Kisah Nabi Saleh as dan Kaum Thamud
Surah 7: Al-A’raf (73 – 79)
Unta betina yang merupakan mukjizat Nabi Saleh as dan azab yang ditimpakan ke atas kaum Thamud
Ayat 73
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًا ۗ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ قَدْ جَآءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ هَـٰذِهِۦ نَاقَةُ ٱللَّهِ لَكُمْ ءَايَةً ۖ فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِىٓ أَرْضِ ٱللَّهِ ۖ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوٓءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Kaum Thamud adalah kaum yang datang setelah kaum ‘Aad. Tempat tinggal mereka dibina daripada batu dan terletak di sebelah utara jazirah Arab iaitu antara Hijr dan Syam.
Nabi Saleh as diutuskan kepada kaum Thamud ini. Tugas Baginda ialah menyampaikan risalah Allah Ta’ala dan mengajak kaum Thamud ini agar menyembah-Nya semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya seperti yang dibawa oleh para rasul yang lain. Firman Allah Swt:
“Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya, ‘Bahawasanya tidak ada Ilah (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.'”
Al-Anbiya’ 21:25
“Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah thaghut itu…………….”
An-Nahl 16:36
Nabi Saleh as mengatakan kepada kaumnya bahawa telah datang bukti yang nyata daripada Allah Ta’ala atas kebenaran yang dibawanya. Merekalah yang meminta agar Baginda mendatangkan mukjizat supaya dikeluarkan seekor unta betina yang bunting yang hampir melahirkan daripada batu besar.
Maka Nabi Saleh as mengambil perjanjian daripada mereka, jika Allah Swt memenuhi permintaan mereka, mereka wajib beriman dan mengikuti Baginda. Ketika keluar unta betina dari batu tersebut, berimanlah sebahagian daripada kaumnya dan sebahagian lagi tetap tidak beriman.
Setelah itu, Baginda pun meminta kaumnya membiarkan unta itu hidup bebas bersama mereka di bumi ini dan memakan apa yang ada di bumi ini kerana bumi ini kepunyaan Allah Swt dan unta ini adalah unta-Nya dan tidak wajar mereka menghalangnya, lebih-lebih lagi menyakitinya dan menyembelihnya. Seterusnya Nabi Saleh as mengancam kaumnya bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih daripada Allah Ta’ala jika mereka mengganggu atau membunuh unta itu.
Unta tersebut bebas hidup di tengah-tengah kaum Thamud. Unta itu minum daripada telaga mereka dan agar tidak menimbulkan kesulitan antara kaumnya dengan unta itu, maka Nabi Saleh as diperintahkan oleh Allah Swt mengadakan giliran hari-hari minum oleh kaumnya dan juga unta tersebut sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“Dan beritahulah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu), tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang berhak pada gilirannya).”
Al-Qamar 54:28
“Saleh menjawab, “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air pada hari yang tertentu.”
Asy-Syu’ara 26:155
Ayat 74
وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَآءَ مِنۢ بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ ٱلْجِبَالَ بُيُوتًا ۖ فَٱذْكُرُوٓا۟ ءَالَآءَ ٱللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum ‘Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa setelah Nabi Saleh as mengajak kaumnya menyembah-Nya dan menasihati mereka supaya berbuat baik kepada unta itu, Baginda mengingatkan mereka kepada nikmat-nikmat-Nya yang mereka peroleh. Antaranya ialah mereka diberi kekuasaan dan kekuatan untuk memakmurkan bumi ini sebagai pengganti kaum ‘Aad.
Mereka diberikan oleh Allah Ta’ala pengetahuan dan keahlian membuat bahan-bahan seperti batu bata, kapur, dan genting untuk membina bangunan. Mereka juga diberikan kecekapan, kesanggupan dan ketabahan dalam memahat bukit-bukit dan gunung-gunung untuk dijadikan istana-istana, rumah-rumah kediaman dan tempat tinggal mereka dan menjadikannya sebagai tempat untuk menghindarkan bahaya hujan dan dingin pada musim dingin. Mereka hanya keluar dari bukit itu pada musim-musim lain bagi tujuan pertanian dan pekerjaan-pekerjaan yang lain.
Nabi Saleh as selain menyeru mereka agar hanya menyembah Allah Ta’ala semata-mata, Baginda juga melarang mereka melakukan kerosakan di atas muka bumi, antaranya mereka dilarang melakukan perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah Swt berupa kekufuran dan kemusyrikan serta kezaliman.
Orang-orang yang lemah daripada kaumnya beriman dengannya namun orang-orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti pemimpin dan orang-orang kaya serta berpangkat menolak seruan Baginda. Mereka mengingkarinya, membangkang dan menyombongkan diri mereka terhadap Nabi Saleh as.
