Pelanggaran Larangan Hari Sabtu
Surah 7: Al-A’raf (163 – 166)
Ayat 163
وَسْـَٔلْهُمْ عَنِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَتْ حَاضِرَةَ ٱلْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِى ٱلسَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ ۙ لَا تَأْتِيهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ نَبْلُوهُم بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw agar Baginda menyebutkannya kepada orang-orang Yahudi yang berada di Madinah pada waktu itu tentang tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh nenek moyang mereka terdahulu, yang selalu mengingkari seruan para nabi, walaupun bukti-bukti yang jelas telah dikemukakan kepada mereka.
Pada masa dahulu nenek moyang kaum Yahudi diuji dengan hari Sabtu iaitu mereka dilarang menangkap ikan dan diperintahkan untuk mengagungkan Allah Ta’ala pada hari tersebut. Namun pada hari Sabtu itu pula terdapat banyak ikan muncul di permukaan air (laut) yang kelihatan jinak dan mudah ditangkap. Sedangkan pada hari-hari lain, tiada ikan yang timbul.
Maka mereka melanggar larangan Allah Ta’ala secara mengadakan tipu helah dengan menggali lubang lalu meletakkan jaring padanya sebelum hari Sabtu. Apabila tiba hari Sabtu, ikan-ikan akan terperangkap di dalamnya. Mereka tidak mengambilnya pada hari itu tetapi mengambilnya pada hari Ahad. Ini menampakkan seolah-olah mereka tidak melanggar larangan Allah Swt, namun hakikatnya mereka melakukan perkara yang haram.
Demikianlah Allah Ta’ala memberi ujian kepada Bani Israil. Mereka tidak dapat menahan diri dan tidak tabah menghadapinya, bahkan mereka melanggar larangan-Nya dan tidak melaksanakan perintah-Nya. Oleh sebab sikap dan tindakan mereka itu, berlakulah sunnatullah (ketentuan Allah) kepada mereka, iaitu sesiapa yang mentaati perintah Allah Swt dan meninggalkan larangan-larangan-Nya akan dianugerahkan kenikmatan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya sesiapa yang ingkar kepada-Nya akan sengsara hidupnya di dunia, manakala di akhirat kelak, mereka mendapat azab yang pedih. Ini adalah peringatan kepada orang-orang yang fasik dan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah bahawa sunnatullah ini boleh berlaku terhadap mereka sekiranya mereka mengingkari perintah-Nya sebagaimana yang telah berlaku pada nenek moyang mereka.
Rasulullah saw menyatakan tentang tindakan dan sikap nenek moyang mereka itu sedangkan Baginda adalah seorang nabi yang buta huruf, belum pernah berhubungan dengan orang-orang Yahudi sewaktu menerima ayat ini. Hal ini menjadi bukti kepada mereka, bahawa Baginda adalah benar-benar utusan Allah Ta’ala dan Al-Quran adalah sebuah mukjizat.
Ayat 164
وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ ٱللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدً ۖ قَالُوا۟ مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertakwa”.
Dalam ayat ini Allah Ta’ala menerangkan kepada Nabi Muhammad saw bahawa ketika berlaku perlanggaran peraturan pada hari Sabtu di kalangan kaum Yahudi, mereka terbahagi menjadi tiga golongan:
- Golongan yang mengabaikan perintah Allah Ta’ala dan melanggar larangan-Nya pada hari Sabtu dengan menggunakan tipu helah.
- Golongan yang memberi nasihat kepada golongan yang mengabaikan perintah Allah Swt dan melanggar larangan-Nya.
- Golongan yang membantah tindakan golongan yang memberi nasihat.
Golongan kedua mengatakan kepada golongan ketiga bahawa mereka memberi peringatan kepada golongan pertama adalah untuk membebaskan diri mereka daripada perbuatan dosa seandainya mereka hanya mendiamkan diri apabila melihat sesuatu kemungkaran atau kemaksiatan. Ini boleh digunakan sebagai alasan kepada Allah Ta’ala bahawa mereka telah menunaikan kewajipan mereka dengan menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dalam pada itu, mereka mengharapkan agar orang-orang yang derhaka itu sedar dan kembali ke jalan yang benar dan lurus.
Ayat 165
فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦٓ أَنجَيْنَا ٱلَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذْنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ بِعَذَابٍۭ بَـِٔيسٍۭ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ
Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa ketika kaum Yahudi yang membangkang itu tidak mahu kembali ke jalan-Nya dan tetap mengabaikan nasihat-nasihat yang telah diberikan, maka Dia menimpakan azab yang berat kepada mereka dan menyelamatkan orang-orang yang memberi nasihat.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa kaum Yahudi itu diazab bukanlah semata-mata kerana kefasikan mereka yang melanggar ketentuan-ketentuan-Nya pada hari Sabtu itu, tetapi azab ini ke atas mereka itu adalah disebabkan mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan fasik.
Ayat 166
فَلَمَّا عَتَوْا۟ عَن مَّا نُهُوا۟ عَنْهُ قُلْنَا لَهُمْ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ
Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
Ketika kaum Yahudi bertambah-tambah kezalimannya dan tidak mengendahkan nasihat-nasihat saudaranya lagi, maka Allah Swt mengazab mereka dengan menjadikan mereka sebagai kera yang hina.
Para mufassir berbeza pendapat tentang apakah orang-orang Yahudi itu dijadikan kera yang sebenarnya atau hanya sifat dan watak mereka sahaja yang seperti kera, sedangkan badan mereka seperti badan manusia biasa.
Jumhur (majoriti) mufassir menerangkan bahawa mereka benar-benar berubah menjadi kera, tetapi mereka tidak beranak, tidak makan dan minum serta tidak hidup lebih dari tiga hari.