Surah 70: Al-Ma’arij (36 – 44)

Azab yang Menimpa Orang yang Mendustakan Allah Swt

Surah 70: Al-Ma’arij (36 – 44)


Ayat 36

فَمَالِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ قِبَلَكَ مُهْطِعِينَ

Mengapakah orang-orang kafir itu bersegera datang ke arahmu.

Ayat 37

عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ عِزِينَ

Dari kanan dan dari kiri dengan berkelompok-kelompok?

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang kafir datang bergegas-gegas dari arah kanan dan kiri serta berkelompok-kelompok bertemu Rasulullah saw. Mereka berbuat demikian hanyalah ingin mencari kelemahan baginda supaya dapat menghina dan menjatuhkan baginda.

Mereka mengejek kata-kata Rasulullah saw yang mengandungi janji Allah Swt berupa syurga terhadap orang-orang beriman dan ancaman neraka bagi orang-orang kufur.

Ayat 38

أَيَطْمَعُ كُلُّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُمْ أَن يُدْخَلَ جَنَّةَ نَعِيمٍ

Adakah setiap orang daripada orang-orang kafir itu ingin masuk ke dalam syurga yang penuh kenikmatan?

Menurut sebahagian ahli tafsir, ayat-ayat ini adalah berkaitan dengan satu peristiwa ketika Rasulullah saw solat dan membaca Al-Quran di Masjidil Haram, lalu orang-orang musyrik berkumpul berkelompok-kelompok di hadapannya sambil mengejek dan mengatakan, “Jika orang-orang mukmin benar-benar akan masuk syurga sebagaimana kata Muhammad, tentu kitalah yang akan masuk syurga terlebih dahulu.” Maka turunlah ayat 38 ini.

Ayat 39

كَلَّآ ۖ إِنَّا خَلَقْنَـٰهُم مِّمَّا يَعْلَمُونَ

Sekali-kali tidak! Sesungguhnya Kami ciptakan mereka daripada apa yang mereka ketahui (air mani).

Maka dalam ayat ini, Allah Swt membantah ucapan mereka dan mematahkan angan-angan kosong mereka. Sekali-kali tidak mungkin orang-orang kafir akan dimasukkan ke dalam syurga bahkan mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam.

Kemudian Allah Swt menegaskan bahawa Hari Kebangkitan itu pasti terjadi dan azab akan menimpa orang-orang yang mengingkari adanya hari tersebut dan menganggapnya sebagai sesuatu yang mustahil.

Allah Swt memberikan dalil dengan merujuk kepada diri mereka bahawa Dia-lah yang menciptakan mereka pada kali pertama, maka mengembalikan penciptaan itu pada kali kedua jauh lebih mudah bagi-Nya daripada memulainya. Sedangkan mereka diciptakan daripada air mani sehingga mereka lemah tidak berkuasa untuk memberikan manfaat kepada diri mereka dan menghindarkan bahaya kepada diri mereka. Mereka juga tidak berkuasa untuk mematikan, menghidupkan dan membangkitkan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani)?”

Al-Mursalat 77:20

“Maka hendaklah manusia memerhatikan daripada apa dia diciptakan. Dia diciptakan daripada air (mani) yang terpancar. Yang keluar daripada di antara tulang belakang (sulbi) dan tulang dada. Sesungguhnya, Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya (hidup setelah mati). Pada hari diperlihatkan segala rahsia. Maka manusia tidak lagi mempunyai apa-apa kekuatan dan tidak (pula) ada penolong.”

At-Tariq 86:5-10

Ayat 40

فَلَآ أُقْسِمُ بِرَبِّ ٱلْمَشَـٰرِقِ وَٱلْمَغَـٰرِبِ إِنَّا لَقَـٰدِرُونَ

Maka Aku bersumpah dengan Rabb Yang mengatur tempat terbit dan terbenamnya (matahari, bulan dan bintang), sesungguhnya Kami benar-benar Maha Kuasa.

Allah Swt bersumpah dengan diri-Nya yang telah menciptakan langit dan bumi, timur dan barat, serta menundukkan bintang-bintang yang terbit dari arah timur dan tenggelam di arah barat, bahawa Hari Kebangkitan dan hari hisab itu pasti terjadi dan tidak dapat dielakkan.

