Surah 72: Al-Jin (18 – 24)

Perintah agar Mengikhlaskan Ibadah Hanya kepada Allah Swt dan Rasulullah saw Hanyalah Utusan-Nya

Surah 72: Al-Jin (18 – 24)


Ayat 18

وَأَنَّ ٱلْمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدًا

Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.

Dalam ayat ini terdapat perintah Allah Swt yang mewajibkan hamba-hamba-Nya membersihkan masjid daripada segala perkara-perkara yang boleh mencemar keikhlasan kepada Allah Swt dan ittiba’ kepada Rasulullah saw.

Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar beribadah dan berdoa semata-mata kepada-Nya iaitu tidak melakukan syirik.

Imam At-Tabari meriwayatkan daripada Ibnu Jarir daripada Sa’id bin Jubair berkaitan dengan ayat di atas, jin bertanya kepada Rasulullah saw, “Bagaimana caranya kami dapat memasuki masjid (bersamamu) dan dapat ikut solat bersamamu, sedangkan kami tinggal jauh darimu?” Maka turunlah ayat ini. Maksudnya solatlah di mana-mana masjid, tidak semestinya bersama dengan Rasulullah saw kerana semua masjid adalah milik Allah Swt.

Ayat 19

وَأَنَّهُۥ لَمَّا قَامَ عَبْدُ ٱللَّهِ يَدْعُوهُ كَادُوا۟ يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَدًا

Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir sahaja mereka itu berasak-asak mengerumuninya.

Ada beberapa pendapat berkaitan dengan ayat di atas. Pendapat yang paling jelas mengatakan ‘mereka’ yang mengerumuni Rasulullah saw ialah jin dan manusia yang bersatu untuk menghalang dakwah baginda. Namun Allah Swt tidak menjayakan rancangan mereka malah menolong baginda dan memenangkannya atas orang-orang yang menentangnya.

Ayat 20

قُلْ إِنَّمَآ أَدْعُوا۟ رَبِّى وَلَآ أُشْرِكُ بِهِۦٓ أَحَدًا

Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya aku hanya menyembah Rabbku dan aku tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya.”

Ayat 21

قُلْ إِنِّى لَآ أَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلَا رَشَدًا

Katakanlah, “Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sesuatu kemudharatan pun kepadamu dan tidak (juga) suatu kemanfaatan.”

Ayat-ayat di atas pula merupakan jawapan kepada orang-orang kafir yang menghalang Rasulullah saw membaca ayat-ayat Al-Quran.

Sesungguhnya Nabi Muhammad saw hanya menyembah Allah Swt semata-mata, tidak menyekutukan-Nya dan mengajak mereka kepada kebaikan, bukan kerana hendak merampas kuasa atau harta mereka. Baginda langsung tidak mengancam kedudukan mereka.

Ayat 22

قُلْ إِنِّى لَن يُجِيرَنِى مِنَ ٱللَّهِ أَحَدٌ وَلَنْ أَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلْتَحَدًا

Katakanlah, “Sesungguhnya aku, sekali-kali tidak ada seorang pun dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan sekali-kali aku tidak akan mendapat tempat berlindung selain daripada-Nya.

Ayat 23

إِلَّا بَلَـٰغًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِسَـٰلَـٰتِهِۦ ۚ وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَإِنَّ لَهُۥ نَارَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا

Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.”

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw memberitahu umatnya bahawa baginda tidak dapat mendatangkan mudharat sedikit pun kepada mereka sekiranya mereka tidak mengikut ajaran baginda.

Ini kerana baginda tidak berkuasa untuk memberi mudharat dan manfaat kepada sesiapa pun. Baginda sendiri pun bergantung kepada Allah Swt dan hanya menyampaikan apa yang diperintahkan-Nya. Itu adalah tugas semua rasul dan mesti dilaksanakan. Sekiranya baginda tidak melakukan tugas menyampaikan ajaran tauhid ataupun baginda menderhakai Allah Ta’ala, maka baginda sendiri pun tidak akan terlepas dan terselamat daripada azab-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanah-Nya. Dan Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia……………..”

Al-Ma’idah 5:67

Ayat ini juga merupakan ancaman bahawa sesiapa sahaja yang bermaksiat kepada Allah Swt, tidak mentaati dan mendustakan ajaran yang dibawa oleh rasul-Nya, maka dosa syirik dan kemaksiatan mereka itu akan dibalas dengan api Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

Ayat 24

حَتَّىٰٓ إِذَا رَأَوْا۟ مَا يُوعَدُونَ فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ أَضْعَفُ نَاصِرًا وَأَقَلُّ عَدَدًا

Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya.

Walaupun Rasulullah saw telah menunjukkan kebenaran kepada kaumnya, namun mereka yang ingkar tetap tidak mahu menerima agama Islam dan mereka tetap menentang kebenaran. Ini akan berterusan sehingga mereka melihat azab yang memang telah dijanjikan kepada mereka.

Azab itu sama ada dikenakan di dunia ataupun ditangguhkan sehingga ke Hari Akhirat. Waktu itu barulah mereka akan mengetahui siapakah di antara mereka yang akan mendapat penolong yang kuat sama ada yang musyrik ataupun ahli tauhid.