Penegakan Hujjah kepada Orang Kafir
Surah 7: Al-A’raf (52 – 53)
Ayat 52
وَلَقَدْ جِئْنَـٰهُم بِكِتَـٰبٍ فَصَّلْنَـٰهُ عَلَىٰ عِلْمٍ هُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.
Setelah Allah Ta’ala menyebutkan keadaan manusia pada hari kiamat iaitu apa yang akan berlaku kepada penduduk syurga, penduduk neraka dan juga penduduk A’raf, dalam ayat ini pula Dia menyatakan bahawa Dia telah menurunkan Al-Quran melalui Rasulullah saw untuk memberi petunjuk, penjelasan tentang hukum-hukum, kisah-kisah yang telah lalu dan masa akan datang, peringatan, ancaman, janji-janji, kejayaan dan rahmat berdasarkan ilmu-Nya Yang Maha Sempurna sebagai hujjah-Nya kepada orang-orang kafir. Semuanya dijelaskan secara terperinci adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan hamba-hamba-Nya. Firman-firman-Nya:
“………..(inilah) sebuah kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi, serta dijelaskan secara terperinci……..”
Hud 11:1
“…………..Allah menurunkannya (Al-Quran) dengan ilmu-Nya dan malaikat-malaikat pun menjadi saksi (pula). Cukuplah Allah yang mengakuinya.”
An-Nisa’ 4:166
Ayat 53
هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا تَأْوِيلَهُۥ ۚ يَوْمَ يَأْتِى تَأْوِيلُهُۥ يَقُولُ ٱلَّذِينَ نَسُوهُ مِن قَبْلُ قَدْ جَآءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلْحَقِّ فَهَل لَّنَا مِن شُفَعَآءَ فَيَشْفَعُوا۟ لَنَآ أَوْ نُرَدُّ فَنَعْمَلَ غَيْرَ ٱلَّذِى كُنَّا نَعْمَلُ ۚ قَدْ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.
Orang-orang yang menunggu-nunggu akan kebenaran Al-Quran tentang hari kiamat dan kedahsyatannya dan juga neraka dengan seksaannya, apabila telah terbukti apa yang telah dijanjikan dalam kitab tersebut, barulah mereka akan beriman sedangkan ketika itu keimanan mereka telah terlambat dan tidak dapat memberi manfaat buat mereka. Ini kerana ketika itu keimanan mereka tidak lagi diterima setelah berlakunya kematian dan seksaan, begitu juga pada hari kiamat.
Orang-orang yang ketika di dunia dahulu melupakan tentang hari pertemuan dengan Allah Ta’ala sehingga mereka tidak melakukan amal soleh yang dapat menyelamatkan mereka daripada seksaan, menyesal dan mengatakan bahawa sememangnya utusan Allah Swt telah membawa kebenaran.
Pada hari itu barulah mereka mengakui tentang apa yang dahulu mereka dustakan dan ingkari. Kemudian mereka mengharapkan sesuatu yang tidak akan mungkin terjadi bagi mereka buat selamanya iaitu pemberi syafaat atau dikembalikan semula ke dunia untuk mereka beribadat. Namun, semuanya hanyalah harapan dan angan-angan. Mereka telah merugikan diri mereka sendiri dan melepaskan segala peluang yang telah Allah Ta’ala berikan ketika di dunia dahulu.