Surah 70: Al-Ma’arij (8 – 18)

Keadaan Hari Kiamat yang Amat Dahsyat

Surah 70: Al-Ma’arij (8 – 18)


Ayat 8

يَوْمَ تَكُونُ ٱلسَّمَآءُ كَٱلْمُهْلِ

Pada hari ketika langit menjadi seperti leburan perak.

Allah Swt memberikan beberapa gambaran tentang kedahsyatan pada saat berlakunya Hari Kiamat, iaitu:

▪️  Langit yang selalunya dapat dilihat tegak dan kukuh, akan hancur serta menjadi cair seperti lelehan perak.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar, berkilat seperti (kilauan) minyak.”

Ar-Rahman 55:37

Ayat 9

وَتَكُونُ ٱلْجِبَالُ كَٱلْعِهْنِ

Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan).

▪️  Ketika bumi akan hancur, gunung-ganang yang selama ini merupakan pasak kepada bumi akan menjadi seperti bulu biri-biri yang halus berterbangan ditiup angin.

Kedahsyatan Hari Kiamat banyak digambarkan dalam ayat-ayat Al-Quran. Antaranya adalah firman Allah Swt:

“Dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.”

Al-Qari’ah 101:5

Ayat 10

وَلَا يَسْـَٔلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا

Dan tidak ada seorang kawan karib pun menanyakan kawannya.

▪️   Pada masa itu, masing-masing tidak bertanya khabar padahal mereka saling mengenali antara satu dengan yang lain. Ini kerana mereka disibukkan oleh keadaan diri masing-masing.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.”

‘Abasa 80:37

Ayat 11

يُبَصَّرُونَهُمْ ۚ يَوَدُّ ٱلْمُجْرِمُ لَوْ يَفْتَدِى مِنْ عَذَابِ يَوْمِئِذٍۭ بِبَنِيهِ

Sedangkan mereka saling melihat. Pada hari itu, orang yang berdosa ingin menebus (dirinya) daripada azab dengan anak-anaknya.

Ayat 12

وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَأَخِيهِ

Dan isterinya dan saudaranya.

Ayat 13

وَفَصِيلَتِهِ ٱلَّتِى تُـْٔوِيهِ

Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia).

Ayat 14

وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ يُنجِيهِ

Dan sesiapa pun secara keseluruhannya, kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

▪️  Orang-orang yang berdosa ingin sekiranya anak-anak, isteri, keluarga dan seisi dunia dapat dijadikan tebusan untuk menebus kesalahannya.

Namun keinginan itu hanya menjadi angan-angan kosong kerana orang lain tidak dapat memberi manfaat atau syafaat kecuali dengan izin Allah.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu dan takutlah pada hari yang ketika itu seorang ayah tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong ayahnya walau sedikit pun……….”

Luqman 31:33

“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tidaklah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya………………”

Fatir 35:18

“Pada hari itu, manusia lari daripada saudaranya. Dan daripada ibu dan bapanya. Dan daripada isteri dan anak-anaknya.”

‘Abasa 80:34-36

Ayat 15

كَلَّآ ۖ إِنَّهَا لَظَىٰ

Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergejolak (menyala dengan besar atau dengan hebat)

Ayat 16

نَزَّاعَةً لِّلشَّوَىٰ

Yang mengelupaskan (tertanggal sedikit) kulit kepala.

Kemudian Allah Swt memberi ancaman bagi menakutkan orang-orang kafir bahawa semua tebusan yang mereka angan-angankan itu tidak mampu menyelamatkan mereka daripada seksaan-Nya.

Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya api neraka itu betul-betul bergejolak iaitu berkobar-kobar dan membara disebabkan teramat panas sehingga menanggalkan kulit kepala. Inilah azab yang Dia sediakan kepada orang-orang yang berdosa.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Kami, kelak Kami akan masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami gantikan dengan kulit yang lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah adalah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.”

An-Nisa’ 4:56

Ayat 17

تَدْعُوا۟ مَنْ أَدْبَرَ وَتَوَلَّىٰ

Yang memanggil orang yang membelakangi dan yang berpaling (daripada agama).

Neraka akan memanggil-manggil penghuninya untuk datang kepadanya. Pada saat ini mereka tidak lagi mampu membelakangkan panggilan tersebut. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana semasa di dunia dahulu, mereka berpaling daripada agama Allah Swt.

Ayat 18

وَجَمَعَ فَأَوْعَىٰٓ

Serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya.

Allah Swt menyatakan antara sifat ahli neraka ialah mereka mengumpulkan harta tetapi tidak mahu mengeluarkan zakat dan tidak pula menginfakkannya ke jalan yang benar.

Rasulullah saw bersabda:

“Janganlah kamu hanya mengumpulkan (harta) kerana Allah akan menahan atasmu.”

(HR. Muslim)