Kederhakaan Kaum Nabi Nuh as yang Mengikut Pemimpin Mereka dan Azab terhadap Mereka
Surah 71: Nuh (21 – 25)
Ayat 21
قَالَ نُوحٌ رَّبِّ إِنَّهُمْ عَصَوْنِى وَٱتَّبَعُوا۟ مَن لَّمْ يَزِدْهُ مَالُهُۥ وَوَلَدُهُۥٓ إِلَّا خَسَارًا
Nuh berkata, “Wahai Rabbku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anak mereka tidak menambah kepada mereka melainkan kerugian belaka.
Nabi Nuh as mengadu kepada Allah Swt bahawa kaumnya menderhakainya tentang seruannya agar mereka taat kepada perintah-Nya. Mereka hanya mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin mereka yang menghamburkan-hamburkan harta mereka dalam bermaksiat kepada-Nya. Mereka tertipu dengan ramainya anak pinak yang mendapat didikan yang salah sehingga menambah kerugian dan semakin jauh daripada kebenaran.
Ayat 22
وَمَكَرُوا۟ مَكْرًا كُبَّارًا
Dan mereka melakukan tipu daya yang amat besar.”
Pembesar-pembesar kaum Nabi Nuh as telah membuat rancangan jahat untuk menyakiti baginda dan menghalang pengikut-pengikut mereka daripada terpengaruh dengan risalah yang dibawa oleh baginda. Menurut mereka, baginda merupakan satu ancaman terhadap cara hidup mereka dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Betapa jahatnya mereka kerana mereka bukan sahaja tidak mahu beriman, malah menentang pula dakwah baginda.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….maka mereka mendustakan hamba Kami (Nuh) dan mengatakan dia seorang gila dan dia diusir dengan ancaman.”
Al-Qamar 54:9
“Maka berkatalah pembesar-pembesar orang-orang kafir daripada kaumnya, ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu yang ingin menjadi orang yang lebih mulia daripada kamu. Dan jika Allah menghendaki, tentu Dia mengutus malaikat. Belum pernah kami mendengar seruan (seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu. Tidaklah dia (Nuh) itu kecuali seorang lelaki yang gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sehingga waktu yang ditentukan.’”
Al-Mu’minun 23:24-25
Ayat 23
وَقَالُوا۟ لَا تَذَرُنَّ ءَالِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
Dan mereka berkata, “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan jangan pula Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr.”
Para pembesar memujuk kaumnya agar tidak meninggalkan sembahan-sembahan mereka. Ini adalah sebagai pembangkangan terhadap ajaran Nabi Nuh as dan dakwah baginda.
Wadd, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr adalah nama-nama berhala yang terbesar bagi kabilah-kabilah kaum Nabi Nuh as, yang awalnya adalah nama-nama orang soleh.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa berhala-berhala milik kaum Nabi Nuh as itu diwarisi oleh orang-orang Arab selepas mereka. Wadd adalah sembahan Bani Kalb yang terletak di Daumatil Jandal, Suwa’ milik Huzail, Yaghuth milik Murad dan Bani Ghathif di Al-Juruf, Ya’uq milik Hamdan dan Nasr milik Himyar dan keluarga Dzi Kala’. Pada mulanya nama-nama tersebut merupakan nama-nama bagi orang-orang soleh daripada kalangan kaum Nabi Nuh as. Ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka agar membuatkan patung-patung di tempat-tempat mereka beribadah dan menamakan patung-patung itu dengan nama-nama orang-orang soleh tersebut. Mereka pun melakukan seperti yang dibisikkan itu. Patung-patung ini pada mulanya tidak disembah, namun ketika generasi mereka telah tiada dan setelah ilmu terkikis daripada mereka, maka mulailah patung-patung itu disembah dan dipuja. Hal yang sama telah diriwayatkan daripada ‘Ikrimah, Adh-Dhahhak, Qatadah, dan Ibnu Ishaq. ‘Ali bin Abi Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa berhala-berhala tersebut merupakan sembahan-sembahan pada masa Nabi Nuh as.
Ayat 24
وَقَدْ أَضَلُّوا۟ كَثِيرًا ۖ وَلَا تَزِدِ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا ضَلَـٰلًا
Dan sesungguhnya mereka itu telah menyesatkan kebanyakan (manusia) dan janganlah Engkau tambahkan kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan.”
Sebenarnya berhala-berhala yang mereka sembah telah menyebabkan ramai yang tersesat. Penyembahan berhala pun masih terus berlaku sehingga sekarang ini, baik di kalangan bangsa Arab, bukan Arab, mahupun bangsa Bani Adam yang lain.
Ayat 25
مِّمَّا خَطِيٓـَٔـٰتِهِمْ أُغْرِقُوا۟ فَأُدْخِلُوا۟ نَارًا فَلَمْ يَجِدُوا۟ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ أَنصَارًا
Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka, maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka selain Allah.
Lalu dalam ayat ini, Allah Swt meneggelamkan kaumnya yang kufur. Mereka dibinasakan dalam banjir besar disebabkan dosa-dosa mereka iaitu mereka telah melakukan kezaliman, mensyirikkan-Nya dan mendustakan serta menyakiti rasul-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka mereka mendustakannya (Nuh). Lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama dengannya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya).”
Al-A’raf 7:64
Kesudahannya kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan tidak ada seorang pun yang menolong mereka melepaskan diri daripada seksaan Allah.