Surah 7: Al-A’raf (44 – 51)

Perbualan di antara Penghuni-penghuni Syurga, Neraka dan A’raf

Surah 7: Al-A’raf (44 – 51)


Ayat 44

وَنَادَىٰٓ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ أَن قَدْ وَجَدْنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقًّا فَهَلْ وَجَدتُّم مَّا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا ۖ قَالُوا۟ نَعَمْ ۚ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌۢ بَيْنَهُمْ أَن لَّعْنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa di akhirat kelak, ketika penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka telah masuk ke dalam neraka, akan berlaku perbualan antara mereka. 

Penghuni syurga akan memberitahu penghuni neraka tentang kebenaran janji-janji Allah Swt kepada mereka. Mereka mengatakan apa yang dijanjikan oleh Allah Swt melalui rasul-Nya tentang pahala bagi orang-orang yang percaya dan mentaati Allah Swt dan rasul-Nya adalah benar serta mereka sedang menikmati kesenangan yang diberikan kepada mereka. 

Seterusnya penghuni syurga bertanya kepada penghuni neraka adakah seksaan yang dijanjikan kepada mereka yang kufur ketika di dunia dahulu itu benar. 

Penghuni neraka membenarkan pertanyaan penghuni syurga iaitu apa yang dijanjikan oleh-Nya adalah benar. Mereka mendapat balasan seksaan seperti apa yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala atas kekufuran mereka.   

Demikian juga malaikat turut mencela mereka dengan mengatakan sebagaimana firman Allah Ta’ala: 

“(Dikatakan kepada mereka), ‘Inilah neraka yang dahulu kamu selalu mendustakannya. Maka apakah ini sihir? Atau apakah kamu tidak melihat? Masuklah kamu ke dalamnya (rasakanlah panas apinya), maka sama ada kamu bersabar atau tidak, sama sahaja bagimu, kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.” 

At-Tur 52:14-16 

Demikian juga Rasulullah saw pernah mencela orang-orang kafir yang telah terkorban dalam perang Badar, ketika dilemparkan ke dalam satu lubang yang digali. Baginda berseru,  

“Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai ‘Utbah bin Rabi’ah dan wahai Syaibah bin Rabi’ah (Baginda menyebut para pemimpin Quraisy), “Apakah kamu telah mendapati apa yang telah dijanjikan oleh Rabb kamu itu benar? Sesungguhnya aku telah mendapati apa yang telah dijanjikan Allah kepadaku itu benar.” Umar bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah engkau berbicara dengan orang-orang yang telah menjadi bangkai?” Maka Rasulullah pun menjawab, “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku itu daripada mereka, tetapi hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 45

ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ كَـٰفِرُونَ

Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa orang-orang yang menjadi penghuni neraka itu adalah orang-orang yang selalu berusaha menghalang orang lain untuk menuruti jalan dan syariat-Nya yang telah dibawa oleh para rasul-Nya. Bahkan jalan lurus tersebut diusahakan agar menjadi bengkok supaya berubah daripada yang asal seperti yang telah disyariatkan. Mereka menokok tambah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sehingga menyesatkan dan tidak boleh diikuti oleh sesiapa pun. Mereka juga menjadikan orang-orang yang mengikuti mereka menyimpang daripada tauhid, lalu melakukan syirik dalam beribadat dan berdoa, menyekutukan Allah Ta’ala dan menjadikan selain-Nya sebagai wasilah mendekatkan diri kepada Allah Swt. Sedangkan perbuatan seperti ini adalah dilarang. Firman-Nya: 

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus…………” 

Al-Bayyinah 98:5 

Mereka juga tidak mempercayai adanya hari pembalasan dan pertemuan dengan Allah Ta’ala di akhirat. Oleh itu, mereka tidak berasa bimbang melakukan kemungkaran dan kezaliman. 

Ayat 46

وَبَيْنَهُمَا حِجَابٌ ۚ وَعَلَى ٱلْأَعْرَافِ رِجَالٌ يَعْرِفُونَ كُلًّۢا بِسِيمَىٰهُمْ ۚ وَنَادَوْا۟ أَصْحَـٰبَ ٱلْجَنَّةِ أَن سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ ۚ لَمْ يَدْخُلُوهَا وَهُمْ يَطْمَعُونَ

Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raf “(yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa di antara syurga dan neraka terdapat dinding pembatas yang menghalang para penghuni neraka untuk sampai ke syurga. Ibnu Jarir mengatakan, itulah dinding yang disebutkan oleh Allah Swt melalui firman-Nya: 

“……………Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksaan.” 

Al-Hadid 57:13 

Ada beberapa pendapat tentang A’raf. Menurut Mujahid, A’raf adalah pembatas antara syurga dan neraka iaitu dinding yang memiliki pintu. Ibnu Kathir mengatakan A’raf ialah tempat yang tertinggi antara syurga dan neraka. 

Huzaifah, Ibnu ‘Abbas, Ibnu Mas’ud dan lain-lain ulama mengatakan penghuni A’raf ialah kaum yang kebaikan dan keburukan mereka adalah sama atau setara. Keburukan mereka menghalang mereka masuk ke syurga dan kebaikan mereka menghalang mereka memasuki neraka. Oleh itu, mereka ditahan atau dihentikan di atas pagar sehingga Allah Swt menetapkan keputusan kepada mereka. 

Berkaitan dengan firman Allah Swt, “ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing,” ‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Para penghuni syurga dikenali dengan wajah mereka yang putih. Sedangkan para penghuni neraka dikenal dengan hitamnya wajah mereka.” 

