Surah 7: Al-A’raf (200 – 202)

Memohon Perlindungan daripada Godaan Syaitan

Surah 7: Al-A’raf (200 – 202)


Ayat 200

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ نَزْغٌ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah Ta’ala memerintahkan kepada Rasulullah saw agar selalu memohon perlindungan kepadaNya dengan membaca “Ta’awwuz” iaitu أعوذ بالله من الشيطان الرجيم yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk” apabila syaitan datang menggodanya. 

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mendengar segala permohonan yang diucapkan dan Maha Mengetahui apa yang ada dalam jiwa seseorang yang dapat mendorong dia berbuat kejahatan atau kesalahan. Jika doa itu dibaca orang yang tergoda itu dengan hati yang ikhlas dan penghambaan diri yang tulus kepada-Nya maka Dia akan mengusir syaitan daripada dirinya, serta akan melindunginya daripada godaan tersebut. Firman-Nya: 

“Apabila kamu membaca Al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk. Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Rabb mereka.” 

An-Nahl 16:98-99 

Daripada ‘Aisyah ra dan Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda: 

“Tidak seorang pun di antara kamu sekalian melainkan didampingi temannya daripada jenis jin. Berkatalah para sahabat, ‘Kamu juga wahai Rasulullah?’ 

Baginda menjawab, ‘Juga. Hanya Allah menolong aku menghadapinya maka selamatlah aku daripadanya.’” 

(HR. Muslim) 

Meskipun perkara ini diperintahkan kepada Rasulullah saw, namun maksudnya ialah meliputi keseluruhan umatnya yang ada di dunia ini. 

Ayat 201

إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ إِذَا مَسَّهُمْ طَـٰٓئِفٌ مِّنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ تَذَكَّرُوا۟ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa hamba-hamba-Nya yang bertakwa iaitu yang mentaati setiap perintah-Nya dan meninggalkan setiap larangan-Nya, apabila mereka terkena godaan syaitan, mereka segera teringat kepada perintah dan larangan-Nya. Mereka ingat kepada janji-Nya untuk memberikan syurga dan ancaman-Nya dengan azab api neraka. Maka ketika itu mereka menyedari kesalahan mereka lalu mereka memohon keampunan-Nya dan bertaubat kepada-Nya. 

Ayat 202

وَإِخْوَٰنُهُمْ يَمُدُّونَهُمْ فِى ٱلْغَىِّ ثُمَّ لَا يُقْصِرُونَ

Sedang saudara (pengikut) syaitan-syaitan, dibantu oleh syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).

Allah Ta’ala menerangkan bahawa teman-teman syaitan itu adalah orang-orang jahil dan kafir yang membantu syaitan tersebut dalam menyesatkan dan berbuat kerosakan. Ini kerana orang-orang jahil itu selalu dipengaruhi oleh syaitan, maka mereka jauh daripada rahmat-Nya.