Surah 7: Al-A’raf (42 – 43)

Gambaran Nikmat Orang Beriman di Syurga

Surah 7: Al-A’raf (42 – 43)


Ayat 42

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan keadaan orang-orang yang sengsara, Dia menyebutkan pula keadaan orang-orang yang berbahagia, iaitu mereka beriman kepadaNya dan apa yang diturunkan olehNya serta mereka mengerjakan amal soleh. Ini adalah berlawanan dengan sikap orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayatNya dan menyombongkan diri terhadapnya. 

Allah swt mengingatkan bahawa beriman dan beramal dengan tuntutan keimanan itu merupakan suatu hal yang mudah kerana Dia tidak memikulkan kewajipan kepada seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupan masing-masing. Mereka itulah para penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya. Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam golongan yang Engkau beri nikmat syurga. Allahumma aamiin. 

Ayat 43

وَنَزَعْنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمُ ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَقَالُوا۟ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى هَدَىٰنَا لِهَـٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِىَ لَوْلَآ أَنْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ ۖ لَقَدْ جَآءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلْحَقِّ ۖ وَنُودُوٓا۟ أَن تِلْكُمُ ٱلْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Allah swt mencabut segala rasa dendam yang ada dalam dada mereka berupa kedengkian dan kebencian. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, dia mengatakan, Rasulullah saw bersabda: 

“Apabila (sebahagian) orang-orang yang beriman telah selamat daripada neraka, maka mereka akan ditahan di hujung jambatan yang terletak di antara syurga dan neraka. Di sana mereka akan dibalas (diqisas) untuk setiap perbuatan zalim yang pernah terjadi di antara sesama mereka ketika di dunia, sehingga jika telah dibersihkan, barulah mereka diizinkan untuk masuk syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya salah seorang di antara mereka lebih tahu tentang rumahnya yang berada di syurga daripada rumahnya yang ada di dunia.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Setelah penghuni syurga dimasukkan ke syurga maka dikatakan kepada mereka, itulah syurga yang diwariskan kepada mereka disebabkan oleh amal perbuatan mereka. Mereka mendapatkan rahmat daripada Allah swt sehingga dapat masuk ke syurga dan tinggal di tempat-tempat yang sesuai dengan amal perbuatan mereka. 

Pengertian seperti ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah saw: 

“Ketahuilah, bahawasanya amal soleh seorang di antara kamu tidak akan memasukkannya ke dalam syurga.” Para Sahabat bertanya, “Termasuk juga engkau, ya Rasulullah?” Rasulullah saw menjawab, “Tidak juga aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurniaanNya kepadaku.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)