Ma’mar mengatakan daripada Al-Hasan, tentang ayat, “Sedang mereka sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya,” dia berkata, “Allah tidak menjadikan keinginan besar dalam hati mereka, melainkan kerana Allah menginginkan kemuliaan bagi mereka.” 

Ayat 47

وَإِذَا صُرِفَتْ أَبْصَـٰرُهُمْ تِلْقَآءَ أَصْحَـٰبِ ٱلنَّارِ قَالُوا۟ رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.

Allah Ta’ala menyatakan apabila pandangan penghuni A’raf dialihkan ke arah penghuni neraka, timbullah ketakutan mereka. Lalu mereka memohon kepada Allah Swt agar mereka tidak dimasukkan bersama dengan orang-orang yang zalim itu dalam neraka. 

Ayat 48

وَنَادَىٰٓ أَصْحَـٰبُ ٱلْأَعْرَافِ رِجَالًا يَعْرِفُونَهُم بِسِيمَىٰهُمْ قَالُوا۟ مَآ أَغْنَىٰ عَنكُمْ جَمْعُكُمْ وَمَا كُنتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu”.

Allah Ta’ala memberitahu tentang celaan penghuni A’raf kepada pemimpin-pemimpin kaum musyrikin di neraka yang mereka kenali melalui tanda-tanda khusus yang ada pada diri pemimpin tersebut. 

Mereka mengatakan kepada para pemimpin tersebut bahawa banyaknya jumlah mereka tidaklah bermanfaat bagi mereka kerana mereka tidak dapat menolak azab yang sedang mereka rasai itu. Begitu juga dengan apa yang mereka telah kumpulkan berupa harta kekayaan, pengikut-pengikut yang ramai dan kesombongan di alam dunia tidak bermanfaat kepada mereka. Ini kerana yang bermanfaat kepada mereka adalah keimanan. 

Ayat 49

أَهَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَقْسَمْتُمْ لَا يَنَالُهُمُ ٱللَّهُ بِرَحْمَةٍ ۚ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمْ وَلَآ أَنتُمْ تَحْزَنُونَ

(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): `Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita.’ “

Seterusnya penghuni A’raf akan bertanya kepada penghuni neraka secara mengejek tentang penghuni syurga yang dahulunya mereka perolok-olokkan. 

Penghuni syurga yang dahulunya di dunia hidup dalam keadaan fakir lagi lemah, selalu diperolok-olokkan, dihina, dipukul dan direndahkan martabat mereka oleh golongan penghuni neraka, bahkan mereka (penghuni neraka) bersumpah bahawa rahmat Allah Swt tidak mungkin diberikan kepada mereka. Namun, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya, penghinaan itu telah luput, bahkan mereka (ahli syurga) akan memperoleh keamanan, ketenteraman dan bergembira dengan segala kenikmatan di dalam syurga. 

‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra berkata, para penghuni A’raf itu akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. 

Ayat 50

وَنَادَىٰٓ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ أَصْحَـٰبَ ٱلْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا۟ عَلَيْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ ۚ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

Allah Ta’ala memberitahu tentang kehinaan para penghuni neraka dan juga permintaan mereka untuk mendapatkan minuman dan makanan daripada para penghuni syurga. Maka penghuni syurga menjawab terhadap permintaan mereka dengan bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengharamkan minuman dan makanan kepada orang-orang yang mengingkari tauhid dan mendustakan para rasul-Nya. 

Ayat 51

ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ فَٱلْيَوْمَ نَنسَىٰهُمْ كَمَا نَسُوا۟ لِقَآءَ يَوْمِهِمْ هَـٰذَا وَمَا كَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَجْحَدُونَ

(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang Dia haramkan memperoleh kenikmatan di akhirat kelak adalah orang-orang yang mempermain-mainkan agama-Nya, menjadikan apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka untuk mengikutinya sebagai bahan ejekan. Mereka telah terperdaya oleh kehidupan dunia, tenggelam dalam kenikmatan dan kesenangannya sehingga lalai daripada beramal untuk akhirat. 

Oleh itu, Allah Ta’ala juga akan melupakan mereka di akhirat kelak dan membiarkan mereka berada di dalam seksaan yang pedih, sebagaimana dahulu mereka tidak peduli untuk beramal dan melupakan pertemuan mereka dengan-Nya. Ini kerana mereka dahulu mengingkari ayat-ayat Allah Swt dan bukti-bukti-Nya padahal mereka mengetahui bahawa hal itu merupakan kebenaran. Firman-firman-Nya: 

“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang ma’ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik.” 

At- Taubah 9:67 

“Allah berfirman, ‘Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamupun dilupakan.'” 

Taha 20:126 

Dalam hadis sahih disebutkan bahawa Allah Ta’ala berfirman kepada seorang hamba pada hari kiamat kelak: 

“Bukankah Aku telah menikahkanmu? Bukankah Aku telah memberikanmu anugerah (memuliakanmu)? Bukankah Aku telah menundukkan untukmu kuda dan unta, serta memberimu kesempatan untuk memimpin dan bersenang-senang?” Maka hamba itu berkata, “Benar.” Kemudian Allah bertanya: “Apakah kamu meyakini akan bertemu denganKu?” Hamba itu menjawab, “Tidak.” Dan Allah Ta’ala pun berfirman: “Maka pada hari ini Aku akan melupakanmu, sebagaimana kamu telah melupakan-Ku.” 

(HR. Muslim)