Segolongan Bani Israil Mengikut Kebenaran
Surah 7: Al-A’raf (159)
Ayat 159
وَمِن قَوْمِ مُوسَىٰٓ أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِٱلْحَقِّ وَبِهِۦ يَعْدِلُونَ
Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
Allah Ta’ala memberitahu bahawa ada segolongan daripada Bani Israil yang mengikuti kebenaran dan berbuat adil dengan kebenaran tersebut, sebagaimana firman-firman-Nya:
“……….Di antara ahli kitab itu terdapat satu golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu pada malam hari, sedangkan mereka juga bersujud (mengerjakan solat).”
Ali ‘Imran 3:113
“Dan sesungguhnya di antara ahli kitab ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada mereka sedang mereka merendahkan hati kepada Allah dan mereka tidak menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka memperoleh pahala di sisi Rabb mereka. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya.”
Ali ‘Imran 3:199