Sumpah ini adalah untuk membantah orang-orang yang menyatakan bahawa tidak ada Hari Kiamat, padahal mereka telah menyaksikan kekuasaan-Nya pada ciptaan-Nya Yang Maha Sempurna.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan tidakkah mereka perhatikan sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Dia tidak berasa payah untuk menciptakan kerana Dia Maha Berkuasa dalam menghidupkan yang mati? Begitulah sesungguhnya, Dia Maha Kuasa ke atas segala sesuatu.”

Al-Ahqaf 46:33

“Dan bukankah (Allah) yang menciptakan langit dan bumi, maka sesungguhnya Dia mampu menciptakan kembali jasad mereka yang sudah hancur itu? Dia Maha Pencipta, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya urusan Allah apabila Dia mengkehendaki sesuatu, Dia hanya berkata, “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.”

Yasin 36:81-82

Ayat 41

عَلَىٰٓ أَن نُّبَدِّلَ خَيْرًا مِّنْهُمْ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ

Untuk mengganti (mereka) dengan kaum yang lebih baik daripada mereka, dan Kami tidak dapat dikalahkan.

Allah Swt benar-benar berkuasa untuk menghancurkan mereka dan Dia juga berkuasa mendatangkan generasi yang lebih baik daripada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kami telah menentukan kematian setiap daripada kamu dan Kami tidak lemah. Untuk menggantikan kamu dengan orang-orang yang seperti kamu (di dunia) dan menghidupkan kamu kelak (di akhirat) dalam keadaan tidak kamu ketahui.”

Al-Waqi’ah 56:60-61

Ayat 42

فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا۟ وَيَلْعَبُوا۟ حَتَّىٰ يُلَـٰقُوا۟ يَوْمَهُمُ ٱلَّذِى يُوعَدُونَ

Maka biarkanlah mereka tenggelam (dalam kebatilan) dan bermain-main sampai mereka menemui hari yang diancamkan kepada mereka.

Inilah jawapan dalam bentuk ancaman Allah Swt kepada kaum musyrikin yang masih tetap mendustakan risalah rasul-Nya dan tidak mahu tunduk kepada ayat-ayat-Nya. Maka mereka dibiarkan tenggelam dalam senda gurau dan bermain-main dalam kesesatan sehingga mereka berjumpa dengan hari yang penuh dengan penyesalan iaitu Hari Kiamat.

Ayat 43

يَوْمَ يَخْرُجُونَ مِنَ ٱلْأَجْدَاثِ سِرَاعًا كَأَنَّهُمْ إِلَىٰ نُصُبٍ يُوفِضُونَ

(Iaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia).

Allah Swt menyatakan keadaan manusia ketika mereka bertemu dengan hari yang diancamkan kepada mereka. Mereka keluar dari kubur dalam keadaan bersegera seakan-akan mereka menuju kepada berhala-berhala mereka ketika di dunia dahulu.

Ada beberapa maksud نُصُبٍ ‘nusub’ iaitu:

▪️  Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid dan Ad-Dahhak mengatakan, “Iaitu mereka bergegas menuju ke sebuah bendera.”

▪️  Abul ‘Aliyah dan Yahya bin Abi Kathir berkata, “Iaitu mereka bergegas menuju satu tujuan.”

▪️  Jumhur ulama telah membaca: ilaa nasbin iaitu dengan memberi harakat fathah pada huruf nun dan sukun pada huruf sad, yang berkedudukan sebagai masdar, dengan pengertian “Yang ditegakkan.”

▪️  Sedangkan Al-Hasan Al-Basri membaca, “Nusubu” dengan memberikan harakat dhammah pada nun dan sad yang memberi maksud berhala iaitu mereka bersegera berkumpul di Mahsyar sebagaimana mereka bersegera kepada berhala ketika mereka berada di dunia dahulu.

Ayat 44

خَـٰشِعَةً أَبْصَـٰرُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْيَوْمُ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يُوعَدُونَ

Dalam keadaan mereka menundukkan pandangan (serta) diliputi kehinaan. Itulah hari yang dahulunya diancamkan kepada mereka.

Allah Swt menutup surah ini dengan mengatakan mereka berkumpul dengan segera untuk berdiri di hadapan Allah Rabbul ‘alamiin. Namun pada hari itu pandangan mereka tertunduk kerana berasa malu, terhina dan perasaan cemas telah menguasai hati mereka sehingga penglihatan mereka pun ikut tertunduk, pergerakan terhenti dan suara pun terdiam.

Inilah Hari Kiamat yang dahulu mereka ingkari dan dustakan. Allah Ta’ala telah menyediakan untuk mereka pada hari itu seksaan akibat sikap mereka sendiri.