Surah 73: Al-Muzammil (20)

Keringanan dalam Syariat

Surah 73: Al-Muzammil (20)


Ayat 20

إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَىٰ مِن ثُلُثَىِ ٱلَّيْلِ وَنِصْفَهُۥ وَثُلُثَهُۥ وَطَآئِفَةٌ مِّنَ ٱلَّذِينَ مَعَكَ ۚ وَٱللَّهُ يُقَدِّرُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ۚ عَلِمَ أَن لَّن تُحْصُوهُ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۖ فَٱقْرَءُوا۟ مَا تَيَسَّرَ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ ۚ عَلِمَ أَن سَيَكُونُ مِنكُم مَّرْضَىٰ ۙ وَءَاخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِى ٱلْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ ۙ وَءَاخَرُونَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ فَٱقْرَءُوا۟ مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ ۚ وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَقْرِضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَٱسْتَغْفِرُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌۢ

Sesungguhnya Rabbmu mengetahui bahawa engkau (Muhammad) berdiri (solat) kurang daripada dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian juga) segolongan daripada orang-orang yang bersamamu. Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menentukan batas-batas waktu itu, maka Dia memberikan keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada Al-Quran, Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit, dan yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurniaan Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada Al-Quran dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Apa sahaja kebaikan yang kamu amalkan untuk dirimu, maka kamu memperolehi (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Ayat ini merupakan pujian Allah Swt kepada Rasulullah saw kerana baginda telah menunaikan solat malam yang telah diperintahkan-Nya kepada baginda dan menjadi ikutan para sahabat, sebagaimana yang disebutkan pada permulaan ayat dalam surah ini.

Allah Swt menetapkan ukuran malam dan siang. Kadar lamanya siang dan malam kadang-kadang tidak seimbang. Ada ketikanya siang lebih lama dari malam atau sebaliknya. Oleh itu, Allah Maha Mengetahui bahawa manusia tidak akan mampu melaksanakan pada sepanjang malam. Dia memberikan keringanan kepada mereka dengan menghapuskan kewajipan solat malam sehingga hukumnya menjadi sunnah. Oleh itu, Allah menyebut bacalah apa yang mudah daripada Al-Quran iaitu melakukan qiyamullail setakat yang termampu.

Allah Swt juga menyebutkan akan datang ada tiga golongan yang mungkin sukar untuk mendirikan solat malam iaitu orang yang sakit, orang yang sedang bermusafir kerana mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya seperti pekerjaan atau perniagaan dan orang-orang berjihad di jalan-Nya. Ketika ayat ini turun peperangan (jihad) masih belum disyariatkan. Hal ini merupakan salah satu daripada bukti kenabian kerana memberitahu kejadian yang akan datang.

Kemudian ayat ini dinasakhkan oleh ayat yang mewajibkan solat lima waktu. Oleh itu, Allah Swt memerintahkan supaya mendirikan solat fardhu dan menunaikan zakat. Ayat ini menjadi dalil bahawa perintah wajib zakat diturunkan di Mekah, tetapi kadar-kadar nisab yang wajib dikeluarkan masih belum dijelaskan dengan terperinci kecuali hanya di Madinah.

Allah Swt juga menggalakkan manusia memberikan pinjaman kepada-Nya dengan pinjaman yang baik iaitu dalam bentuk sedekah. Ini kerana Dia pasti akan membalasnya dengan balasan yang terbaik dan melimpah.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Barang siapa memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya pada jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak……….”

Al-Baqarah 2:245

Al-Hafiz Abu Ya’la Al-Mushili meriwayatkan daripada Al-Haris bin Suwaid yang mengatakan bahawa ‘Abdullah pernah berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda, “Siapakah di antara kamu yang lebih mencintai hartanya daripada harta pewarisnya?” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, tiada seorang pun daripada kami kecuali mencintai hartanya lebih daripada harta pewarisnya.” Rasulullah saw bersabda, “Ketahuilah apa yang kamu katakan.” Mereka menjawab, “Kami tidak mengetahui selain itu, ya Rasulullah.” Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya harta salah seorang daripada kamu hanyalah apa yang dia dahulukan (dia belanjakan untuk jalan-jalan kebaikan sehingga harta itu mendahului pemiliknya ke akhirat) dan harta pewarisnya adalah yang dia akhirkan (dia simpan sehingga simpanan itu menjadi hak kepada pewarisnya).”

(HR. Al-Bukhari dan An-Nasa’i)

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyuruh memperbanyakkan berzikir dan memohon ampun kepada-Nya dalam semua urusan, kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada sesiapa yang memohon ampun kepada-Nya.