Surah 72: Al-Jin (25 – 28)

Rasulullah saw Tiada Pengetahuan tentang Bila Akan Terjadinya Kiamat

Surah 72: Al-Jin (25 – 28)


Ayat 25

قُلْ إِنْ أَدْرِىٓ أَقَرِيبٌ مَّا تُوعَدُونَ أَمْ يَجْعَلُ لَهُۥ رَبِّىٓ أَمَدًا

Katakanlah (Muhammad), “Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat atau adakah Rabbku menetapkan (kedatangan) azab itu masa yang panjang?”

Rasulullah saw sering ditanya sama ada oleh orang-orang musyrik ataupun oleh orang-orang Islam, bila akan berlaku kiamat. Dalam ayat ini, baginda diperintahkan agar memberitahu bahawa baginda sendiri pun tidak mengetahui bila Hari Kiamat itu akan berlaku. Begitu juga baginda tidak mengetahui bila akan terjadinya azab yang dijanjikan kepada musyrikin Mekah.

Ini dikuatkan dengan hadis daripada Umar ra ketika Jibril as bertanya kepada Nabi Muhammad saw, “Beritahulah kepadaku mengenai Hari Kiamat.” Lalu baginda menjawab:

“Orang yang ditanya mengenainya tidaklah lebih mengetahui daripada yang bertanya.”

(HR. Muslim)

Ayat 26

عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِۦٓ أَحَدًا

(Dia adalah Allah) yang mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa hanya Dia sahaja yang mengetahui hal-hal yang ghaib. Ini juga merupakan dalil yang kuat mengatakan bahawa manusia langsung tiada pengetahuan tentangnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah,” dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.”

An-Naml 27:65

Ayat 27

إِلَّا مَنِ ٱرْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُۥ يَسْلُكُ مِنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ رَصَدًا

Kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di hadapan dan di belakangnya.

Allah Swt menyatakan hanya sebahagian para rasul sahaja yang dibukakan sedikit pengetahuan tentang ilmu ghaib dengan kehendak-Nya. Dia memperlihatkan kepada mereka perkara ghaib sebagai mukjizat dan ini merupakan kelebihan kepada mereka dengan tujuan mempermudahkan mereka menjalankan tugas dalam berdakwah. Manakala manusia biasa tidak akan mendapat kelebihan seperti ini.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki……….”

Al-Baqarah 2:255

Ayat ini juga merupakan dalil bahawa pernyataan tukang tilik, dukun atau bomoh yang mengakui mereka mengetahui perkara ghaib adalah tidak benar. Mereka tidak mempunyai ilmu tentang hal tersebut dan mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia mengadakan pengawal-pengawal dari jenis malaikat yang berada di hadapan dan belakang para rasul-Nya.

Ayat 28

لِّيَعْلَمَ أَن قَدْ أَبْلَغُوا۟ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّهِمْ وَأَحَاطَ بِمَا لَدَيْهِمْ وَأَحْصَىٰ كُلَّ شَىْءٍ عَدَدًۢا

Supaya Dia mengetahui, bahawa rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-Nya, sementara (ilmu-Nya) meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.

Tujuan Allah Swt mengadakan pemeliharaan terhadap para rasul itu adalah supaya Dia mengetahui bahawa mereka benar-benar dapat menunaikan tanggungjawab dalam menyampaikan wahyu-Nya. Sedangkan sebenarnya dengan ilmu dan kuasa-Nya, Dia Maha Mengetahui apa yang ada pada diri mereka. Dia menghitung segala sesuatu satu persatu dan tidak satu pun yang luput daripada pengetahuan-Nya.