Surah 7: Al-A’raf (37)

Kecelakaan bagi Orang Musyrik yang Mendustakan Allah Swt

Surah 7: Al-A’raf (37)


Ayat 37

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِهِۦٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَنَالُهُمْ نَصِيبُهُم مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا يَتَوَفَّوْنَهُمْ قَالُوٓا۟ أَيْنَ مَا كُنتُمْ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ قَالُوا۟ ضَلُّوا۟ عَنَّا وَشَهِدُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ كَـٰفِرِينَ

Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayat-Nya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): “Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?” Mereka menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”, dan mereka pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.

Allah Swt menyatakan tiada yang lebih zalim selain orang-orang yang mengadakan kedustaan terhadap-Nya, mendustakan ayat-ayat-Nya, mengatakan Dia ada anak, memerintahkan perbuatan yang keji, mengharamkan yang halal dan menentang serta bersikap sombong kepada para rasul. 

Para pendusta akan memperoleh bahagian yang telah ditentukan untuk mereka semasa di dunia, seperti yang telah tertulis di Lauh Mahfuzh sama ada daripada amalan mereka, rezeki dan umur mereka sehinggalah sampai ajal mereka. Kelak mereka akan dibalas atas apa yang telah mereka kerjakan. Firman-firman Allah Ta’ala: 

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak beruntung. (Bagi mereka) kesenangan (sementara) di dunia, kemudian kepada Kami-lah mereka kembali, kemudian Kami rasakan kepada mereka seksaan yang berat, disebabkan kekafiran mereka.” 

Yunus 10:69-70 

“Dan siapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati. Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksaan yang keras.” 

Luqman 31:23-24 

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa ketika mencabut nyawa orang-orang musyrik, malaikat akan bertanya tentang sembahan yang dahulu mereka sembah selain Allah Swt semasa di dunia. Malaikat mencabar mereka agar memanggil sembahan itu untuk menyelamatkan mereka. Ketika itu barulah mereka sedar dan menjadi jelas kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak sedikit pun dapat menolong atau memberi manfaat kepada mereka. Akhirnya mereka mengakui bahawa mereka adalah termasuk golongan yang ingkar.