Surah 7: Al-A’raf (65 – 72)

Kisah Nabi Hud dan Kaum ‘Aad

Surah 7: Al-A’raf (65 – 72)


Kisah Nabi Hud dan Kaum 'Aad

Penempatan Kaum ‘Aad dan azab yang ditimpakan ke atas mereka

Ayat 65

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۗ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan kepada kaum ‘Aad seorang rasul iaitu Nabi Hud as daripada kalangan mereka sendiri dan memerintahkan kepadanya untuk menyeru kaumnya supaya menyembah Allah swt, Rabb Yang Maha Esa dan meninggalkan segala sesuatu selainNya. 

Oleh itu, Nabi Hud as menyeru kaumnya supaya bertakwa kepada Allah Ta’ala dan meninggalkan segala yang dimurkaiNya untuk menghindarkan diri daripada seksaanNya. Firman-firmanNya: 

“Dan kepada kaum ‘Aad (Kami utus) saudara mereka, Hud. Dia (Hud) berkata, ‘Wahai kaumku, beribadahlah kepada Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Ilah selain Dia. Kamu hanyalah mengada-adakan sahaja. Wahai kaumku, aku tidak meminta upah kepadamu bagi seruanku ini. Upahku tidak lain hanyalah daripada Allah yang telah menciptakanku. Maka tidakkah kamu memikirkan(nya)?'” 

Hud 11:50-51 

“Adapun kaum ‘Aad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata, “Siapakah yang lebih besar kekuatannya daripada kami?” Dan apakah mereka itu tidak memperhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatannya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami.” 

Fussilat 41:15 

Ayat 66

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى سَفَاهَةٍ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.

Ayat ini menerangkan bahawa para pembesar kaum Nabi Hud as tetap dalam kekufuran dan menentang kerasulan Baginda. Mereka bukan sahaja menolak seruannya malahan mereka menegaskan bahawa mereka berada dalam agama yang benar dan mereka memandang Baginda berada dalam kesesatan disebabkan Baginda meninggalkan agama mereka dan menghina orang-orang yang terkemuka di kalangan kaumnya yang mereka anggap suci. 

Ayat 67

قَالَ يَـٰقَوْمِ لَيْسَ بِى سَفَاهَةٌ وَلَـٰكِنِّى رَسُولٌ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

Allah Ta’ala menyebutkan Nabi Hud as menjawab tuduhan daripada pemimpin kaum ‘Aad bahawa Baginda bukanlah kurang waras ataupun bodoh. Sebaliknya sebenarnya merekalah yang kurang waras (bodoh) kerana menyembah sesuatu yang tidak dapat memberikan apa-apa manfaat berupa batu dan pepohonan, bahkan yang disembah itu lebih lemah daripada penyembahnya. 

Ayat 68

أُبَلِّغُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَأَنَا۠ لَكُمْ نَاصِحٌ أَمِينٌ

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.

Nabi Hud as menyampaikan apa yang diwahyukan Rabbnya kepadanya. Sifat ini adalah sifat yang dimiliki oleh semua para rasul iaitu menyampaikan amanat, memberi nasihat dan dapat dipercayai. Oleh sebab itu, kewajipan kaumnya adalah untuk menerimanya, tunduk dan taat kepada Allah Rabbul ‘alamin. 

Ayat 69

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَآءَكُمْ ذِكْرٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ ۚ وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَآءَ مِنۢ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِى ٱلْخَلْقِ بَصْۜطَةً ۖ فَٱذْكُرُوٓا۟ ءَالَآءَ ٱللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

Ayat ini merupakan peringatan kepada kaum Nabi Hud as iaitu kaum ‘Aad. Sebagai keturunan Nabi Nuh as, mereka hendaklah mengagungkan dan memuji Allah Ta’ala dan bersyukur kepadaNya kerana Dia masih mengizinkan mereka hidup di atas muka bumi. Mereka adalah pengganti penduduk bumi yang telah dibinasakanNya melalui doa Nabi Nuh as setelah mereka (kaum Nabi Nuh) menentang dan mendustakannya sebagaimana firmanNya: 

“Dia (Nuh) berkata, ‘Wahai Rabbku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku, maka berilah keputusan antara aku dengan mereka, dan selamatkanlah aku dan mereka yang beriman bersamaku.” 

Asy-Syu’ara 26:117-118 

Nabi Hud as juga mengingatkan kaumnya akan nikmat-nikmat daripada Allah Ta’ala dengan menjadikan mereka satu kaum yang bertubuh tegap, perkasa, lebih tinggi dan kuat daripada kaum yang lain. 

Ayat 70

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِنَعْبُدَ ٱللَّهَ وَحْدَهُۥ وَنَذَرَ مَا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا ۖ فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

Allah Ta’ala memberitahu tentang kesombongan, kezaliman, penentangan dan keingkaran kaum ‘Aad terhadap seruan Nabi Hud as. Mereka mengingkari dan menjawab dengan sombong seperti dalam ayat di atas. Mereka bukan sahaja menyombongkan diri terhadap peringatan daripada Nabi Hud as, malah mereka berlebih-lebihan dalam kebodohan dan penentangan iaitu mereka meminta diturunkan seksaan kepada mereka dan dipercepatkan penurunan azab tersebut. 

Ayat 71

قَالَ قَدْ وَقَعَ عَلَيْكُم مِّن رَّبِّكُمْ رِجْسٌ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجَـٰدِلُونَنِى فِىٓ أَسْمَآءٍ سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّا نَزَّلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَـٰنٍ ۚ فَٱنتَظِرُوٓا۟ إِنِّى مَعَكُم مِّنَ ٱلْمُنتَظِرِينَ

Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.

Nabi Hud as berkata kepada kaum ‘Aad bahawa Allah Ta’ala telah menentukan azab yang akan ditimpakan kepada mereka dan mereka pasti akan mengalami kemurkaanNya iaitu mereka akan dijauhkan daripada rahmatNya. Ini kerana pengingkaran mereka terhadap risalah Baginda. 

Kaum Nabi Hud as berdebat berkenaan dengan berhala-berhala yang mereka sembah, padahal semua berhala itu sama sekali tidak dapat memberikan mudarat ataupun manfaat kepada mereka. Sekiranya apa yang mereka katakan itu adalah benar, sudah tentu Allah swt telah menurunkan bukti-bukti yang membenarkan pegangan mereka. 

Kemudian Nabi Hud as memberikan ancaman kepada mereka agar menunggu sehingga turunnya azab yang pedih daripada Allah Ta’ala sebagaimana yang mereka minta. Sesungguhnya Baginda juga menunggu azab itu datang menimpa mereka. 

Ayat 72

فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَقَطَعْنَا دَابِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۖ وَمَا كَانُوا۟ مُؤْمِنِينَ

Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

Setelah kaum ‘Aad menentang dan menuntut azab yang dijanjikan, maka datanglah azab Allah Ta’ala menimpa mereka dan Dia telah menyelamatkan Baginda dan orang-orang yang beriman bersama-samanya daripada azab tersebut. 

Azab itu berupa angin yang sangat dahsyat yang membinasakan kaum ‘Aad disebabkan mereka mendustakan kebesaran Allah swt bahkan mengingkari utusanNya. Mereka dilenyapkan daripada muka bumi ini dengan angin yang menghancurkan segala sesuatu sebagaimana yang disebutkan dalam firmanNya: 

“Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).” 

Al-Haqqah 69:6-7 


Infografik Kisah Nabi Hud