Surah 7: Al-A’raf (8 – 10)

Timbangan Amal Seseorang di Akhirat

Surah 7: Al-A’raf (8 – 10)


Ayat 8

وَٱلْوَزْنُ يَوْمَئِذٍ ٱلْحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang hukum hisab dan balasan. Perbezaan antara yang berat dengan yang ringan adalah berdasarkan kebenaran dan keadilan yang sempurna. Dia tidak akan menzalimi sesiapa pun seperti dalam firman-Nya: 

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” 

Al-Anbiya’ 21:47 

Oleh itu, barangsiapa yang berat timbangannya dengan keimanan dan amal kebaikan, mereka adalah orang-orang yang menang dan mendapat syurga dan selamat daripada seksaan. 

Ayat 9

وَمَنْ خَفَّتْ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَظْلِمُونَ

Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa barangsiapa yang ringan timbangan amal perbuatannya kerana kekufuran dan banyak dosanya, maka mereka adalah orang-orang yang merugikan diri sendiri. 

Ayat 10

وَلَقَدْ مَكَّنَّـٰكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَـٰيِشَ ۗ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Allah Swt menjelaskan anugerah yang Dia berikan kepada hamba-hamba-Nya berupa bumi sebagai tempat tinggal dan Dia jadikan padanya gunung-gunung dan sungai-sungai. Dia menghalalkan segala kemanfaatan bumi, Dia menundukkan awan agar mengeluarkan rezeki berupa air tetapi kebanyakan daripada manusia kurang mensyukurinya. Firman-Nya: 

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” 

Ibrahim 14:34