Surah 76: Al-Ihsan (1 – 3)

Proses Penciptaan Manusia

Surah 76: Al-Ihsan (1 – 3)


Ayat 1

هَلْ أَتَىٰ عَلَى ٱلْإِنسَـٰنِ حِينٌ مِّنَ ٱلدَّهْرِ لَمْ يَكُن شَيْـًٔا مَّذْكُورًا

Bukankah pernah datang kepada manusia suatu masa, yang pada ketika itu belum merupakan sesuatu yang disebut (belum ada untuk dikenali)?

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang mencipta manusia daripada tiada kepada ada dan mereka tidak pernah disebut sebelumnya.

Ayat 2

إِنَّا خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَّبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَـٰهُ سَمِيعًۢا بَصِيرًا

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur antara benih lelaki dan benih perempuan yang melalui beberapa fasa sebelum sempurna kejadian.

Setelah itu, Allah Swt menyatakan Dia menguji hamba-hamba-Nya dengan perintah dan larangan-Nya. Oleh itu, Dia mengurniakan pendengaran dan penglihatan bagi membolehkan akal mereka memikirkan sama ada hendak menggunakan kedua-duanya untuk melakukan ketaatan ataupun kemaksiatan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya……….”

Hud 11:7

Ayat 3

إِنَّا هَدَيْنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا

Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.

Allah Swt menyatakan Dia telah memberikan penjelasan tentang jalan kebaikan dan jalan keburukan dengan diutuskan-Nya para rasul dan diberikan kitab-kitab agar manusia boleh membuat pilihan. Maka ada yang bersyukur sehingga mereka hidup bahagia dan ada pula yang kufur sehingga hidup sengsara.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.”

Al-Balad 90:10

“Dan adapun kaum Thamud, maka mereka telah Kami berikan petunjuk tetapi mereka lebih menyukai kebutaan (kesesatan) daripada petunjuk……….”

Fussilat 41:17

Daripada Abu Malik Al-Asy’ari, Rasulullah saw bersabda:

“Setiap orang pergi pada pagi hari, dia menjual dirinya. Maka ada yang menyelamatkan dirinya, dan ada pula yang membinasakannya.”

(HR. Muslim)