Fitrah Tauhid bagi Semua Manusia
Surah 7: Al-A’raf (172 – 174)
Ayat 172
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw menyampaikan kepada seluruh manusia tentang perjanjian yang telah Dia ambil daripada mereka semuanya. Perjanjian itu mengandungi persaksian mereka bahawa Allah-lah Rabb dan Pemilik diri mereka serta bersaksi tiada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Dia.
Perjanjian itu diambil ketika Allah Ta’ala mengeluarkan mereka daripada tulang sulbi anak cucu Nabi Adam as dan menciptakan mereka atas fitrah ketauhidan dan keislaman.
Allah Ta’ala juga mempersaksikan kepada semua manusia bahawa Dia adalah Rabb mereka dan mereka semuanya membenarkan-Nya. Dia telah menjadikan fitrah itu berupa pengakuan terhadap tauhid dan keesaanNya sebagai bukti terhadap diri mereka.
Persaksian ini dilakukan agar pada hari kiamat nanti orang-orang musyrik tidak beralasan setelah jelas bukti-bukti tentang keesaan Allah Ta’ala bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengingatkan mereka tentang hal tersebut. Apatah lagi dengan adanya akal dan fitrah yang suci. Firman-Nya:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Ar-Rum 30:30
Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya sebagai Yahudi atau Nasrani atau Majusi sebagaimana haiwan ternak dilahirkan sebagai haiwan ternak (juga) dalam keadaan sempurna (tubuhnya). Apakah kamu dapati di antaranya ada yang terputus (telinganya, hidungnya atau lainnya)?”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada ‘Iyadh bin Himar, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif (lurus). Maka datanglah syaitan-syaitan kepada mereka, lalu menyimpangkan mereka daripada agama mereka dan mengharamkan bagi mereka apa yang telah Aku halalkan bagi mereka.”
(HR. Muslim)
Ayat 173
أَوْ تَقُولُوٓا۟ إِنَّمَآ أَشْرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِّنۢ بَعْدِهِمْ ۖ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلْمُبْطِلُونَ
Atau supaya kamu tidak mengatakan:” Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?”
Persaksian antara Allah Ta’ala dan hamba-hamba-Nya seperti yang disebutkan dalam ayat 172 juga menghalang orang-orang kafir daripada memberikan alasan pada hari kiamat kelak bahawa mereka hanya bertaklid kepada nenek moyang mereka yang telah berbuat syirik sebelum mereka dan mereka hanyalah generasi penerus mereka.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa tanpa persaksian tersebut, orang-orang kafir akan mempersoalkan mengapa mereka diseksa dengan azab yang berat atas kesalahan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.
Namun taklid mereka ini tidak dapat dijadikan alasan untuk mengingkari keesaan Allah Ta’ala. Ini kerana bukti keesaan-Nya itu sangat jelas di hadapan mereka dan mereka mampu mengambil bukti-bukti daripada ayat-ayat-Nya dan penciptaan-Nya agar mereka merenungkan dan mentadabburinya dengan fikiran dan mata hati, seterusnya agar mereka meninggalkan kemusyrikan, kebodohan dan taklid mereka kepada nenek moyang mereka.
Ayat 174
وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَلَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).
Allah Ta’ala memberi peringatan dan pelajaran tentang masalah syirik. Manusia pada hari kiamat akan diminta pertanggungjawaban masing-masing meskipun belum sampai dakwah rasul kepada mereka. Ini kerana syirik itu adalah bertentangan dengan fitrah manusia.