Surah 7: Al-A’raf (31)

Perintah untuk Mengenakan Pakaian Indah ketika Solat dan Larangan Berlebih-lebihan dalam Makanan dan Pakaian

Surah 7: Al-A’raf (31)


Ayat 31

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

Ayat ini merupakan bantahan terhadap kaum musyrikin yang mempunyai tradisi bertawaf di Baitullah dalam keadaan bertelanjang. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa kaum lelaki bertawaf dalam keadaan telanjang, kemudian Allah Swt memerintahkan mereka memakai “zinnah” iaitu pakaian yang menutup aurat, pakaian yang indah dan perhiasan yang lainnya. Mereka diperintahkan memakai pakaian yang baik. 

Demikian juga mengikut Mujahid, Ata’, Ibrahim An-Nakha’i, Sa’id bin Jubair, Qatadah, As-Suddi, Adh-Dhahhak dan Malik daripada Az-Zuhri serta sejumlah ulama salaf yang lain sepakat mengatakan ayat ini adalah berkenaan dengan tawaf orang-orang musyrikin dalam keadaan bertelanjang. 

Berdasarkan ayat ini dan juga keterangan daripada beberapa hadis (As-Sunnah), adalah dianjurkan (disunnahkan) untuk menghias diri ketika hendak mengerjakan solat, terutama solat Jumaat dan solat ‘id (hari raya). Disunnahkan untuk memakai wangi-wangian, kerana itu termasuk perhiasan, serta bersiwak, kerana merupakan sebahagian daripada kesempurnaan pakaian tersebut. 

Pakaian yang paling baik adalah yang berwarna putih, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw  bersabda: 

“Pakailah pakaian yang berwarna putih daripada pakaian yang kamu miliki, kerana sesungguhnya ia adalah sebaik-baik pakaian kamu. Dan kafanilah orang-orang yang mati di antara kalian dengannya. Dan sesungguhnya sebaik-baik celak mata kamu adalah yang dibuat daripada batu ithmid, kerana ia dapat mencerahkan pandangan mata dan menumbuhkan bulu mata.” 

(HR. Ahmad) 

Sebahagian ulama mengatakan, firman Allah Ta’ala, “dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” bermaksud Dia telah melarang melakukan perkara-perkara tersebut secara membazir ataupun terlalu bakhil. 

Imam Al-Bukhari meriwayatkan, Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Makan dan berpakaianlah sesuka kamu, asalkan engkau terhindar daripada dua sifat iaitu berlebih-lebihan dan sombong.” 

Daripada Al-Miqdam bin Ma’dikarib Al-Kindi, dia berkata, dia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Tidaklah anak Adam mengisi bejana yang lebih buruk daripada perutnya sendiri. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang punggungnya. Jika dia harus melakukannya, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” 

(HR. Ahmad, An-Nasa’i dan At-Tirmizi)