Surah 74: Al-Muddaththir (11 – 26)

Kisah Al-Walid bin Al-Mughirah

Surah 74: Al-Muddaththir (11 – 26)


Ayat 11

ذَرْنِى وَمَنْ خَلَقْتُ وَحِيدًا

Biarkanlah Aku (yang bertindak) terhadap orang yang Aku telah menciptakannya bersendirian.

Ayat ini adalah berkaitan dengan Al-Walid bin Al-Mughirah iaitu seorang pembesar musyrikin Mekah yang dilantik oleh pengikut-pengikutnya untuk berbincang dengan Rasulullah saw kerana dia adalah seorang yang pandai dan dihormati. Mereka menyuruhnya berjumpa dengan baginda untuk memujuknya menghentikan dakwah baginda.

Ayat 12

وَجَعَلْتُ لَهُۥ مَالًا مَّمْدُودًا

Dan kepadanya Aku berikan harta yang banyak.

Ayat 13

وَبَنِينَ شُهُودًا

Dan anak-anak yang selalu bersamanya.

Ayat 14

وَمَهَّدتُّ لَهُۥ تَمْهِيدًا

Dan Aku lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) selapang-lapangnya.

Allah Swt telah memberikan kesenangan hidup kepada Al-Walid bin Al-Mughirah. Harta kekayaannya amat banyak dan terkenal di Tanah Arab. Selain itu, dia juga telah diberikan anak-anak yang ramai yang sentiasa ada bersama-samanya.

Ayat 15

ثُمَّ يَطْمَعُ أَنْ أَزِيدَ

Kemudian dia ingin sekali Aku menambahnya.

Dalam keadaan Al-Walid bin Al-Mughirah memiliki harta yang banyak dan anak-anak yang ramai, dia tidak mensyukuri nikmat tersebut malah dia masih lagi berkeinginan agar Allah Swt menambahkan lagi kekayaan dan anak-anak.

Ayat 16

كَلَّآ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ لِـَٔايَـٰتِنَا عَنِيدًا

Sekali-kali tidak (akan Aku tambah). Sesungguhnya dia telah menentang ayat-ayat Kami (Al-Quran).

Allah Swt sekali-sekali tidak akan menambahkannya kerana Al-Walid bin Al-Mughirah menentang ayat-ayat-Nya dan tidak mensyukuri nikmat-nikmat yang telah dikurniakan kepadanya.

Ayat 17

سَأُرْهِقُهُۥ صَعُودًا

Aku akan bebankannya dengan pendakian yang payah.

Kemudian di akhirat kelak, Allah Swt akan membebankan Al-Walid bin Al-Mughirah dengan teruk sebagai pendaki gunung yang tinggi yang payah untuk mendakinya. Ini adalah simbolik bahawa azab yang akan dikenakan kepadanya itu tidak akan tertanggung olehnya. Azab itu juga tidak ada rehat dan dia akan berasa lebih terseksa daripada yang sebelumnya.

Ayat 18

إِنَّهُۥ فَكَّرَ وَقَدَّرَ

Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (apa yang ditetapkannya).

Allah Swt menyatakan bahawa dia dilaknat dan diseksa disebabkan ucapan yang telah ditentukannya sendiri tentang Al-Quran ketika ditanyakan kepadanya (oleh kaumnya), maka dia pun mengeluarkan ungkapan yang dusta.

Ayat 19

فَقُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ

Maka celakalah dia! Bagaimana dia menetapkan?

Ayat 20

ثُمَّ قُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ

Sekali lagi, celakalah dia! Bagaimana dia menetapkan?

Dalam ayat 19 dan 20 ini, Allah Swt telah melaknatnya sebanyak dua kali. Ini kerana bagaimana dia boleh berani mengatakan perkara yang tidak benar tentang Al-Quran. Sedangkan dia sendiri percaya dan membenarkan bahawa Al-Quran itu bukanlah daripada kata-kata manusia.

