Surah 7: Al-A’raf (148 – 153)

Kisah Nabi Musa – Penyembahan Patung Anak Lembu

Surah 7: Al-A’raf (148 – 153)


Ayat 148

وَٱتَّخَذَ قَوْمُ مُوسَىٰ مِنۢ بَعْدِهِۦ مِنْ حُلِيِّهِمْ عِجْلًا جَسَدًا لَّهُۥ خُوَارٌ ۚ أَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّهُۥ لَا يُكَلِّمُهُمْ وَلَا يَهْدِيهِمْ سَبِيلًا ۘ ٱتَّخَذُوهُ وَكَانُوا۟ ظَـٰلِمِينَ

Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke Bukit Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): “Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Bani Israil telah menyembah patung anak lembu sepanjang pemergian Nabi Musa as ke Bukit Tursina untuk menerima wahyu daripada Allah Ta’ala. Patung anak lembu itu dibuat oleh Samiri yang berasal daripada suku As-Samirah, salah satu suku daripada suku-suku yang ada di kalangan Bani Israil, firmanNya: 

“Allah berfirman, ‘Maka sesungguhnya Kami telah menguji kaummu sesudah kamu tinggalkan, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri.'” 

Taha 20:85 

Patung anak lembu ini diperbuat daripada emas perhiasan yang diambil daripada orang ramai daripada kaum Bani Israil. Emas perhiasan itu dikumpulkan oleh Samiri, dilebur dan dibuat patung yang berbentuk anak lembu. Diriwayatkan bahawa Samiri telah melihat malaikat Jibril menaiki kuda membantu Bani Israil melarikan diri daripada Firaun dan tenteranya menyeberang laut. Menurut kepercayaan Samiri, setiap benda mati yang terpijak atau terkena bekas tapak kuda itu akan hiduplah dia, seperti makhluk hidup yang biasa. Oleh itu Samiri mengambil tanah bekas tapak kuda Jibril. Sewaktu dia membuat patung anak lembu itu, maka dimasukkannyalah sebahagian tanah bekas tapak kuda ke dalam patung anak lembu itu, sehingga patung anak lembu itu hidup, bertubuh, bersuara sebagaimana anak lembu biasa. Inilah yang disembah oleh Bani Israil. 

Para ulama tafsir berselisih pendapat tentang patung anak lembu itu, adakah ia berubah menjadi berdaging dan berdarah serta boleh bersuara atau tetap sebagai patung emas tidak bernyawa, akan tetapi suara yang keluar itu hanyalah disebabkan oleh angin yang masuk ke dalam rongga patung itu sehingga bersuara seperti lembu. Ada yang mengatakan bahawa ketika patung anak lembu itu bersuara, mereka menari mengelilinginya dan terpedaya serta berkata, “Ini adalah ilah kamu dan ilah Musa.” Mereka melupakan firman Allah swt: 

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan bahawa patung anak lembu itu tidak dapat memberi jawapan kepada mereka, dan tidak dapat memberi kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan?” 

Taha 20:89 

Sesungguhnya mereka benar-benar dalam kesamaran untuk membezakan antara Tuhan Penguasa langit dan bumi, dengan makhluk yang lemah dan tiada daya. 

Ayat 149

وَلَمَّا سُقِطَ فِىٓ أَيْدِيهِمْ وَرَأَوْا۟ أَنَّهُمْ قَدْ ضَلُّوا۟ قَالُوا۟ لَئِن لَّمْ يَرْحَمْنَا رَبُّنَا وَيَغْفِرْ لَنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Ketika Nabi Musa as kembali kepada kaumnya, Baginda mendapati kaumnya telah menyembah patung, maka Baginda menerangkan bahawa mereka telah tersesat daripada petunjuk. 

Akhirnya Bani Israil menyedari kesalahan mereka yang menyembah patung anak lembu. Perbuatan mereka itu adalah suatu kesesatan kerana mereka mensyirikkan Allah Ta’ala. Oleh itu mereka menyesali perbuatan itu dan bertaubat. 

Ayat 150

وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَىٰٓ إِلَىٰ قَوْمِهِۦ غَضْبَـٰنَ أَسِفًا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِى مِنۢ بَعْدِىٓ ۖ أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ ۖ وَأَلْقَى ٱلْأَلْوَاحَ وَأَخَذَ بِرَأْسِ أَخِيهِ يَجُرُّهُۥٓ إِلَيْهِ ۚ قَالَ ٱبْنَ أُمَّ إِنَّ ٱلْقَوْمَ ٱسْتَضْعَفُونِى وَكَادُوا۟ يَقْتُلُونَنِى فَلَا تُشْمِتْ بِىَ ٱلْأَعْدَآءَ وَلَا تَجْعَلْنِى مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?” Dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.

