Surah 7: Al-A’raf (157)

Sifat Nabi Muhammad saw dalam Taurat dan Injil

Surah 7: Al-A’raf (157)


Ayat 157

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِىَّ ٱلْأُمِّىَّ ٱلَّذِى يَجِدُونَهُۥ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَىٰهُمْ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ ٱلْخَبَـٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَٱلْأَغْلَـٰلَ ٱلَّتِى كَانَتْ عَلَيْهِمْ ۚ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Dalam ayat ini disebutkan sifat-sifat Nabi Muhammad saw yang terdapat dalam kitab Taurat dan Injil dan ini merupakan berita gembira kepada mereka bahawa akan diutus Nabi Muhammad saw serta mereka diperintahkan untuk mentaatinya. Baginda tidak menyuruh melainkan kebaikan dan tidak mencegah melainkan kejahatan. 

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Atha’ bin Yasar, dia mengatakan, aku pernah bertemu dengan ‘Abdullah bin ‘Amr, lalu kukatakan,  

“Beritahukan kepadaku tentang sifat Rasulullah saw yang terdapat di dalam Taurat!” Dia ‘Abdullah bin ‘Amr menjawab, “Baiklah, demi Allah, dia benar-benar disifati di dalam Taurat sama seperti yang disifati di dalam Al-Quran,  “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi, pembawa berita gembira, dan pemberi peringatan.” (Al-Ahzab 33:45).(Disebutkan juga bahawa) dia pelindung bagi orang-orang yang ummi (tidak dapat membaca dan menulis). Engkau (Muhammad) adalah hamba dan RasulKu. Aku menamaimu Muhammad dengan sebutan Al-Mutawakkil (yang berserah diri), tidak berperangai kasar dan keras, tidak menyaringkan suara di pasar, tidak membalas keburukan dengan keburukan tetapi dia memaafkan. Allah tidak akan mewafatkannya sehingga Allah dapat menegakkan agama yang telah menyimpang melaluinya dengan mengajak mereka mengucapkan, bahawa tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah dan dengannya Allah membuka hati yang tertutup, telinga yang tuli dan mata yang buta.” 

Seterusnya ‘Atha’ berkata, “Lalu kutemui Ka’ab dan kutanyakan hal tersebut kepadanya, namun jawabannya tidak berbeza, hanya sahaja dia menjawab: “Telah datang kepadaku,” lalu dia (Ka’ab) berkata, ”hati yang tertutup, telinga yang tuli dan mata yang buta.” 

(HR. Al-Bukhari dan At-Tabari) 

Maksud ayat, “menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka,” ialah dalam syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu tidak lagi ada beban-beban yang berat yang dipikulkan kepada Bani Israil seperti mensyariatkan membunuh diri untuk mengesahkan bertaubat, mewajibkan qisas bagi pembunuhan sama ada secara sengaja ataupun tidak tanpa membolehkan membayar diyat, memotong anggota badan yang melakukan kesalahan dan membuang atau menggunting pakaian yang terkena najis. 

Umat-umat terdahulu sebelum umat Nabi Muhammad saw berasa sempit atas syariat yang diberikan kepada mereka. Lalu Allah Swt mempermudahkan dan memperluaskan urusan umat ini. Oleh itu, Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya Allah memberi maaf bagi umatku yang berkata-kata dalam dirinya, selama dia belum mengucapkan atau mengerjakannya.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah saw juga bersabda: 

“Dimaafkan atas umatku kesalahan, kelupaan dan apa yang dipaksakan kepada mereka.” 

(HR. Ibnu Majah dan Baihaqi) 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang beriman kepada Rasulullah saw akan memuliakan Baginda dan menolongnya iaitu mereka mengagungkan dan menghormatinya. Mereka mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya iaitu Al-Quran dan wahyu yang dibawanya untuk disampaikan kepada umat manusia. Mereka itulah orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat.