Kisah Nabi Musa as – Nabi Musa as Menerima Taurat
Surah 7: Al-A’raf (142 – 147)
Ayat 142
وَوَٰعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَـٰثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَـٰهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَـٰتُ رَبِّهِۦٓ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَـٰرُونَ ٱخْلُفْنِى فِى قَوْمِى وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.
Allah Swt menyebut tentang anugerah-Nya kepada Bani Israil berupa hidayah yang mereka peroleh melalui percakapan-Nya dengan Nabi Musa as dan juga anugerah berupa kitab Taurat yang mengandungi hukum-hukum dan syariat secara terperinci. Kemudian Allah Swt menyebutkan bahawa Dia telah memerintahkan Nabi Musa as untuk mengkhususkan dirinya kepada-Nya selama 30 malam.
Menurut para ahli tafsir, Nabi Musa as berpuasa selama waktu tersebut. Ketika waktu yang ditetapkan itu selesai, Baginda pun bersiwak dengan kulit pohon, maka Allah Swt memerintahkannya untuk menambah 10 hari lagi sehingga genap 40 hari.
Setelah menyempurnakan tempoh tersebut Nabi Musa as bertekad untuk pergi ke Bukit Tursina. Firman Allah Swt:
“Wahai Bani Israil, sesungguhnya Kami telah menyelamatkan kamu sekalian daripada musuhmu, dan Kami telah mengadakan perjanjian dengan kamu sekalian (untuk munajat) di sebelah kanan bukit itu………….”
Taha 20:80
Sebelum Nabi Musa as berangkat ke tempat yang telah ditentukan Allah Swt untuk menerima Taurat, Baginda menyerahkan kepemimpinannya kepada saudaranya Nabi Harun as dan menyatakan Nabi Harun as sebagai wakilnya, mengurus kepentingan-kepentingan Bani Israil selama Baginda berpergian, mengusahakan perbaikan di kalangan mereka. Nabi Musa as memperingatkan Nabi Harun as agar tidak mengikuti kemahuan-kemahuan dan pendapat-pendapat orang-orang yang sesat dan suka berbuat kerosakan.
Nabi Harun as adalah saudara kepada Nabi Musa as dan diangkat pula oleh Allah Ta’ala sebagai rasul dan nabi. Dalam ayat yang lain disebutkan bahawa sebelum Baginda menghadapi Firaun, Nabi Musa as telah berdoa kepada Allah Ta’ala agar melantik Nabi Harun as sebagai penolongnya, kerana lidahnya lebih petah dibandingkan dengan Baginda. Firman Allah Swt:
“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku, dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku.”
Taha 20:29-32
Ayat 143
وَلَمَّا جَآءَ مُوسَىٰ لِمِيقَـٰتِنَا وَكَلَّمَهُۥ رَبُّهُۥ قَالَ رَبِّ أَرِنِىٓ أَنظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَن تَرَىٰنِى وَلَـٰكِنِ ٱنظُرْ إِلَى ٱلْجَبَلِ فَإِنِ ٱسْتَقَرَّ مَكَانَهُۥ فَسَوْفَ تَرَىٰنِى ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُۥ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُۥ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّآ أَفَاقَ قَالَ سُبْحَـٰنَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke bukit itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada bukit itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan bukit itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa ketika Nabi Musa as sampai ke tempat yang telah dijanjikan oleh Allah Ta’ala untuk menerima wahyu-Nya dan telah berkatakata dengan-Nya secara langsung tanpa perantara, maka timbullah pada diri Baginda keinginan untuk memperoleh kemuliaan lain di samping kemuliaan berkata-kata langsung dengan-Nya. Keinginan itu ialah untuk dapat melihat Allah Ta’ala dengan jelas, lalu Nabi Musa as meminta kepada-Nya agar dapat melihat-Nya.
Allah Ta’ala menjawab permohonan Nabi Musa as dengan firman-Nya, “Kamu sekali-kali tidak sanggup untuk melihat-Ku, tetapi lihatlah kepada bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (seperti sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku.” Kalimah لَن (sekali-kali tidak) dalam ayat ini adalah untuk menafikan dapat melihat Allah Ta’ala di dunia.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan ketika Allah Ta’ala menampakkan diri-Nya kepada bukit itu, bukit tersebut hancur menjadi debu. Lalu Nabi Musa as jatuh pengsan.
Setelah Nabi Musa as sedar daripada pengsannya, barulah baginda menyedari bahawa Baginda telah meminta kepada Allah Ta’ala sesuatu yang di luar batas kemampuannya. Baginda berasa telah berbuat dosa, lalu Baginda memohon ampun dan bertaubat kepada Allah Ta’ala serta tidak akan mengulangi lagi meminta melihat-Nya. Kemudian Baginda mengatakan bahawa Baginda adalah orang yang pertama beriman kepada-Nya.
Terdapat beberapa maksud, “وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ” (“Dan aku adalah orang yang pertama beriman.”) Antaranya:
- Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid dan Ibnu Jarir mengatakan maksud ayat, “akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)” ialah Baginda adalah orang pertama beriman daripada kalangan Bani Israil.