Allah swt menyatakan bahawa tatkala Nabi Musa as kembali kepada kaumnya setelah bermunajat kepadaNya, Baginda tersangat marah dan bersedih hati kerana pengikutnya telah melakukan perbuatan yang sangat buruk iaitu menyembah patung anak lembu semasa ketiadaannya. Nabi Musa as mengatakan apakah mereka tidak bersabar menunggu kepulangan Baginda daripada bermunajat kepada Allah swt sehingga mereka membuat patung anak lembu untuk disembah. 

Kemudian Nabi Musa as melemparkan kepingan-kepingan Taurat yang ada di tangannya, lalu memegang ubun-ubun Nabi Harun as kerana Baginda menyangka Nabi Harun as tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh mencegah perbuatan kaumnya menyembah patung anak lembu itu dan tindakan-tindakan lain yang telah dilakukan selama Baginda pergi ke Bukit Tursina. Allah Ta’ala merakamkan ucapan Nabi Musa as kepada Nabi Harun as sebagaimana firmanNya: 

“Berkata (Musa), ‘Wahai Harun, apakah yang menghalang kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, (sehingga) kamu tidak mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) menderhakai perintahku?’” 

Taha 20:92-93 

Nabi Harun as tidak bersalah dan Baginda telahpun menasihati kaumnya sebelumnya sebagaimana firman Allah Ta’ala: 

“Dan sesungguhnya Harun telah berkata kepada mereka sebelumnya, ‘Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diberi ujian dengan anak lembu itu dan sesungguhnya Rabbmu ialah (Tuhan) Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.’” 

Taha 20:90 

Ayat 151

قَالَ رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَلِأَخِى وَأَدْخِلْنَا فِى رَحْمَتِكَ ۖ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.

Maka Nabi Musa as berasa menyesal kerana tergesa-gesa menarik kepala Nabi Harun as sebelum mengetahui bahawa saudaranya itu tidak bersalah. Ini kerana Baginda menyangka Nabi Harun as lalai atau tidak bersungguh-sungguh dalam mencegah kaumnya melakukan perbuatan syirik. Kemudian Nabi Musa as berdoa seperti yang disebutkan dalam ayat di atas. 

Ayat 152

إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ ٱلْعِجْلَ سَيَنَالُهُمْ غَضَبٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَذِلَّةٌ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُفْتَرِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.

Bani Israil mendapat kemurkaan Allah Ta’ala kerana mereka menyembah patung anak lembu. Dia tidak menerima taubat mereka sehingga mereka membunuh sesama mereka sebagaimana firmanNya: 

“Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, sesungguhnya kamu telah menganiaya dirimu sendiri kerana kamu telah menjadikan anak lembu (sembahanmu), maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Hal itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu, maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dia Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.’” 

Al-Baqarah 2:54 

Maksud “Orang-orang yang membuat-buat kebohongan” dalam ayat ini ialah orang-orang yang menyelisihi petunjuk dan risalah. Mereka akan dibalas dengan azab berupa kehinaan dalam kehidupan mereka. Ini termasuklah setiap orang yang membuat bid’ah, dan segala perbuatan tersebut telah menyebabkan mereka dipandang rendah dan hina dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. 

Ayat 153

وَٱلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِهَا وَءَامَنُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Ta’ala mengingatkan para hambaNya dan menunjukkan kepada mereka bahawa Dia menerima taubat mereka walau apa dosa sekalipun, iaitu dosa kemusyrikan, kekafiran, kemunafikan mahupun kederhakaan. 

Bertaubat ialah dengan menyesali apa yang telah dilakukan, berhenti melakukannya, dan berazam untuk tidak mengulanginya. Kemudian kembali kepada Allah swt dan beriman kepada apa sahaja yang telah diwajibkan olehNya. Iman tidaklah sempurna kecuali dengan amalan hati (ikhlas kerana Allah) dan diikuti dengan perbuatan yang merupakan hasil daripada  keimanan. 

Allah Maha Penerima taubat walaupun dosa mereka sepenuh bumi. Allah Maha Penyayang dengan menerima taubat mereka dan memberi taufik agar mereka mengerjakan kebaikan.