Surah 74: Al-Muddaththir (8 – 10)

Keadaan Orang Kafir ketika Hari Kiamat

Surah 74: Al-Muddaththir (8 – 10)


Ayat 8

فَإِذَا نُقِرَ فِى ٱلنَّاقُورِ

Maka apabila sangkakala ditiup.

Sangkakala itu dikatakan berupa seperti tanduk dan akan ditiup pada Hari Kiamat nanti bagi menandakan Hari Kiamat telah bermula.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata tentang ayat ini, Rasulullah saw telah bersabda:

“Bagaimana aku boleh bertenang sementara peniup sangkakala telah mengulum sangkakala dan menundukkan keningnya menunggu perintah peniupan?” Para sahabat bertanya, “Jadi apakah yang baginda perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Katakanlah, ‘Cukuplah Allah pelindung kami. Hanya kepada-Nya kami bertawakal.’”

(HR. Ahmad)

Ayat 9

فَذَٰلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ

Maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang susah.

Hari Kiamat adalah hari yang teramat dahsyat dan menakutkan kerana manusia tidak tahu bagaimanakah nasib mereka, sama ada mereka akan terselamat ataupun sebaliknya. Keadaan pada waktu itu amat kecoh dan menggelisahkan.

Ayat 10

عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ

Bagi orang-orang kafir lagi tidak mudah.

Bagi orang-orang kafir, penantian di Mahsyar sahaja pun sudah merupakan satu penyeksaan kerana pada masa itu mereka akan sedar kesalahan yang mereka telah lakukan semasa di dunia.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………Orang-orang kafir berkata, ‘Ini adalah hari yang berat.’”

Al-Qamar 54:8