Surah 74: Al-Muddaththir (27 – 37)

Penjelasan tentang Neraka Saqar

Surah 74: Al-Muddaththir (27 – 37)


Ayat 27

وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا سَقَرُ

Dan tahukah kamu apa (Neraka) Saqar itu?

Pertanyaan ini adalah untuk menggambarkan betapa dahsyat dan ngerinya keadaan Neraka Saqar.

Ayat 28

لَا تُبْقِى وَلَا تَذَرُ

Ia (Saqar itu) tidak meninggalkan dan tidak membiarkan.

Ayat 29

لَوَّاحَةٌ لِّلْبَشَرِ

Yang menghanguskan kulit manusia.

Ayat 30

عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ

Dan di atasnya ada sembilan belas (malaikat penjaga).

Allah Swt menyebutkan tentang Saqar. Saqar adalah salah satu daripada nama neraka. Ia adalah tempat pembakar kulit manusia iaitu akan memakan seluruh daging, keringat, urat-urat, saraf dan kulit-kulit mereka tanpa meninggalkan sisa. Setelah itu akan diganti dengan jasad yang baru. Pada saat itu mereka tidak mati dan tidak juga hidup.

Manakala penjaga neraka adalah malaikat Zabaniyah yang berbadan besar dan berakhlak kasar. Azab yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas diberikan oleh Allah Swt kepada semua hamba-hamba-Nya yang lupa dan sombong terhadap-Nya. Walaupun Dia telah memberikan pelbagai kenikmatan kepada mereka, namun mereka masih menolak kebenaran dan menentang-Nya.

Ayat 31

وَمَا جَعَلْنَآ أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓئِكَةً ۙ وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيَسْتَيْقِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ وَيَزْدَادَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِيمَـٰنًا ۙ وَلَا يَرْتَابَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۙ وَلِيَقُولَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَٱلْكَـٰفِرُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا مَثَلًا ۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ ۚ وَمَا هِىَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ

Dan tidak Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan daripada malaikat, dan tidaklah Kami menentukan bilangan mereka itu melainkan sebagai ujian bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi kitab dan orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan), “Apakah yang dikehendaki Allah dengan (bilangan) ini sebagai suatu perumpamaan?” Demikianlah Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui tentera Rabbmu melainkan Dia sendiri. Dan Saqar itu tidak lain hanyalah peringatan bagi manusia.

Apabila musyrikin Mekah mendapat tahu bahawa hanya ada 19 penjaga neraka seperti yang telah dinyatakan dalam ayat sebelum ini, mereka dengan nada mengejek mengatakan mudahlah bagi mereka untuk mengalahkan para malaikat tersebut.

Dikatakan bahawa Abul Asyaddain yang bernama Kaldah bin Usaid bin Khalaf dengan sombong berkata, biar dia sahaja yang mengalahkan 17 malaikat itu, dan orang lain boleh kalahkan yang lagi dua. Dia berkata demikian kerana dia mengagumi kekuatannya sendiri.

Oleh itu, Allah Swt menurunkan ayat ini untuk menegaskan bahawa penjaga neraka itu bukanlah daripada manusia biasa. Sebaliknya penjaga neraka itu adalah daripada golongan malaikat yang pasti tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapa pun.

Sesungguhnya Allah Swt mempunyai bala tentera yang tidak diketahui berapa jumlah dan kekuatannya, yang tiada siapa mengetahuinya kecuali Dia.

Rasulullah saw menyebutkan sifat Baitul Makmur yang berada di langit ketujuh. Baginda bersabda:

“Ternyata ia (Baitul Makmur) dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat pada setiap hari, malaikat yang keluar darinya tidak akan pernah memasukinya lagi.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Allah Swt menyebutkan jumlah malaikat penjaga Neraka Saqar sembilan belas, hanya sebagai ujian-Nya kepada manusia. Ini supaya orang-orang yang diberikan kitab menjadi yakin iaitu mengetahui bahawa Rasulullah saw itu benar, dan bahawa baginda berbicara sesuai dengan apa yang terdapat dalam kitab-kitab yang diturunkan-Nya kepada nabi-nabi sebelumnya, yang ada di tangan mereka kerana melalui kitab-kitab mereka jugalah mereka mengetahui bilangan penjaga neraka ini.

Hal ini juga supaya orang yang beriman bertambah imannya atas apa yang mereka saksikan, berupa kebenaran berita nabi mereka, Muhammad saw.

Ayat ini juga menjadi ujian kepada orang-orang munafik yang di dalam hati mereka ada penyakit dan orang-orang kafir Mekah yang meragukan kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw sehingga mereka mengatakan apakah hikmah Allah Ta’ala menyebutkan bilangan sekecil itu untuk menjadi penjaga Neraka Saqar.

Demikianlah dengan perumpamaan seperti itu, keimanan sebahagian daripada mereka bertambah kuat sementara sebahagian yang lain semakin goyah. Allah Swt membiarkan sesat dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ayat 32

كَلَّا وَٱلْقَمَرِ

Sekali-kali tidak, demi bulan.

Ayat 33

وَٱلَّيْلِ إِذْ أَدْبَرَ

Dan demi malam ketika telah berlalu.

Ayat 34

وَٱلصُّبْحِ إِذَآ أَسْفَرَ

Dan demi subuh apabila mulai terang.

Ayat 35

إِنَّهَا لَإِحْدَى ٱلْكُبَرِ

Sesungguhnya (Saqar itu) adalah salah satu (bencana) yang amat besar.

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Swt bersumpah dengan bulan, malam ketika telah berlalu dan waktu subuh apabila mulai terang bahawa Neraka Saqar merupakan bencana yang sangat besar dan menakutkan. Ini juga menunjukkan kehebatan-Nya.

Ayat 36

نَذِيرًا لِّلْبَشَرِ

Sebagai peringatan bagi manusia.

Neraka adalah amaran kepada manusia. Allah Swt menceritakan tentang neraka untuk menakutkan manusia agar sentiasa beringat.

Ayat 37

لِمَن شَآءَ مِنكُمْ أَن يَتَقَدَّمَ أَوْ يَتَأَخَّرَ

Iaitu bagi siapa di antara kamu yang ingin maju atau mundur.

Perkataan “maju” bermaksud mahu menerima peringatan dan menerima petunjuk dengan melakukan kebaikan dalam kehidupan mereka di dunia.

Manakala perkataan “mundur” pula bermaksud berpaling daripada menerima petunjuk.

Orang-orang yang menerima peringatan ini akan mendapat keuntungan manakala yang menolaknya akan menanggung kerugian.