Pengaduan Nabi Nuh as kepada Allah Swt Berkenaan dengan Keingkaran Kaum Baginda
Surah 71: Nuh (5 – 9)
Ayat 5
قَالَ رَبِّ إِنِّى دَعَوْتُ قَوْمِى لَيْلًا وَنَهَارًا
Dia (Nuh) berkata, “Wahai Rabbku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang.
Allah Swt menerangkan bahawa Nabi Nuh as mengadu kepada-Nya, Rabb Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia tentang sikap kaumnya yang tidak menyenangkan.
Nabi Nuh as menyatakan kepada Allah Swt bahawa baginda begitu bersungguh-sungguh dalam berdakwah kepada kaumnya tanpa pernah berhenti baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam demi mentaati perintah-Nya dan mencari keredhaan-Nya.
Dalam surah yang lain, Allah Swt menerangkan tentang kesabaran baginda menghadapi kaumnya dalam masa yang cukup lama, iaitu selama 950 tahun untuk mengajak mereka kembali ke jalan yang lurus.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……..Maka dia tinggal bersama mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun…….”
Al-‘Ankabut 29:14
Ayat 6
فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَآءِىٓ إِلَّا فِرَارًا
Maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran).
Nabi Nuh as menyatakan kaumnya tidak mahu menerima ajaran baginda dan tidak mahu kembali ke jalan yang lurus. Setiap kali baginda menyeru mereka agar mendekatkan diri kepada kebenaran, mereka malah semakin melarikan diri daripadanya dan menjauhinya.
Ayat 7
وَإِنِّى كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوٓا۟ أَصَـٰبِعَهُمْ فِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَٱسْتَغْشَوْا۟ ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا۟ وَٱسْتَكْبَرُوا۟ ٱسْتِكْبَارًا
Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (supaya beriman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinga mereka dan menyelubungkan baju mereka (ke muka mereka) dan mereka tetap (mengingkari) dan terlampau menyombongkan diri.
Setiap kali Nabi Nuh as menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah Swt bagi mendapatkan keampunan-Nya, mereka menutup telinga agar tidak mendengar apa yang baginda sampaikan. Sikap mereka ini sama sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang kafir Quraisy.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang-orang yang kafir berkata, ‘Janganlah kamu mendengar dengan bersungguh-sungguh akan Al-Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka).’”
Fussilat 41:26
Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Abbas ra mengatakan mereka mengubah penampilan diri agar mereka tidak dikenali oleh Nabi Nuh as. Manakala Sa’id bin Jubair dan As-Suddi mengatakan bahawa mereka menutup kepala agar mereka tidak mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Nuh as kepada mereka. Mereka tetap memilih kesyirikan dan kekufuran. Mereka enggan mengikuti kebenaran dan tunduk kepadanya.
Ayat 8
ثُمَّ إِنِّى دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا
Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (supaya beriman) dengan cara berterang-terangan.
Ayat 9
ثُمَّ إِنِّىٓ أَعْلَنتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا
Kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan cara terang-terangan dan dengan diam-diam.
Setelah melakukan dakwah secara diam-diam kemudian secara terang-terangan namun tidak juga berhasil, maka Nabi Nuh as melakukan kedua-dua cara itu sekaligus agar lebih berkesan di hati mereka.