Surah 7: Al-A’raf (171)

Pengambilan Sumpah daripada Bani Israil

Surah 7: Al-A’raf (171)


Ayat 171

وَإِذْ نَتَقْنَا ٱلْجَبَلَ فَوْقَهُمْ كَأَنَّهُۥ ظُلَّةٌ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُۥ وَاقِعٌۢ بِهِمْ خُذُوا۟ مَآ ءَاتَيْنَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَٱذْكُرُوا۟ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): “Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa”

Allah Ta’ala mengingatkan kembali tentang orang-orang Yahudi ketika mereka pertama kali menerima kitab Taurat. Sewaktu Bukit Tursina diangkat ke atas kepala mereka sehingga bukit itu bagaikan gumpalan awan yang gelap, mereka melihat bukit yang terapung di udara itu akan jatuh menimpa mereka. Lalu mereka sedar akan ancaman-Nya bahawa jika mereka menentang perintah-perintah agama, tentulah mereka akan binasa. Firman-Nya: 

“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada kamu dan Kami angkatkan gunung (Tursina) di atasmu (seraya Kami berfirman), ‘Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya, agar kamu bertakwa.’” 

Al-Baqarah 2:63 

Sa’id bin Jubair daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, setelah Nabi Musa as mengambil semula kepingan-kepingan Taurat selepas reda kemarahannya, Baginda membawa kaum Yahudi tersebut ke Baitul Maqdis. Baginda memerintahkan kepada mereka beberapa kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepadanya untuk disampaikan kepada mereka. Namun mereka keberatan untuk menjalankannya dan menolak untuk mengakuinya sehinggalah Allah Swt mengangkat bukit itu di atas kepala mereka seakan-akan naungan awan. Firman Allah Swt: 

“Dan telah Kami angkat ke atas (kepala) mereka gunung Tursina untuk (menerima) perjanjian (yang telah Kami ambil daripada) mereka. Dan kami perintahkan kepada mereka, “Masuklah pintu gerbang itu sambil bersujud,” dan Kami perintahkan (pula) kepada mereka, “Janganlah kamu melanggar peraturan hari Sabtu,” dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang kukuh.” 

An-Nisa’ 4:154