buku amalan masing-masing. Maka Dia akan membalasnya, jika baik maka balasannya baik dan jika buruk maka balasannya buruk pula.

Ayat 30

فَذُوقُوا۟ فَلَن نَّزِيدَكُمْ إِلَّا عَذَابًا

Oleh itu rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain azab.

Ini adalah ancaman yang keras kepada penduduk neraka. Mereka akan sentiasa mendapat tambahan seksaan selama-lamanya.