Surah 75: Al-Qiyamah (26 – 30)

Keadaan Manusia ketika Sakaratulmaut

Surah 75: Al-Qiyamah (26 – 30)


Ayat 26

كَلَّآ إِذَا بَلَغَتِ ٱلتَّرَاقِىَ

Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkong.

Allah Swt menceritakan keadaan yang mengerikan pada saat-saat menghadapi kematian (sakaratulmaut). Pada saat itu tidak ada seorang pun yang dapat mendustakan apa yang telah diberitakan sebelum ini. Ini kerana hal itu dapat disaksikan sendiri secara nyata.

Ketika itu roh benar-benar telah sampai di kerongkongan dan akan dicabut daripada jasad. Semoga Allah meneguhkan kita pada saat itu dengan kalimah yang teguh. Allahumma aamiin.

Ayat 27

وَقِيلَ مَنْ ۜ رَاقٍ

Dan dikatakan (kepadanya), “Siapakah yang dapat menyembuhkan?”

Waktu itu orang-orang yang berada di sekelilingnya menanyakan, siapakah yang dapat menyembuhkan orang yang hampir mati itu? Tentulah tidak ada sesiapa pun yang dapat menyembuhkannya. Malah tidak ada sesiapa pun yang dapat menahan rohnya keluar daripada jasadnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka mengapa (tidak menghalang) ketika (nyawa) telah sampai di kerongkongnya. Dan kamu ketika itu melihat. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat. Mengapa jika kamu memang tidak dikuasai (oleh Allah). Kamu tidak mengembalikannya (nyawa itu) jika kamu orang yang benar?”

Al-Waqi’ah 56:83-87

Ayat 28

وَظَنَّ أَنَّهُ ٱلْفِرَاقُ

Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia).

Manakala ketika roh telah sampai ke kerongkong orang yang hampir meninggal dunia, barulah dia meyakini bahawa itu adalah saat perpisahannya dengan dunia, keluarga dan harta.

Ayat 29

وَٱلْتَفَّتِ ٱلسَّاقُ بِٱلسَّاقِ

Dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan).

Ada beberapa pendapat tentang ayat ini, antaranya:

▪️  ‘Ali bin Abu Talhah mengatakan ayat ini bermaksud, hari dunia terakhir bertemu dengan Hari Akhirat yang pertama sehingga bertemulah keadaan yang sangat berat dan sangat menakutkan dengan kedahsyatan yang luar biasa. Hanya orang-orang yang dirahmati oleh Allah sahaja yang dapat menempuhinya dengan mudah dan tenang.

▪️  ‘Ikrimah pula mengatakan maksud ayat ini ialah perkara yang besar dengan perkara besar yang lainnya bertemu. 

▪️  Al-Hasan Al-Basri mengatakan maksud ayat ini ialah kedua-dua betis saling bertaut iaitu telah lumpuh tidak dapat lagi menampung tubuhnya yang sebelumnya digunakannya untuk berjalan.

Ayat 30

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ ٱلْمَسَاقُ

Kepada Rabbmu-lah pada hari itu kamu dihalau.

Selepas roh berpisah daripada jasad, roh akan diangkat ke langit diiringi oleh malaikat. Ini dapat diketahui daripada hadis-hadis sahih yang ada. Ada roh yang wangi dan ada roh yang busuk. Kemudian semuanya akan dikembalikan kepada Allah Swt.

Imam At-Tabari mengatakan, apabila roh dikembalikan kepada Allah Swt, maka Dia berfirman, “Kembalikanlah jasad hamba-Ku ke tanah, kerana sesungguhnya Aku menciptakan mereka daripada tanah dan kepadanyalah Aku kembalikan mereka, dan daripadanyalah Aku keluarkan mereka pada waktu yang lain (Hari Berbangkit),” sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis Al-Bara’ yang cukup panjang.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Dia-lah yang mempunyai kekuasaan tertinggi atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, dia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya. Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah, Penguasa mereka yang sebenarnya. Ketahuilah bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaan-Nya. Dan Dia-lah Pembuat Perhitungan yang paling cepat.”

Al-An’am 6:61-62