Surah 77: Al-Mursalat (20 – 24)

Proses Penciptaan Manusia

Surah 77: Al-Mursalat (20 – 24)


Ayat 20

أَلَمْ نَخْلُقكُّم مِّن مَّآءٍ مَّهِينٍ

Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani)?

Allah Swt menegaskan tentang nikmat yang telah dikurniakan kepada manusia berdalilkan penciptaan pertama untuk meyakinkan bahawa Dia berkuasa membangkitkan mereka hidup kembali. Dia-lah yang telah menciptakan manusia daripada air mani yang lemah lagi hina jika dibandingkan dengan kekuasaan-Nya yang sangat hebat.

Dalam hadis Qudsi, daripada Busr bin Jihasy, Allah Swt berfirman:

“Wahai manusia, bagaimanakah kamu dapat mengalahkan Aku sedangkan Aku yang telah menciptakan kamu daripada sesuatu seperti ini (air yang hina)?”

(HR. Ahmad)

Ayat 21

فَجَعَلْنَـٰهُ فِى قَرَارٍ مَّكِينٍ

Kemudian Kami letakkan ia di dalam tempat yang kukuh (rahim).

Ayat 22

إِلَىٰ قَدَرٍ مَّعْلُومٍ

Sampai waktu yang ditentukan.

Kemudian air mani yang hina dan lemah itu dikumpulkan dalam rahim iaitu tempat air mani lelaki dan air mani perempuan bercampur. Ia direkabentuk khusus oleh Allah Swt untuk memelihara percampuran tersebut. Campuran ini pula disimpan sehingga waktu tertentu, iaitu antara 6 bulan hingga 9 bulan.

Ayat 23

فَقَدَرْنَا فَنِعْمَ ٱلْقَـٰدِرُونَ

Lalu Kami tentukan (bentuknya), maka Kami-lah sebaik-baik yang menentukan.

Allah Swt menjadikan setiap keadaan sesuai dengan sifat yang diinginkan-Nya. Dia-lah sebaik-baik yang menentukan.

Allah Swt yang tentukan dan tempatkan janin itu dalam kegelapan-kegelapan dan Dia mengubah bentuknya daripada air mani menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging sehingga menjadi jasad, lalu ditiupkan roh kepadanya, dan di antara mereka ada yang mati sebelum itu. Ketentuan-Nya itu selari dengan kebijaksanaan-Nya dan Dia-lah yang berhak mendapatkan pujian.

Ayat 24

وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُكَذِّبِينَ

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

Kemudian Allah Swt menyatakan celakalah orang-orang yang kufur kepada Hari Pembalasan. Ini kerana mereka mendustakannya setelah Dia menerangkan kepada mereka ayat-ayat-Nya dan memperlihatkan pelbagai pelajaran serta bukti-bukti yang jelas.