Surah 70: Al-Ma’arij (19 – 21)

Manusia Suka Berkeluh Kesah dan Kikir

Surah 70: Al-Ma’arij (19 – 21)


Ayat 19

إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا

Sesungguhnya, manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir.

Ayat 20

إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعًا

Apabila dia ditimpa kesusahan dia akan berkeluh kesah.

Ayat 21

وَإِذَا مَسَّهُ ٱلْخَيْرُ مَنُوعًا

Dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kikir.

Dalam rangkaian ayat-ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa dua sifat buruk yang ada pada manusia ialah sifat berkeluh kesah dan kedekut.

Sifat keluh kesah ini dapat diketahui apabila seseorang itu ditimpa musibah. Ketika ditimpa kefakiran, kebuntuan, sakit atau kesusahan-kesusahan yang lain, maka dia akan berasa resah, sangat sedih dan banyak merungut atau mengadu.

Apabila mendapat kesenangan pula seperti kekayaan, kelapangan, kedudukan, kekuatan, kesihatan atau nikmat-nikmat yang lain, dia banyak menolak, menahan atau bersifat kedekut terhadap harta yang diperolehnya.

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

“Seburuk-buruk perkara pada seseorang adalah kekikiran dan ketakutan yang berlebihan.”

(HR. Ahmad)