Surah 73: Al-Muzammil (10 – 19)

Perintah untuk Bersabar Menghadapi Gangguan Orang Kafir dan Balasan terhadap Mereka

Surah 73: Al-Muzammil (10 – 19)


Ayat 10

وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا

Dan bersabarlah (Muhammad) terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.

Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw agar bersabar dalam menghadapi musuh-musuh-Nya iaitu golongan kafir Quraisy yang mencela baginda dan ajaran yang disampaikannya. Selain itu, Dia juga memerintahkan baginda agar menjauhi orang-orang kafir Quraisy itu dengan baik iaitu tanpa mencela mereka.

Ayat 11

وَذَرْنِى وَٱلْمُكَذِّبِينَ أُو۟لِى ٱلنَّعْمَةِ وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلًا

Dan biarkanlah Aku (sahaja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, (iaitu) orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar.

Ayat ini merupakan ancaman daripada Allah Swt kepada orang-orang kafir Quraisy yang mendustakan ayat-ayat-Nya. Mereka ini terdiri daripada golongan kaya yang bersenang lenang dengan kemewahan dan kemegahan di dunia. Dia menyatakan kepada Rasulullah saw bahawa biarlah Dia sahaja yang akan bertindak kepada mereka. Dia akan menyeksa mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu bolehlah baginda membiarkan mereka bersenang-senang dengan kemewahan mereka dalam tempoh yang sebentar sahaja.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kami biarkan mereka bersenang-lenang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang keras.”

Luqman 31:24

Ayat 12

إِنَّ لَدَيْنَآ أَنكَالًا وَجَحِيمًا

Sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu (yang berat) dan neraka yang menyala-nyala.

Ayat 13

وَطَعَامًا ذَا غُصَّةٍ وَعَذَابًا أَلِيمًا

Dan makanan yang menyumbat di kerongkongan dan azab yang pedih.

Inilah hukuman kepada orang-orang yang mendustakan Allah Swt dan rasul-Nya. Dia telah menyiapkan rantai-rantai daripada besi untuk orang-orang kafir yang mendustakan baginda dan mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahim dengan azab yang sangat pedih.

Ayat 14

يَوْمَ تَرْجُفُ ٱلْأَرْضُ وَٱلْجِبَالُ وَكَانَتِ ٱلْجِبَالُ كَثِيبًا مَّهِيلًا

Pada hari bumi dan gunung-gunung bergoncangan, dan menjadilah gunung-gunung itu tumpukan-tumpukan pasir yang berterbangan.

Pada hari ini gunung-gunung bergoncang dengan sangat dahsyat. Gunung-gunung yang kukuh itu hancur menjadi seperti butiran pasir yang berterbangan. Bumi menjadi datar dan rata. Inilah azab yang akan ditimpakan kepada orang-orang kafir yang mendustakan Allah.

Ayat 15

إِنَّآ أَرْسَلْنَآ إِلَيْكُمْ رَسُولًا شَـٰهِدًا عَلَيْكُمْ كَمَآ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ رَسُولًا

Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai orang kafir Mekah) seorang rasul (Muhammad), yang menjadi saksi terhadap kamu, sebagaimana Kami telah mengutus (dahulu) seorang rasul kepada Fir’aun.

Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia telah mengutuskan Nabi Muhammad saw kepada orang-orang kafir Mekah. Itulah utusan-Nya yang akan menjadi saksi pada Hari Kiamat terhadap mereka tentang kekufuran dan kederhakaan mereka sebagaimana Dia mengutuskan Nabi Musa as kepada Firaun dan kaumnya.

Ayat 16

فَعَصَىٰ فِرْعَوْنُ ٱلرَّسُولَ فَأَخَذْنَـٰهُ أَخْذًا وَبِيلًا

Namun Firaun menderhakai rasul itu, maka Kami seksa dia dengan seksaan yang berat.

Namun Firaun dengan sombongnya telah mengingkari, mendustakan dan membangkang Nabi Musa as. Lalu Firaun diberikan seksaan yang berat dengan ditenggelamkannya bersama-sama kaumnya di lautan.

Allah memberi ancaman kepada orang-orang kafir Mekah supaya tidak mendustakan Nabi Muhammad saw sehingga mereka ditimpakan azab sebagaimana yang menimpa Firaun dan pengikut-pengikutnya.

Ayat 17

فَكَيْفَ تَتَّقُونَ إِن كَفَرْتُمْ يَوْمًا يَجْعَلُ ٱلْوِلْدَٰنَ شِيبًا

Maka bagaimanakah kamu akan dapat memelihara dirimu jika kamu tetap kafir kepada hari yang menjadikan anak-anak beruban?

Ayat ini merupakan ayat sindiran kepada orang-orang kafir, bagaimana mereka dapat memelihara diri mereka daripada azab pada hari yang berat dan menjadikan anak-anak beruban disebabkan dahsyatnya keadaan hari tersebut.

Ayat 18

ٱلسَّمَآءُ مُنفَطِرٌۢ بِهِۦ ۚ كَانَ وَعْدُهُۥ مَفْعُولًا

Langit (pun) menjadi terpecah belah pada hari itu. Adalah janji-Nya itu pasti terlaksana.

Ayat 19

إِنَّ هَـٰذِهِۦ تَذْكِرَةٌ ۖ فَمَن شَآءَ ٱتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِۦ سَبِيلًا

Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka barangsiapa yang menghendaki (kebaikan) nescaya dia menempuh jalan (yang menyampaikannya) kepada Rabbnya.

Semua ayat yang menceritakan tentang Hari Kiamat dan amat dahsyatnya suasana pada hari tersebut adalah satu peringatan daripada Allah Swt. Sesiapa yang ingin selamat dan ingin mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat hendaklah dia beriman dan melakukan amal soleh serta membebaskan dirinya daripada kemusyrikan dan dosa-dosa.