Teguran Allah Swt kepada Orang Kafir
Surah 7: Al-A’raf (184 – 186)
Ayat 184
أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا۟ ۗ مَا بِصَاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ مُّبِينٌ
Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.
Allah Ta’ala mencela sikap orang-orang kafir Quraisy yang mendustakan Nabi Muhammad saw dan tidak merenungkan tentang perwatakan dan tingkahlaku Baginda. Bahkan mereka sendiri telah memberikan gelaran “Al-Amin” (orang yang dipercayai) kepada Baginda disebabkan kejujurannya. Mengapa mereka tidak merenungkan pula risalah yang dibawanya sebagai bukti kerasulannya dan ayat-ayat Al-Quran yang menetapkan keesaan dan kekuasaan Allah Ta’ala.
Ayat 185
أَوَلَمْ يَنظُرُوا۟ فِى مَلَكُوتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىْءٍ وَأَنْ عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَدِ ٱقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ ۖ فَبِأَىِّ حَدِيثٍۭ بَعْدَهُۥ يُؤْمِنُونَ
Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?
Allah Ta’ala menarik perhatian orang-orang kafir Quraisy agar melihat kepada sesuatu yang diseru oleh Nabi Muhammad saw iaitu beriman kepada-Nya. Apakah mereka tidak memerhatikan kerajaan dan kekuasaan Allah Ta’ala di langit dan di bumi, juga tidak memerhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan di antara kedua-duanya sehingga dengan berbuat demikian, mereka dapat merenungkannya dan mengambil pelajaran, serta mengetahui bahawa semuanya itu hanya milik Allah yang tidak mempunyai tandingan dan tidak ada pula yang menyerupai-Nya.
Demikian juga setelah merenungi dan memikirkan semua ciptaan Allah Swt, maka mereka akan menyedari bahawa tidak ada ibadah dan agama yang murni yang dilaksanakan seseorang melainkan hanya untuk-Nya. Sekiranya mereka melakukan demikian tentu mereka semua akan beriman kepada-Nya, membenarkan Rasul-Nya, kembali kepada ketaatan kepada-Nya, serta menyingkirkan semua sekutu dan berhala, dan benar-benar berhati-hati bahawa ajal mereka telah dekat, sehingga mereka tidak binasa dalam kekufuran dan terhindar daripada azab Allah Swt yang pedih.
Pertanyaan Allah Swt pada akhir ayat ini merupakan peringatan dan teguran kepada mereka apakah ada lagi, setelah peringatan dan teguran daripada Nabi Muhammad saw yang berasal daripada-Nya ini mereka akan percaya.
Ayat 186
مَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَلَا هَادِىَ لَهُۥ ۚ وَيَذَرُهُمْ فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ
Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
Kemudian Allah Ta’ala menegaskan dalam ayat ini, bahawa orang-orang yang disesatkan-Nya tidak ada baginya yang dapat memberi petunjuk. Ini kerana mereka telah memilih kekafiran dan mata hati mereka menjadi bertambah gelap terhadap kebenaran akibat perbuatan mungkar serta kezaliman yang melampaui batas. Firman-Nya:
“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”
Al-Mutaffifin 83:14