Permintaan Orang Kafir supaya Disegerakan Hari Kiamat
Surah 70: Al-Ma’arij (1 – 7)
Ayat 1
سَأَلَ سَآئِلٌۢ بِعَذَابٍ وَاقِعٍ
Seorang peminta telah meminta kedatangan azab yang bakal terjadi.
Allah Swt memulai surah ini dengan menyatakan bahawa orang-orang kafir secara mengejek telah meminta disegerakan azab yang bakal terjadi.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan mereka meminta kepadamu (Muhammad) agar azab itu disegerakan kedatangannya, padahal Allah itu tidak akan mengingkari janji-Nya.”
Al-Hajj 22:47
“Dan (ingatlah) ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata, ‘Ya Allah, jika (Al-Quran) ini benar (wahyu) daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.’”
Al-Anfal 8:32
Ayat 2
لِّلْكَـٰفِرِينَ لَيْسَ لَهُۥ دَافِعٌ
Untuk orang-orang kafir, yang tidak seorang pun dapat menolaknya.
Oleh itu, Allah Swt menyatakan bahawa azab yang mereka minta itu adalah untuk orang-orang kafir yang tidak ada seorang pun dapat menahannya jika Dia kehendaki terjadi.
Ayat 3
مِّنَ ٱللَّهِ ذِى ٱلْمَعَارِجِ
(Yang datang) daripada Allah, yang mempunyai tempat-tempat naik.
Azab tersebut datangnya daripada Allah Swt yang mempunyai tempat yang tinggi. Oleh itu, hal ini bukanlah suatu yang boleh diremehkan atau dipermain-mainkan kerana ia pasti terjadi dan tidak boleh dihalang atau dikurangkan.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan ذِى ٱلْمَعَارِجِ (Yang mempunyai tempat-tempat naik) bermaksud memiliki ketinggian dan keutamaan. Mujahid pula mengatakan maksudnya ialah yang mempunyai tempat-tempat tinggi iaitu tingkatan-tingkatan langit.
Ayat 4
تَعْرُجُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ إِلَيْهِ فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُۥ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) Allah dalam sehari, yang kadarnya lima puluh ribu tahun.
Ruh (ٱلرُّوحُ) dalam ayat ini bermaksud Jibril as. Ini kerana keistimewaannya sebagai makhluk yang hebat dan mempunyai kedudukan yang tinggi.
Para malaikat yang patuh dan Jibril as yang setia lagi amanah untuk menyampaikan wahyu-Nya naik menghadap Allah Swt untuk menjunjung perintah-Nya. Mereka akan menerima segala arahan untuk dijalankan. 50,000 tahun adalah sebagai maklumat kepada kita tentang berapa jauh jarak laluan itu. Itulah jarak antara dunia dan langit ke tujuh. Begitu tinggi sekali dan Allah Swt lebih tinggi kerana Dia berada pada kedudukan yang lebih tinggi lagi dari langit.
Ada beberapa pendapat tentang maksud 50,000 tahun ini. Antaranya ialah tempoh ketika menerima seksaan di Mahsyar. Namun kepada orang-orang yang beriman, Allah Swt akan meringankan azab tersebut kepada mereka sebagai satu kemuliaan dan kenikmatan demi kenikmatan akan diberikan kepada mereka.
Imam Ahmad meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Husain bin Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Lahi’ah, telah menceritakan kepada kami Darraj, daripada Abul Haisam, daripada Abu Sa’id Al-Khudri yang mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah ditanya tentang maksud ayat, “Dalam sehari, yang kadarnya lima puluh ribu tahun.” (Al-Ma’arij: 4), “Wahai Rasulullah, berapa lamakah hari tersebut?” Maka Rasulullah saw menjawab:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sungguh akan diringankan bagi orang mukmin (lamanya hari tersebut) sehingga terasa lebih cepat baginya dari suatu solat fardhu yang dikerjakannya di bumi.”
(HR. Ahmad)
Ayat 5
فَٱصْبِرْ صَبْرًا جَمِيلًا
Maka bersabarlah engkau (Muhammad) dengan kesabaran yang baik.
Allah Swt memujuk Rasulullah saw agar bersabar dengan sebaik-baik kesabaran dalam menghadapi ejekan dan pendustaan daripada kaumnya serta permintaan mereka agar dipercepatkan azab.
Ayat 6
إِنَّهُمْ يَرَوْنَهُۥ بَعِيدًا
Sesungguhnya mereka memandangnya (seksaaan) itu jauh (mustahil).
Ini kerana orang-orang kafir itu menganggap bahawa Hari Kiamat itu mustahil terjadi.
Ayat 7
وَنَرَىٰهُ قَرِيبًا
Tetapi Kami memandangnya dekat.
Manakala orang-orang yang beriman berasa takut akan kedatangan Hari Kiamat kerana mereka yakin hari tersebut adalah benar-benar akan terjadi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Kiamat meminta supaya hari itu segera terjadi dan orang-orang yang beriman berasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya kiamat itu benar-benar telah tersesat jauh.”
Asy-Syura 42:18