Berita bahawa Jin Mendengar Al-Quran lalu Mereka Beriman
Surah 72: Al-Jin (1 – 7)
Ayat 1
قُلْ أُوحِىَ إِلَىَّ أَنَّهُ ٱسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَقَالُوٓا۟ إِنَّا سَمِعْنَا قُرْءَانًا عَجَبًا
Katakanlah (wahai Muhammad), “Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya, sekumpulan jin telah mendengar (bacaan Al-Quran), lalu mereka berkata, ‘Sesungguhnya Kami telah mendengar Al-Quran yang menakjubkan.
Ayat 2
يَهْدِىٓ إِلَى ٱلرُّشْدِ فَـَٔامَنَّا بِهِۦ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَآ أَحَدًا
(Yang) memberi petunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan menyekutukan seseorang pun dengan Rabb kami.
Dalam ayat 1 dan 2 di atas, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw memberitahu kaumnya bahawa jin mendengar Al-Quran, yang memberi petunjuk ke jalan yang benar iaitu jalan yang membawa kepada kebaikan. Jin-jin berasa sungguh takjub dengan kefasihan Al-Quran dan maknanya yang mendalam. Lalu mereka beriman, membenarkannya dan tunduk patuh kepadanya. Mereka juga sekali-sekali tidak akan menyekutukan Allah.
Dahulu jin-jin boleh mendengar berita dari langit sebelum diutuskan Rasulullah saw. Namun selepas itu mereka tidak lagi mampu mencuri berita langit, sebaliknya mereka akan dilontarkan dengan panah-panah api. Lalu mereka pun tertanya-tanya kenapa hal ini boleh berlaku. Akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa sesuatu telah terjadi di muka bumi. Maka mereka pun mencari puncanya di segala pelosok dunia. Ada sebahagiannya menuju ke arah Mekah dan mereka melihat Rasulullah saw sedang melakukan solat Subuh bersama dengan para sahabat. Ketika itu baginda dan para sahabat dalam perjalanan untuk berdakwah. Akhirnya mereka diam dan mendengar bacaan dalam solat tersebut. Barulah mereka mengetahui bahawa penurunan Al-Quran telah menjadi penghalang kepada mereka untuk mendengar berita dari langit. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya menceritakan peristiwa tersebut. Allah Swt memberitahukan kisah ini kepada baginda.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan kepadamu (Muhammad) satu rombongan jin yang mendengar (bacaan) Al-Quran, mereka berkata, ‘Diamlah kamu! (untuk mendengar bacaan itu). Maka ketika telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya untuk memberi peringatan.’”
Al-Ahqaf 46:29
Ayat ini juga merupakan sindiran kepada umat Rasulullah saw yang tidak mahu beriman walaupun selepas beberapa lama baginda membacakan Al-Quran kepada mereka di Mekah. Mereka masih mendustakannya malah membencinya, sebaliknya sebahagian golongan jin ini walaupun mendengar hanya sebentar sahaja, mereka terus beriman dan menyebarkan agama Islam kepada kaum mereka.
Ayat 3
وَأَنَّهُۥ تَعَـٰلَىٰ جَدُّ رَبِّنَا مَا ٱتَّخَذَ صَـٰحِبَةً وَلَا وَلَدًا
Dan bahawasanya Maha Tinggi kebesaran Rabb Kami, Dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.
Setelah para jin mendengar bacaan Al-Quran, mereka berjanji tidak akan menyekutukan Allah Swt. Mereka kemudian memuji-Nya dengan pujian yang tulus. Sesungguhnya Maha Tinggi Allah dan keagungan-Nya tidak terjangkau oleh sesiapa pun dan apa pun. Dia tidak beristeri dan tidak juga beranak.
Jin-jin berkata pada saat mereka memeluk Islam dan beriman kepada Al-Quran, “Maha Suci Allah daripada memiliki isteri dan anak.”
Ayat 4
وَأَنَّهُۥ كَانَ يَقُولُ سَفِيهُنَا عَلَى ٱللَّهِ شَطَطًا
Dan bahawasanya orang yang bodoh di antara kami selalu mengucapkan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah.
Seterusnya jin-jin itu berkata lagi bahawa jin yang kurang akal di antara mereka dahulu selalu mengungkapkan perkataan-perkataan yang melampaui batas terhadap Allah Swt.
Ayat 5
وَأَنَّا ظَنَنَّآ أَن لَّن تَقُولَ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا
Dan bahawasanya kami menyangka, bahawa manusia dan jin sekali-kali tidak akan mengucapkan perkataan yang dusta terhadap Allah.’
Jin-jin ini dahulu menyangka bahawa jin dan manusia tidak akan sepakat mengeluarkan perkataan yang dusta terhadap Allah Swt dengan menasabkan isteri dan anak kepada-Nya. Ketika mereka mendengar bacaan Al-Quran dan mengimaninya barulah mereka mengetahui bahawa ada di antara mereka yang berbuat dusta terhadap Allah Swt dalam hal tersebut.
Ayat 6
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki daripada kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki daripada kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.
Jin-jin mengatakan bahawa dahulu mereka melihat diri mereka adalah lebih baik daripada manusia, kerana manusia selalu meminta perlindungan kepada mereka pada saat mereka singgah di suatu lembah atau tempat yang menakutkan, seperti padang pasir dan lain-lain.
Hal ini kerana sebagaimana telah menjadi kebiasaan bangsa Arab pada masa jahiliyyah, mereka akan meminta perlindungan daripada jin terbesar di suatu tempat tertentu agar ia tidak menimpakan malapetaka kepada mereka.
Apabila jin-jin itu mengetahui bahawa ketika manusia berlindung diri kepada mereka dan bukan kepada Allah, maka mereka pun menambahkan lagi rasa takut dan seram serta sifat pengecut kepada manusia sehingga manusia menjadi lebih bersungguh-sungguh dalam usaha berlindung diri kepada mereka. Oleh itu, jin-jin menjadi semakin berani kepada manusia kerana dosa-dosa manusia itu sendiri.
Ayat 7
وَأَنَّهُمْ ظَنُّوا۟ كَمَا ظَنَنتُمْ أَن لَّن يَبْعَثَ ٱللَّهُ أَحَدًا
Dan bahawasanya mereka (jin) menyangka sebagaimana persangkaan kamu (orang-orang kafir Mekah), bahawa Allah sekali-kali tidak akan membangkitkan seorang (rasul) pun.”
Jin-jin ini berkata kepada kaumnya bahawa sesungguhnya manusia menyangka sebagaimana mereka juga menyangka bahawa Allah Swt tidak akan mengutuskan seorang rasul pun. Namun dengan adanya Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw maka fahaman mereka sebelum itu telah terbukti adalah salah sama sekali.