Surah 7: Al-A’raf (59 – 64)

Kisah Nabi Nuh dan Bahteranya

Surah 7: Al-A’raf (59 – 64)


Kisah Nabi Nuh dan Bahteranya

Bahtera Nabi Nuh yang dibina untuk menghadapi banjir besar

Ayat 59

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”

‘Abdullah bin ‘Abbas ra dan beberapa ulama tafsir yang lain menyebutkan bagaimana berhala-berhala mula disembah. Ketika sejumlah orang-orang soleh meninggal dunia, ada suatu kaum membina rumah ibadah di atas kuburan mereka. Kemudian mereka menggambarkan orang-orang soleh yang telah meninggal dunia itu untuk mencontohi kesolehan mereka dalam beribadat. Namun lama kelamaan, zaman berganti, mereka mematungkan gambar-gambar tersebut. Kemudian zaman terus berlalu, mereka menyembah patung-patung tersebut yang dijadikan berhala. Berhala-berhala tersebut dinamakan dengan nama-nama orang-orang soleh tersebut seperti Wadd, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan An-Nasr. Ketika penyembahan tersebut semakin berleluasa, Allah pun mengutus Nabi Nuh as. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala bersumpah kepada penduduk Mekah dan lain-lain bahawa Dia telah mengutus Nabi Nuh as kepada kaumnya untuk memberikan peringatan dan mengajak mereka agar mengesakanNya, menyembahNya semata-mata dan tidak mensyirikkanNya. 

Nabi Nuh as menyatakan bahawa Baginda takut terhadap azab yang akan menimpa kaumnya pada hari yang besar iaitu hari kiamat, jika mereka bertemu dengan Allah Ta’ala dalam keadaan mereka menyekutukanNya. 

Ayat 60

قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa para pemimpin kaum Nabi Nuh as berpendapat sesungguhnya Baginda as berada dalam kesesatan disebabkan Baginda melarang mereka menyembah berhala yang mereka pandang sebagai penolong mereka di hadapanNya dan sebagai perantara untuk mendekatkan mereka kepadaNya. Memang demikianlah tingkah laku orang-orang kafir itu sering menuduh bahawa orang-orang yang beriman kepada Allah swt adalah orang-orang yang sesat sebagaimana tersebut dalam firmanNya: 

“Dan apabila mereka melihat orang-orang mukmin, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat.’” 

Al-Mutaffifin 83:32 

Ayat 61

قَالَ يَـٰقَوْمِ لَيْسَ بِى ضَلَـٰلَةٌ وَلَـٰكِنِّى رَسُولٌ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Nabi Nuh menjawab: “Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

Nabi Nuh as menangkis tuduhan kaumnya terhadap dirinya dengan menegaskan bahawa Baginda sekali-kali tidak berada dalam kesesatan tetapi apa yang disampaikannya itu adalah wahyu daripada Rabb Pemilik dan Penguasa segala sesuatu yang pastinya benar. Baginda diperintahkan menyampaikannya dan menasihati kaumnya supaya mereka dapat mencapai kebahagiaan dan terhindar daripada kebinasaan akibat menyekutukanNya. 

Ayat 62

أُبَلِّغُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَأَنصَحُ لَكُمْ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Ayat ini menerangkan bahawa Nabi Nuh as menegaskan lagi kepada kaumnya bahawa Baginda mendapat amanah daripada Allah Ta’ala untuk menyampaikan perintah-perintahNya supaya manusia beriman kepada Rabb Yang Maha Esa. 

Demikian itulah keadaan seorang Rasul, dia adalah seorang penyampai risalah, menyampaikan dengan perkataan yang fasih, pemberi nasihat lagi mengetahui tentang Allah swt dan tidak ada seorang pun daripada makhluk Allah swt yang dapat menandinginya dalam sifat-sifat tersebut. 

Dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda kepada para sahabatnya pada hari ‘Arafah, dan ketika itu jumlah mereka sangat banyak: 

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan ditanya tentang aku, maka apakah yang hendak kamu katakan?” Para sahabat menjawab, “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan (amanah) dan telah memberi nasihat.” Mendengar itu Rasulullah saw mengangkat jarinya ke langit, lalu ditunjukkan ke arah para sahabat seraya bersabda, “Ya Allah, saksikanlah! Ya Allah, saksikanlah!” 

(HR. Muslim) 

Ayat 63

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَآءَكُمْ ذِكْرٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ وَلِتَتَّقُوا۟ وَلَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”.

Allah Ta’ala menerangkan tentang kecaman Nabi Nuh as kepada kaumnya bahawa tidaklah patut mereka itu mendustakan dan berasa hairan atau ragu-ragu terhadap kedatangan peringatan daripada Allah swt yang dibawa oleh seorang lelaki di antara mereka sendiri. 

Nabi Nuh as mengingatkan kaumnya tentang azab yang akan menimpa mereka sekiranya mereka tetap dalam kekafiran. Ini kerana dengan peringatan itu mereka akan dapat memelihara diri daripada perbuatan syirik dan mungkar sehingga mereka memperoleh rahmat Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw: 

“Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Kepada siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Bagi Allah, rasul, kitabNya dan imam-imam umat Islam juga orang awam.” 

(HR. Muslim, Abu Daud dan An-Nasa’i) 

Ayat 64

فَكَذَّبُوهُ فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ فِى ٱلْفُلْكِ وَأَغْرَقْنَا ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا عَمِينَ

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran)

Ayat ini menerangkan bahawa kebanyakan kaum Nabi Nuh as masih tetap mengejek dan mendustakannya. Mereka tetap menentang perintah Allah Ta’ala dan bertambah hanyut dalam kederhakaan. Hati mereka tertutup sehingga mereka tidak dapat mengambil pelajaran daripada tanda-tanda kebesaran Allah swt dan mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada pengutusan para rasul kepada mereka. 

Allah swt menjelaskan dalam kisah ini bahawa Dia membalas musuh-musuhNya untuk para kekasihNya. Dia menyelamatkan RasulNya dan orang-orang mukmin, serta  membinasakan musuh mereka di kalangan kaum kafir. 

Nabi Nuh as diperintahkan Allah swt untuk menyelamatkan kaum mukmin dengan menaiki kapal sebagaimana firman Allah swt: 

“……..Bawalah dalam bahtera itu dua daripada tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. 

Surah Hud 11:40