Ayat 21

ثُمَّ نَظَرَ

Kemudian dia (merenung) memikirkan.

Ayat 22

ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ

Lalu dia bermasam muka dan berkerut.

Ayat 23

ثُمَّ أَدْبَرَ وَٱسْتَكْبَرَ

Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri.

Ayat 24

فَقَالَ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ يُؤْثَرُ

Lalu dia berkata, “(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (daripada orang-orang dahulu).

Ayat 25

إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا قَوْلُ ٱلْبَشَرِ

Ini tidak lain hanyalah perkataan manusia.”

Sesungguhnya Al-Walid bin Al-Mughirah amat sombong dengan kelebihan yang ada padanya kerana dia seorang penyair yang pandai. Dia melihat dan mendengar Rasulullah saw membaca Al-Quran dan kerana kepandaiannya, dia sedar bahawa Al-Quran itu adalah benar dan tidak mungkin hasil ciptaan manusia, namun dia tetap menolaknya.

Dengan muka yang marah dan mengerutkan dahi menampakkan kebencian dan rasa tidak puas hati, dia mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah perkataan manusia dan bukannya perkataan Allah Swt.

Kemudian dia mengatakan pula bahawa Al-Quran itu hanyalah sihir yang dipelajari oleh Nabi Muhammad saw daripada nenek moyangnya. Hal ini dilakukannya kerana dia tidak mahu kehilangan kekayaan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Al-Walid bin Al-Mughirah menemui Abu Bakar bin Abu Quhafah, lalu bertanya kepadanya tentang Al-Quran. Setelah mendapat jawapan daripada Abu Bakar, lalu dia pun keluar menemui orang-orang Quraisy dan dia berkata kepada mereka, “Sungguh menakjubkan dengan apa yang diucapkan oleh Ibnu Abi Kabsyah (Rasulullah saw). Demi Allah, apa yang dikatakannya itu bukanlah syair, bukan sihir, bukan pula kerasukan penyakit gila, tetapi sesungguhnya ucapannya itu benar-benar firman Allah.” Ketika segolongan orang-orang Quraisy mendengar ucapan Al-Walid bin Al-Mughirah itu, maka mereka berunding dan mengatakan, “Demi Allah, jika Al-Walid masuk agama baru, benar-benar orang-orang Quraisy pun akan mengikuti jejaknya.” Ketika berita itu terdengar oleh Abu Jahal bin Hisyam, maka dia berkata, “Demi Allah, serahkanlah urusannya kepadaku.” Dia pun pergi ke rumah Al-Walid dan berkata kepada Al-Walid, “Tidakkah engkau perhatikan kaummu, sesungguhnya mereka telah mengumpulkan sedekah untuk diberikan kepadamu?” Al-Walid menjawab, “Bukankah aku ini orang yang terkaya di antara mereka dan juga paling banyak memiliki anak?” Abu Jahal mengatakan kepadanya, “Mereka membicarakan bahawa engkau menemui Ibnu Abu Quhafah hanyalah untuk mendapatkan makanan daripadanya.” Al-Walid bertanya, “Apakah berita itu telah sampai kepada keluargaku? Demi Allah, sekarang aku tidak akan mendekati Abu Quhafah lagi, juga ‘Umar dan Ibnu Abi Kabsyah, dan tiadalah apa yang dikatakannya melainkan sihir yang dipelajari.” Maka Allah Swt menurunkan firman-Nya, “Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian.” (Al-Muddaththir: 11) hingga firman-Nya, “Saqar itu tidak meninggalkan dan tidak membiarkan.” (Al-Muddaththir: 28)

Ayat 26

سَأُصْلِيهِ سَقَرَ

Aku akan memasukkannya ke dalam (Neraka) Saqar.

Oleh sebab kesombongan dan pendustaannya itu, Allah Swt akan menenggelamkannya ke dalam neraka sehingga dia menerima seksaan dari segenap arah.