Surah 78: An-Naba’ (17 – 20)

Hari Keputusan dan Kengerian Kiamat

Surah 78: An-Naba’ (17 – 20)


Ayat 17

إِنَّ يَوْمَ ٱلْفَصْلِ كَانَ مِيقَـٰتًا

Sesungguhnya Hari Keputusan itu adalah satu waktu yang telah ditetapkan.

Hari Kiamat juga dinamakan dengan Hari Keputusan kerana Allah Swt akan memberikan keputusan terhadap seluruh perkara bagi semua makhluk-Nya. Hari itu telahpun ditetapkan waktunya, tidak dilambatkan dan tidak pula dipercepatkan serta tiada seorang pun yang mengetahui waktunya melainkan Dia.

Waktu ini jugalah dikumpulkan orang-orang terdahulu hingga yang terakhir kerana Dia akan memberikan balasan kepada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Kami tidak akan menangguhkannya, kecuali ketika telah sampai waktu yang sudah ditentukan.”

Hud 11:104

Ayat 18

يَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ فَتَأْتُونَ أَفْوَاجًا

Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiupkan sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok.

Apabila sangkakala ditiup pada kali kedua, seluruh manusia akan bangkit dan datang secara berkumpulan ke Mahsyar. Ibnu Jarir mengatakan maksud ayat ini ialah setiap umat datang bersama dengan rasul masing-masing.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Ingatlah), suatu hari (yang pada hari itu) Kami memanggil setiap umat dengan pemimpinnya……….”

Al-Isra’ 17:71

Ayat 19

وَفُتِحَتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتْ أَبْوَٰبًا

Dan dibukalah langit, maka terdapat beberapa pintu.         

Lalu langit terpecah membentuk jalan-jalan atau jalur-jalur untuk turunnya para malaikat.

Ayat 20

وَسُيِّرَتِ ٱلْجِبَالُ فَكَانَتْ سَرَابًا

Dan dijalankan gunung-gunung, maka menjadilah ia fatamorgana.

Dalam ayat 7 surah ini diterangkan bahawa gunung-gunung itu dijadikan oleh Allah Swt sebagai pasak bumi. Dalam ayat ini pula, Dia menyatakan bahawa gunung-gunung itu akan dihancurkan menjadi rata.

Maksud ayat, “Maka menjadilah ia fatamorgana,” ialah terbayang oleh mata bahawa ia adalah nyata padahal tiada. Setelah itu ia menghilang tanpa bekas.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka ia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan………….”

An-Naml 27:88

“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang gunung-ganang, maka katakanlah, ‘Rabbku akan menghancurkannya pada Hari Kiamat dengan sehancur-hancurnya. Kemudian Dia akan menjadikan bekas gunung-ganang itu rata sama sekali.’”

Taha 20:105-106

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami menerbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat bumi itu rata……….”

Al-Kahfi 18:47