Gambaran Seksaan Orang Kafir di Neraka
Surah 7: Al-A’raf (38 – 41)
Ayat 38
قَالَ ٱدْخُلُوا۟ فِىٓ أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُم مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ فِى ٱلنَّارِ ۖ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَّعَنَتْ أُخْتَهَا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا ٱدَّارَكُوا۟ فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَىٰهُمْ لِأُولَىٰهُمْ رَبَّنَا هَـٰٓؤُلَآءِ أَضَلُّونَا فَـَٔاتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِّنَ ٱلنَّارِ ۖ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَـٰكِن لَّا تَعْلَمُونَ
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.
Allah Swt memberitahu bahawa di akhirat kelak Dia akan mengatakan kepada orang-orang musyrik yang telah mengada-adakan kedustaan terhadap-Nya dan mendustakan ayat-ayat-Nya, masuklah semuanya ke dalam neraka bersama umat-umat terdahulu daripada kalangan jin dan manusia yang sama kufur seperti mereka.
Setiap kali umat dimasukkan ke dalam neraka, mereka mengutuk kawan-kawan mereka yang telah menyesatkan mereka seperti yang dikatakan oleh Nabi Ibrahim as dalam firman-firman Allah:
“……………….kemudian pada hari kiamat kelak sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain) dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tak ada bagimu para penolongpun.”
Al-‘Ankabut 29:25
“(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat seksaan dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti, “Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami.” Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.”
Al-Baqarah 2:166-167
Apabila mereka semua sudah berkumpul di dalam neraka, orang-orang yang masuk kemudian di antara mereka akan berkata bahawa orang-orang yang telah masuk terlebih dahulu itulah yang menjadi ikutan mereka. Oleh itu, mereka mengadukan hal ini kepada Allah Ta’ala, kerana mereka itulah yang telah menyesatkan mereka dari jalan yang lurus. Lalu mereka memohon kepada-Nya agar Dia melipatgandakan hukuman kepada mereka. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikan dalam neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ Dan mereka berkata, ‘Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).'”
Al-Ahzab 33:66-67
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan masing-masing daripada mereka mendapat seksaan yang dilipatgandakan sesuai dengan amalan, penyesatan dan penghalang orang-orang lain mendapat petunjuk sebagaimana firman-Nya:
“Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka seksaan di atas seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.”
An-Nahl 16:88
Ayat ini dan ayat lain yang seumpamanya menunjukkan bahawa orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah Swt akan kekal diazab, dan azab yang mereka terima adalah berbeza-beza tingkatannya bergantung kepada amal, sikap keras, kezaliman dan pendustaan mereka. Cinta dan kasih yang sebelumnya terjalin di antara mereka akan berubah pada hari kiamat menjadi permusuhan dan saling melaknat.
Ayat 39
وَقَالَتْ أُولَىٰهُمْ لِأُخْرَىٰهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami”. (Allah berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”.
Kemudian orang-orang yang telah masuk terdahulu di antara mereka pun berkata kepada orang-orang yang masuk kemudian bahawa orang-orang yang masuk kemudian tidak mempunyai kelebihan sedikit pun daripada orang-orang yang telah masuk terdahulu. Ini bermaksud mereka sama-sama telah tersesat.
Allah Ta’ala mengatakan bahawa kedua-dua belah pihak menyatakan penyesalan ketika mereka menyaksikan azab-Nya. Mereka masing-masing akan mendapat seksaan yang berlipatganda. Dia akan memberikan balasan sesuai dengan amalan mereka. Firman-Nya:
“………………..Ketika kamu menyeru kami supaya kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu bagi-Nya.” Kedua-dua belah pihak menyatakan penyesalan tatkala mereka melihat azab. Dan kami pasang belenggu di leher orang-orang yang kafir. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang telah mereka kerjakan.”
Saba’ 34:33
Ayat 40
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱسْتَكْبَرُوا۟ عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَٰبُ ٱلسَّمَآءِ وَلَا يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ ٱلْجَمَلُ فِى سَمِّ ٱلْخِيَاطِ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُجْرِمِينَ
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
Mujahid dan Sa’id bin Jubair dan lain-lain ulama tafsir, mengatakan maksud ayat, “tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit” ialah amal soleh dan doa orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah Swt dan menyombongkan diri terhadap-Nya tidak dinaikkan melalui pintu-pintu langit. Ada juga yang berpendapat maksudnya ialah pintu-pintu langit itu tidak dibuka untuk roh-roh mereka.
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Al-Bara’ bahawa Rasulullah saw menerangkan tentang dicabutkan roh orang yang derhaka dan roh tersebut dibawa naik ke langit oleh para malaikat. Tidaklah roh itu melintasi segolongan malaikat melainkan mereka bertanya, “Roh siapakah yang sangat busuk ini?” Malaikat menjawab, “Roh fulan,” dengan menyebut seburuk-buruk namanya dulu semasa dia dipanggil di dunia. Ketika mereka sampai ke langit, mereka minta dibukakan pintu langit, namun tidak dibukakan untuknya. Kemudian Rasulullah saw membaca ayat, “tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit” Ini merupakan sebahagian daripada sebuah hadis yang panjang. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah.
Ayat, “dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum” adalah bermaksud mereka tidak mungkin akan masuk syurga sebagaimana tidak mungkin unta masuk ke lubang jarum.
Ayat 41
لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهَادٌ وَمِن فَوْقِهِمْ غَوَاشٍ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).
Ayat ini menjelaskan lagi bahawa tempat bagi mereka yang kufur terhadap Allah Ta’ala adalah dalam neraka. Mereka mendapat tikar dan selimut daripada api. Firman-Nya:
“Bagi mereka lapisan-lapisan daripada api di atas mereka dan di bawah merekapun lapisan-lapisan (daripada api). Demikianlah Allah menakut-nakutkan hamba-hamba-Nya dengan azab itu. Maka bertakwalah kepada-Ku wahai hamba-hamba-Ku.”
Az-Zumar 39:16
Itulah balasan yang diberikan oleh Allah Ta’ala terhadap orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri dan menzalimi orang lain. Setiap manusia akan mendapat balasan yang sesuai dan Allah Swt sama sekali tidak berbuat zalim kepada hamba-hamba-Nya.