Pengakuan Jin tentang Diri Mereka
Surah 72: Al-Jin (11 – 17)
Ayat 11
وَأَنَّا مِنَّا ٱلصَّـٰلِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ ۖ كُنَّا طَرَآئِقَ قِدَدًا
Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada yang soleh dan ada (pula) yang sebaliknya. Kami menempuh jalan yang berbeza-beza.
Sesungguhnya di antara jin-jin ini ada yang beriman setelah mendengar ayat-ayat Al-Quran dan ada yang lemah dan kurang ketaatannya. Mereka menempuh jalan yang berbeza-beza, ada yang mukmin dan ada pula yang kafir lagi sesat.
Ayat 12
وَأَنَّا ظَنَنَّآ أَن لَّن نُّعْجِزَ ٱللَّهَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَن نُّعْجِزَهُۥ هَرَبًا
Dan sesungguhnya kami (jin) telah menduga, bahawa kami tidak akan mampu melepaskan diri (daripada kekuasaan) Allah di muka bumi dan tidak (pula) dapat lari melepaskan diri daripada-Nya.
Sesungguhnya mereka yakin bahawa mereka sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri daripada kekuasaan Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak pula dapat melepaskan diri daripada-Nya sama ada mereka berada di bumi atau mereka lari dari bumi menuju ke langit.
Ayat 13
وَأَنَّا لَمَّا سَمِعْنَا ٱلْهُدَىٰٓ ءَامَنَّا بِهِۦ ۖ فَمَن يُؤْمِنۢ بِرَبِّهِۦ فَلَا يَخَافُ بَخْسًا وَلَا رَهَقًا
Dan sesungguhnya kami (jin) tatkala mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya. Maka siapa beriman kepada Rabbnya, maka dia tidak takut kekurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa.
Sesungguhnya setelah mereka mendengar Al-Quran yang memimpin ke jalan yang lurus, mereka terus beriman kepadanya. Sesiapa yang beriman kepada Rabbnya, nescaya dia tidak bimbang terhadap kezaliman dan tidak pula takut pahala kebajikannya menjadi berkurangan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan barang siapa yang mengerjakan amal-amal soleh dan dia dalam keadaan beriman, maka dia tidak bimbang akan perbuatan zalim (terhadapnya) dan tidak (pula) bimbang akan pengurangan haknya.”
Taha 20:112
Ayat 14
وَأَنَّا مِنَّا ٱلْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا ٱلْقَـٰسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ تَحَرَّوْا۟ رَشَدًا
Dan bahawasanya di antara kami ada yang taat dan ada (pula) yang menyimpang daripada kebenaran. Barangsiapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus.
Allah Swt menyatakan ada kaum jin yang mengatakan antara mereka ada yang taat dan ada pula yang melampaui batas disebabkan kekafiran mereka.
Sesungguhnya sesiapa yang taat, berserah diri kepada Allah Swt dan membersihkan diri daripada syirik maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan petunjuk.
Ayat 15
وَأَمَّا ٱلْقَـٰسِطُونَ فَكَانُوا۟ لِجَهَنَّمَ حَطَبًا
Adapun yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi kayu api Neraka Jahannam.
Manakala golongan jin yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka akan dijadikan kayu api bagi Neraka Jahannam sebagaimana orang-orang kafir daripada golongan manusia juga dijadikan bahan bakar api neraka.
Ayat 16
وَأَلَّوِ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَـٰهُم مَّآءً غَدَقًا
Dan bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), pasti Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak).
Allah Swt menyatakan sekiranya golongan jin dan manusia istiqamah pada jalan-Nya, maka Dia akan memberikan kepada mereka kebaikan yang banyak.
Ayat ini diturunkan kepada orang-orang kafir Quraisy ketika tidak diturunkan hujan selama tujuh tahun kepada mereka. Allah Swt menyatakan sekiranya mereka itu benar-benar berada di atas jalan agama Islam, nescaya Dia akan memberikan mereka rezeki yang melimpah.
Ayat 17
لِّنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَمَن يُعْرِضْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِۦ يَسْلُكْهُ عَذَابًا صَعَدًا
Untuk Kami beri ujian kepada mereka dengannya. Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan Rabbnya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat.
Begitulah Allah Swt menguji mereka untuk mengetahui siapa di antara mereka yang bersyukur atau mengingkarinya. Sekiranya mereka bersyukur maka Dia akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada mereka. Namun sekiranya mereka ingkar dan berpaling daripada Al-Quran maka mereka akan ditimpakan azab yang sangat berat.