- Dalam riwayat yang lain, Ibnu ‘Abbas ra, mengatakan maksud ayat, “akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)” ialah bahawa tidak ada seorang pun dapat melihat Allah Swt di dunia.
Ayat ini juga menjadi dalil bahawa manusia tidak memiliki kesanggupan untuk melihat Allah Ta’ala di dunia. Bukit yang kuat dan besar pun tidak dapat bertahan sehingga hancur menjadi debu. Namun di akhirat nanti orang-orang mukmin akan dapat melihat-Nya di syurga. Hal ini terdapat dalam nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang menunjukkan bahawa penghuni syurga akan melihat wajah Tuhan mereka, iaitu merupakan nikmat yang paling besar buat hamba-hamba-Nya.
Ayat 144
قَالَ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنِّى ٱصْطَفَيْتُكَ عَلَى ٱلنَّاسِ بِرِسَـٰلَـٰتِى وَبِكَلَـٰمِى فَخُذْ مَآ ءَاتَيْتُكَ وَكُن مِّنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ
Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah memilih Nabi Musa as di antara manusia yang ada pada zamannya dengan memberikan kurniaan yang tidak diberikan-Nya kepada manusia lain. Dia mengangkat Baginda sebagai nabi dan rasul serta memberinya keistimewaan dapat berbicara secara langsung dengan-Nya tanpa perantara, sedangkan wahyu-Nya kepada rasul-rasul yang lain disampaikan melalui malaikat. Firman-Nya:
“Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.”
Asy-Syura 42:51
Ayat 145
وَكَتَبْنَا لَهُۥ فِى ٱلْأَلْوَاحِ مِن كُلِّ شَىْءٍ مَّوْعِظَةً وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَىْءٍ فَخُذْهَا بِقُوَّةٍ وَأْمُرْ قَوْمَكَ يَأْخُذُوا۟ بِأَحْسَنِهَا ۚ سَأُو۟رِيكُمْ دَارَ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menurunkan kepada Nabi Musa as beberapa keping lauh yang dituliskan di atasnya petunjuk-petunjuk dan pengajaran-pengajaran, janji dan ancaman, bab agama berupa akidah, adab-adab dan hukum-hukum yang berkaitan dengan yang halal dan haram.
Lauh adalah kepingan-kepingan daripada batu atau kayu yang tertulis padanya isi Taurat yang diterima oleh Nabi Musa as setelah bermunajat di Bukit Tursina.
Allah Ta’ala memerintahkan agar Nabi Musa as dan kaumnya berpegang teguh kepada ajaran-ajaran, petunjuk-petunjuk, dan hukum-hukum yang ada di dalam lauh itu. Dengan demikian akan terbentuklah budi pekerti yang baik di kalangan Bani Israil, baik pula ibadat mereka sehingga tertutuplah pintu-pintu syirik kepada mereka. Firman Allah Swt:
“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat.”
Al-Qasas 28:43
Sekiranya Nabi Musa as dan kaumnya tidak memegang teguh apa yang Allah Ta’ala telah turunkan, maka mereka akan menjadi fasik seperti yang telah berlaku pada kaum ‘Aad, Thamud, Firaun dan kaumnya serta Dia akan memperlihatkan kebinasaan atau kehancuran yang dialami orang-orang yang mengingkari-Nya.
Ayat 146
سَأَصْرِفُ عَنْ ءَايَـٰتِىَ ٱلَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَإِن يَرَوْا۟ كُلَّ ءَايَةٍ لَّا يُؤْمِنُوا۟ بِهَا وَإِن يَرَوْا۟ سَبِيلَ ٱلرُّشْدِ لَا يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًا وَإِن يَرَوْا۟ سَبِيلَ ٱلْغَىِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ عَنْهَا غَـٰفِلِينَ
Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan memalingkan hati orang-orang yang takabur, menyombongkan diri untuk memahami bukti-bukti dan dalil-dalil yang dibawa para rasul terutama yang berhubung dengan kekuasaan dan kebesaranNya, dan menghalang pula mereka daripada dapat melaksanakan agama-Nya dan mengikuti petunjuk ke jalan yang benar. Firman-Nya:
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”
As-Saf 61:5
Ayat 147
وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَلِقَآءِ ٱلْـَٔاخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ ۚ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).
Allah Ta’ala menerangkan bahawa orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya yang telah diturunkan kepada rasul-Nya dengan cara yang benar, tidak mempercayai akan adanya pertemuan dengan-Nya pada hari akhirat dan juga tidak mempercayai adanya pembalasan yang akan diberikan pada hari itu, maka segala amal baik yang telah mereka lakukan di dunia tidak akan diberikan pahala oleh-Nya. Ini kerana mereka mengikuti hawa nafsu dan keinginan mereka. Oleh itu, bagi mereka seksaan dan Allah Maha Adil, Dia tidak akan menganiaya mereka sedikitpun. Ini semua adalah atas pilihan mereka sendiri.