Surah 70: Al-Ma’arij (22 – 35)

Sifat Orang yang Terhindar daripada Sikap Suka Berkeluh Kesah dan Kedekut yang Mendapat Ganjaran Syurga

Surah 70: Al-Ma’arij (22 – 35)


Ayat 22

إِلَّا ٱلْمُصَلِّينَ

Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat.

Allah Swt menyatakan sifat-sifat manusia yang terhindar daripada bersifat keluh kesah dan kedekut. Antaranya ialah:

▪️  Sentiasa mendirikan solat kerana solatlah yang mendorong mereka tidak berkeluh kesah apabila ditimpa bencana dan tidak menghiraukan kemewahan serta tidak kedekut dengan rezeki yang mereka peroleh.

Ayat 23

ٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَآئِمُونَ

Yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya.

Ayat 24

وَٱلَّذِينَ فِىٓ أَمْوَٰلِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ

Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu.

Ayat 25

لِّلسَّآئِلِ وَٱلْمَحْرُومِ

Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta).

Ayat 26

وَٱلَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ ٱلدِّينِ

Dan orang-orang yang mempercayai Hari Pembalasan.

Ayat 27

وَٱلَّذِينَ هُم مِّنْ عَذَابِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ

Dan orang-orang yang takut terhadap azab Rabbnya.

Ayat 28

إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ

Sesungguhnya azab Rabb mereka tidak selayaknya orang berasa aman (daripada kedatangannya).

Ayat 29

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ

Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya.

Ayat 30

إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela.

Ayat 31

فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ

Barangsiapa mencari yang di sebalik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

Ayat 32

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ

Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya.

Ayat 33

وَٱلَّذِينَ هُم بِشَهَـٰدَٰتِهِمْ قَآئِمُونَ

Dan orang-orang yang berpegang teguh kepada kesaksiannya.

Ayat 34

وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Dan orang-orang yang memelihara solatnya.

Dalam ayat 23 hingga ayat 34 ini, Allah Swt menyebutkan lagi sifat-sifat yang boleh mengelakkan manusia daripada bersikap suka berkeluh kesah dan kedekut iaitu:

▪️  Tetap mendirikan solat tepat pada waktu tanpa terhalang oleh sebarang pekerjaan lain dan menepati ajaran Rasulullah saw dengan memperhatikan syarat-syarat, rukun-rukun serta sunnah-sunnahnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar……….”

Al-‘Ankabut 29:45

▪️  Menetapkan dalam harta mereka peruntukan yang tertentu untuk menunaikan tanggungjawab sesama manusia dengan mengeluarkan zakat dan infak kepada yang layak menerimanya.

▪️  Mempercayai dengan sepenuh hati tentang adanya Hari Kiamat yang merupakan Hari Kebangkitan, Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan.

▪️  Berasa takut dan cemas terhadap azab Allah yang sangat pedih. Mereka takut melanggar perintah Allah dan meninggalkan kewajipan yang dibebankan kepada mereka. Oleh itu, mereka berusaha untuk mengelakkan diri daripada diazab dengan melakukan kewajipan dan meninggalkan yang dilarang.

▪️  Memelihara kemaluan iaitu menjaganya daripada hal-hal yang haram dan tidak meletakkannya pada tempat yang tidak diizinkan oleh Allah kecuali kepada isteri-isterinya atau hamba sahaya yang dia miliki.

▪️  Apabila mereka diberikan kepercayaan, mereka tidak khianat. Jika berjanji, mereka tidak memungkirinya. Demikianlah sifat orang-orang mukmin dan berlawanan dengan sifat-sifat orang-orang munafik.

▪️  Memberi persaksian dengan jujur dan tidak menyembunyikannya. Menunaikan tanggungjawab tersebut dengan penuh amanah dan tidak melakukan penyelewengan dalam persaksian.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………………..dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya…………”

Al-Baqarah 3:283

▪️  Memelihara solat lima waktu dengan sempurna syarat-syarat dan rukun-rukunnya.

Allah Swt memulakan rangkaian ayat-ayat ini dengan menyebut tentang solat dan mengakhirinya juga dengan solat. Ini menunjukkan betapa pentingnya diberikan perhatian terhadap solat dan kemuliaannya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Al-Mu’minun 23:1-2

Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya amal yang mula-mula dihisab kepada seorang hamba pada Hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, sesungguhnya dia telah beruntung dan berhasil. Jika solatnya rosak, sesungguhnya dia telah gagal dan rugi. Jika berkurang sedikit daripada solat wajibnya, maka Allah Swt berfirman, ‘Lihatlah apakah hamba-Ku memiliki solat sunnah.’ Maka disempurnakanlah apa yang kurang daripada solat wajibnya. Kemudian begitu pula dengan seluruh amalnya.”

(HR. Tirmizi, beliau mengatakan hadis ini hasan)

Ayat 35

أُو۟لَـٰٓئِكَ فِى جَنَّـٰتٍ مُّكْرَمُونَ

Mereka itu (kekal) di dalam syurga lagi dimuliakan.

Allah Swt menyatakan sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini akan dikurniakan syurga yang penuh dengan segala kenikmatan dan perkara yang menggembirakan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi (iaitu) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”

Al-Mu’minun 23:10-11