Ayat 75
قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لِلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِمَنْ ءَامَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَـٰلِحًا مُّرْسَلٌ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ قَالُوٓا۟ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلَ بِهِۦ مُؤْمِنُونَ
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahawa Saleh itu diutus dari Tuhannya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya”.
Ayat ini menyebutkan bahawa pembesar kaum Thamud yang sombong mengatakan kepada orang-orang lemah yang beriman kepada Nabi Saleh as dengan cara mengejek, seolah-olah orang-orang lemah itu berada dalam kekeliruan kerana beriman kepada kerasulan Baginda. Demikianlah tingkah laku sebahagian manusia yang kaya dan mempunyai kedudukan sebagaimana dalam firman Allah Swt:
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.”
An-Naml 27:14
Orang-orang yang beriman telah menyatakan dengan jelas dan tegas tentang keimanan mereka dengan apa yang dibawa oleh Nabi Saleh as. Mereka percaya kepada ajarannya yang mengajak kepada tauhid dan apa yang diterangkannya, perintahnya serta larangannya, semuanya diterima dengan penuh keyakinan.
Ayat 76
قَالَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا بِٱلَّذِىٓ ءَامَنتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”.
Ini merupakan sebuah penentangan dan suatu kesombongan daripada para pembesar dengan mengatakan bahawa mereka mengingkari kerasulan Nabi Saleh as.
Ayat 77
فَعَقَرُوا۟ ٱلنَّاقَةَ وَعَتَوْا۟ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُوا۟ يَـٰصَـٰلِحُ ٱئْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)”.
Orang-orang yang mengingkari perintah Allah Ta’ala ini telah menyembelih unta tersebut. Firman Allah Swt:
“Maka mereka memanggil kawannya, lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya.”
Al-Qamar 54:29
Nabi Saleh as mengatakan kepada kaumnya yang ingkar seperti dalam firman Allah Swt:
“Mereka membunuh unta itu, maka dia (Saleh) berkata, ‘Bersukarialah kamu sekalian di rumahmu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan.'”
Hud 11:65
Dalam tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa kisah pembunuhan unta ini disebutkan oleh Imam Ibnu Jarir dan beberapa ulama’ tafsir yang lain. Mereka menyebutkan bahawa orang yang menyembelihnya adalah Qidar bin Salif atas perintah seorang wanita tua, Ummu Ghanam yang paling memusuhi Nabi Saleh as. Pembunuhan unta tersebut adalah atas kesepakatan semua kabilah kaum Thamud apabila mereka semakin mendustakan Nabi Saleh as dan bertekad untuk menyembelih unta tersebut agar mereka boleh menguasai air setiap hari tanpa perlu bergilir-gilir dengan unta tersebut.
Apabila Nabi Saleh as melihat unta itu terbunuh maka dia menangis dan berkata, “Bersukarialah kamu semua di rumahmu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan,” seperti firman Allah Swt dalam ayat 65 Surah Hud.
Ada yang mengatakan bahawa tempoh bersukaria yang diberikan tiga hari tersebut ialah tempoh sebelum azab menimpa kaum Thamud. Pada hari pertama daripada ketiga hari itu muka mereka menjadi pucat kuning. Pada hari kedua muka mereka menjadi merah dan hari ketiga muka mereka bertukar menjadi hitam. Kemudian keesokannya mereka ditimpa azab.
Ayat 78
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَارِهِمْ جَـٰثِمِينَ
Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
Ayat ini menerangkan azab Allah Swt yang ditimpakan kepada mereka itu berupa petir yang dahsyat yang menggentarkan jantung manusia dan gempa bumi yang besar menggoncangkan bumi dan menghancurkan semua bangunan sehingga mereka yang menentang-Nya semuanya habis mati bergelimpangan.
Ayat 79
فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَـٰقَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّى وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَـٰكِن لَّا تُحِبُّونَ ٱلنَّـٰصِحِينَ
Maka Nabi Saleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”.
Ini adalah celaan daripada Nabi Saleh as kepada kaumnya, setelah Allah Swt membinasakan mereka kerana mereka menyelisihinya, derhaka kepada Allah Swt, menolak kebenaran dan berpaling daripada petunjuk. Kemudian Nabi Saleh as meninggalkan kaumnya yang ditimpa azab dan pergi dari tempat itu bersama-sama dengan kaumnya yang beriman. Firman-Nya:
“Alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku. Sesungguhnya Kami menimpakan atas mereka satu suara yang dahsyat, maka jadilah mereka seperti rumput kering (yang dikumpulkan oleh) pemilik-pemilik kandang binatang.”
Al-Qamar 54:30-31