Pelajaran daripada Tanda Kebesaran Allah Swt
Surah 7: Al-A’raf (57 – 58)
Ayat 57
وَهُوَ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَـٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلْنَا بِهِ ٱلْمَآءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Dan Dia-lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengirimkan angin sebagai khabar gembira sebelum turunnya hujan untuk menghidupkan bumi yang gersang yang tidak ada tumbuhan sebelumnya sebagaimana dalam firman-firman-Nya:
“Dan Dia-lah yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dia-lah Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji.”
Asy-Syura 42:28
“Dan Allah, Dia-lah Yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan itu. Demikianlah kebangkitan itu.”
Fatir 35:9
Allah Swt mengingatkan bahawa Dia-lah yang memberi rezeki dan menghidupkan kembali orang yang sudah mati pada Hari Kiamat.
Allah Swt menghidupkan tanah yang mati dengan ditumbuhkannya pohon-pohon dari tanah tersebut, seperti itu jugalah Allah Swt akan menghidupkan orang-orang yang telah mati dan dikeluarkan dari kubur-kubur mereka. Perkara ini merupakan bukti yang jelas, agar manusia boleh berfikir dan meyakini adanya Hari Kebangkitan kerana tidak ada perbezaan antara kedua-dua perkara tersebut. Allah Swt menjelaskan hal ini adalah sebagai rahmat dan kebaikan kepada hamba-hamba-Nya yang mahu mengambil pelajaran.
Ayat 58
وَٱلْبَلَدُ ٱلطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُۥ بِإِذْنِ رَبِّهِۦ ۖ وَٱلَّذِى خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا ۚ كَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ
Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa tanah yang baik iaitu tanah yang subur akan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dengan cepat dan baik. Sebaliknya, tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh dengan susah payah (dalam keadaan bantut).
‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini, dia mengatakan hal ini merupakan perumpamaan yang disebutkan oleh Allah Ta’ala bagi orang mukmin dan orang kafir. Daripada Abu Musa Al-Asy’ari, dia berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Perumpamaan terhadap apa yang diwahyukan Allah kepadaku dalam hal ilmu dan petunjuk, adalah seperti hujan lebat yang turun menimpa bumi. (Pertama), ada tanah yang subur yang dapat menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula tanah tandus yang keras yang dapat menahan air, lalu Allah menjadikan air itu bermanfaat kepada manusia, sehingga mereka dapat minum, memberi minum binatang ternakan, menyiram tanaman dan mengairi sawah. (Kedua), hujan juga menimpa tanah lain yang gersang yang tidak dapat menahan air dan tidak pula dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
Perumpamaan yang pertama ialah orang yang memahami agama Allah dan berguna baginya apa yang diwahyukan kepadaku, lalu setelah dia mengetahuinya, maka dia mengajarkannya.
Perumpamaan yang kedua ialah perumpamaan bagi orang yang sombong tidak mahu memberikan perhatian atau tidak mahu mempelajari dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang diturunkan kepadaku.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)