Surah 7: Al-A’raf (80 – 84)

Kisah Nabi Lut dan Kaum Sodom

Surah 7: Al-A’raf (80 – 84)


Kisah Nabi Lut dan Kaum Sodom

Kaum Sodom yang mengamalkan hubungan homoseksual

Ayat 80

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

Nabi Lut as diutus untuk mengajak kaumnya beribadah hanya kepada Allah swt semata-mata, melakukan perkara-perkara kebaikan dan melarang mereka melakukan perbuatan keji yang belum pernah dilakukan sebelumnya oleh mana-mana golongan sama ada daripada golongan jin ataupun manusia. 

Kaum Nabi Lut as melakukan perbuatan fahisyah (keji) iaitu melakukan hubungan sejenis sesama lelaki bukan dengan kaum wanita. Pada akhir ayat ini Nabi Lut as mempersoalkan mengapa mereka berpaling daripada wanita padahal wanita diciptakan untuk kaum lelaki. 

Ayat 81

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Nabi Lut as mengatakan bahawa sesungguhnya perbuatan kaumnya adalah suatu kebodohan dan melampaui batas. Baginda memberi petunjuk kepada mereka agar menikahi wanita daripada kalangan mereka seperti dalam firman Allah swt: 

“Dia (Lut) berkata, “Inilah puteri-puteriku (kahwinlah dengan mereka), jika kamu hendak berbuat (secara yang halal).” 

Al-Hijr 15:71 

Ayat 82

وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Kaum Nabi Lut as sama sekali tidak mahu mendengar dan mengikuti nasihat dan peringatan Baginda itu. Mereka malah mengusir Baginda dan pengikut-pengikutnya yang beriman bersama dengannya dari tempat tinggal mereka. Mereka mengusir dengan mengucapkannya dalam bentuk penghinaan, mengejek dan berbangga dengan perbuatan keji mereka. 

Ayat 83

فَأَنجَيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.

Kemudian Allah Ta’ala menyelamatkan Nabi Lut as dan keluarganya yang beriman kecuali isterinya. Isterinya tidak beriman dan termasuk dalam golongan orang-orang yang dibinasakan. Firman-firmanNya: 

“Lalu Kami keluarkan orang-orang yang beriman yang berada di negeri kaum Lut itu. Dan Kami tidak mendapatkan di negeri itu, kecuali sebuah rumah daripada orang-orang yang berserah diri.” 

Az-Zariyat 51:35-36 

“Kecuali Lut beserta pengikut-pengikutnya. Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan mereka semuanya, kecuali isterinya. Kami telah menentukan, bahawa sesungguhnya dia itu termasuk orang-orang yang tertinggal (bersama-sama dengan orang kafir lainnya).” 

Al-Hijr 15:59-60

“Maka Kami selamatkan dia berserta keluarganya, kecuali isterinya. Kami telah mentakdirkan dia (isterinya) termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).” 

An-Naml 27:57 

Ayat 84

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُجْرِمِينَ

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Allah swt menurunkan bala kepada negeri itu dengan menghujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras sebagaimana firman-firmanNya: 

“Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras.” 

Al-Hijr 15:74 

“Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Rabbmu, dan seksaan itu tiadalah jauh daripada orang-orang yang zalim.” 

Hud 11:82-83 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw menjelaskan kepada kaumnya bagaimana akibat terhadap orang-orang yang berani menderhakaiNya dan mendustakan para rasulNya. Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah  saw bersabda: 

“Siapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Lut (homoseksual), maka bunuhlah pelakunya.” 

(HR. Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)