Balasan terhadap Orang yang Kafir dan Orang yang Taat
Surah 76: Al-Ihsan (4 – 12)
Ayat 4
إِنَّآ أَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ سَلَـٰسِلَا۟ وَأَغْلَـٰلًا وَسَعِيرًا
Sesungguhnya, Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.
Orang-orang kafir akan diseret ke neraka yang sedang menyala-nyala dalam keadaan kedua-dua tangan mereka dibelenggu ke leher. Inilah azab yang telah disiapkan untuk sesiapa sahaja yang memilih jalan kesesatan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, lalu mereka diheret ke dalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar dalam api.”
Ghafir 40:71-72
Ayat 5
إِنَّ ٱلْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا
Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur.
Ayat 6
عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ ٱللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا
(Iaitu) mata air (di dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang beriman yang berbuat kebajikan kerana taat dan ikhlas kepada-Nya akan diberikan minuman kafur.
Kafur adalah nama mata air di syurga yang airnya dingin, putih dan baunya wangi serta sangat enak rasanya. Mereka dapat mengalirkan air dari mata air itu menurut kehendak mereka ke tempat-tempat tinggal mereka.
Orang-orang yang berbuat baik akan diberikan minuman ini dan ditambah lagi dengan kenikmatan-kenikmatan lain di syurga.
Ayat 7
يُوفُونَ بِٱلنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُۥ مُسْتَطِيرًا
Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.
Kemudian Allah Swt menyebutkan sebab-sebab mereka diberikan penghormatan dan ganjaran yang baik iaitu:
▪️ Menunaikan apa yang mereka wajibkan (nazar) atas diri mereka sendiri.
Nazar pada hakikatnya ialah perbuatan ketaatan yang diwajibkan oleh seseorang kepada dirinya padahal jika dia tidak meniatkannya pun perkara itu tidak menjadi beban kepadanya.
Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda
“Barangsiapa bernazar (untuk melakukan) ketaatan kepada Allah maka taatlah (lakukanlah). Dan barangsiapa bernazar untuk maksiat kepada-Nya maka janganlah dilakukan.”
(HR. Al-Bukhari)
▪️ Meninggalkan perbuatan-perbuatan haram kerana takut terhadap buruknya perhitungan pada Hari Kiamat.
Ayat 8
وَيُطْعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.
▪️ Memberi makanan yang mereka sukai kepada fakir miskin, anak yatim dan tawanan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian daripada harta yang kamu cintai……….”
Ali ‘Imran 3:92
Rasulullah saw bersabda:
“Sedekah terbaik adalah yang engkau berikan ketika engkau sihat dan menyukai harta itu, mengharapkan kekayaan dan membenci kefakiran.”
(HR. Al-Bukhari)
Antara wasiat terakhir Rasulullah saw ialah:
“Jagalah solat dan berbuat baiklah kepada para hamba kalian.”
(HR. An-Nasa’i)
Ayat 9
إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَآءً وَلَا شُكُورًا
Sambil berkata, “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan dan tidak pula (ucapan) terima kasih.
Ayat 10
إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا
Sesungguhnya kami takut akan (azab) Rabb kami pada hari orang-orang berwajah masam penuh kesulitan.”
Segala kebaikan yang mereka lakukan hanyalah semata-mata mengharapkan balasan daripada Allah Swt dan juga mereka takut terhadap Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan.
Ayat 11
فَوَقَىٰهُمُ ٱللَّهُ شَرَّ ذَٰلِكَ ٱلْيَوْمِ وَلَقَّىٰهُمْ نَضْرَةً وَسُرُورًا
Maka Allah memelihara mereka daripada kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati.
Ayat 12
وَجَزَىٰهُم بِمَا صَبَرُوا۟ جَنَّةً وَحَرِيرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.
Oleh itu, Allah Swt melindungi mereka daripada kesusahan pada hari tersebut dan memberikan rasa aman dalam hati orang-orang yang berbuat kebaikan daripada apa yang mereka takutkan. Dia juga menjadikan wajah mereka jernih. Ini kerana jika hati gembira wajah pun menjadi berseri-seri.
Allah Swt menempatkan mereka di dalam syurga, iaitu tempat tinggal yang lapang, kehidupan yang sejahtera dan diberikan pakaian yang baik disebabkan kesabaran mereka.