Surah 7: Al-A’raf (130 – 137)

Kisah Nabi Musa – Bencana Melanda Mesir

Surah 7: Al-A’raf (130 – 137)


Ayat 130

وَلَقَدْ أَخَذْنَآ ءَالَ فِرْعَوْنَ بِٱلسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

Allah Ta’ala menyatakan fasa-fasa permulaan terhadap kemusnahan Firaun dan para pengikut yang setia kepadanya, sebagai akibat daripada kekafiran dan pendustaan mereka terhadap utusanNya. Azab yang disebutkan dalam ayat ini merupakan pendahuluan, sebelum datangnya azab terakhir yang menyebabkan kehancuran keseluruhannya bagi mereka. 

Allah Ta’ala menurunkan malapetaka kepada Firaun dan kaumnya akibat perbuatan zalim mereka. Bumi Mesir didatangi musim kemarau yang panjang, tanaman tidak menjadi dan penduduknya mengalami kekurangan makanan. Tujuan Allah swt menimpakan musibah ini adalah supaya mereka insaf dan mengambil pelajaran. 

Ayat 131

فَإِذَا جَآءَتْهُمُ ٱلْحَسَنَةُ قَالُوا۟ لَنَا هَـٰذِهِۦ ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا۟ بِمُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُۥٓ ۗ أَلَآ إِنَّمَا طَـٰٓئِرُهُمْ عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Ayat ini menerangkan sifat kebanyakan manusia. Ketika mereka memperoleh kesenangan hidup, mereka menyangka semua kenikmatan yang diperoleh itu adalah daripada hasil usaha mereka sendiri dan melupakan bahawa semua nikmat tersebut adalah rahmat daripadaNya yang patut mereka syukuri. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa apabila Firaun dan pengikutnya mengalami masa subur dan limpahan rezeki, mereka mengatakan semua itu milik mereka dan menjadi hak mereka. Namun apabila mereka mengalami kesusahan, kelaparan, penyakit dan sebagainya, mereka melemparkan semua kesalahan itu kepada Nabi Musa as. Mereka mengatakan bahawa semua malapetaka itu disebabkan oleh kesalahan Baginda dan kaumnya. 

Mereka melupakan kejahatan dan kezaliman yang telah mereka lakukan terhadap kaum Nabi Musa as iaitu sebelum itu mereka telah menjadikan Bani Israil sebagai hamba dan memperlakukan mereka dengan sewenang-wenangnya. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa musibah yang menimpa diri mereka itu adalah ketetapanNya. Ini bersesuaian dengan sunnahNya yang berlaku bagi semua makhlukNya, iaitu sesuai dengan sebab dan akibat, sehingga apa yang terjadi kepada manusia adalah merupakan akibat daripada sikap, perbuatan dan tingkah laku mereka. Namun kebanyakan mereka tidak mahu mengambil pengajaran. Mereka tetap berada dalam kekafiran dan kezaliman. 

Dosa-dosa dan kekafiran merekalah yang menjadi penyebab kenapa mereka ditimpa musibah itu. 

Ayat 132

وَقَالُوا۟ مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِۦ مِنْ ءَايَةٍ لِّتَسْحَرَنَا بِهَا فَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.

Allah swt menerangkan tentang kederhakaan para pengikut Firaun dan penentangan mereka terhadap kebenaran. Ini jelas melalui ucapan mereka bahawa mereka sekali-kali tidak akan menerima apa pun keterangan dan bukti-bukti yang dibawa oleh Nabi Musa as. Ini bermaksud mereka tidak akan menerima agama Allah Ta’ala yang disampaikan oleh Baginda. 

Mereka menganggap bahawa keterangan-keterangan yang telah disampaikan oleh Nabi Musa as kepada mereka bagi membuktikan kerasulannya, adalah sihir untuk mempengaruhi mereka, supaya meninggalkan agama nenek moyang mereka. 

Ayat 133

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلطُّوفَانَ وَٱلْجَرَادَ وَٱلْقُمَّلَ وَٱلضَّفَادِعَ وَٱلدَّمَ ءَايَـٰتٍ مُّفَصَّلَـٰتٍ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebagai akibat daripada keingkaran, kekafiran dan kezaliman mereka, Dia telah menurunkan azab yang lebih dahsyat kepada mereka berupa taufan yang melanda rumah dan tumbuh-tumbuhan. Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa taufan ini adalah hujan lebat yang menenggelamkan dan merosakkan semua tanaman dan buah-buahan serta banyaknya kematian. Mujahid mengatakan, taufan ini adalah banjir dan mengakibatkan penyakit ta’un (kolera). 

Kemudian datang pula belalang yang membinasakan tanam-tanaman mereka, dan akhirnya muncul musibah lain yang menjadikan air minuman mereka berubah rasa, berubah bau dan warnanya seperti darah yang mereka tidak dapat meminumnya. 

Demikianlah lima jenis azab iaitu berupa taufan, belalang, kutu, katak dan darah yang ditimpakan oleh Allah Ta’ala bertubi-tubi kepada Firaun dan kaumnya sebagai bukti yang jelas dan nyata. Namun walaupun mereka dalam keadaan demikian, mereka tetap sombong dan angkuh terhadap Nabi Musa as. Akibat daripada kesombongan dan keangkuhan mereka ini, Allah swt membiarkan mereka di atas kesesatan. 

Ayat 134

وَلَمَّا وَقَعَ عَلَيْهِمُ ٱلرِّجْزُ قَالُوا۟ يَـٰمُوسَى ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفْتَ عَنَّا ٱلرِّجْزَ لَنُؤْمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرْسِلَنَّ مَعَكَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu”.

Apabila mereka sudah tidak lagi dapat bertahan dengan musibah-musibah tersebut, mereka pun meminta pertolongan kepada Nabi Musa as agar Baginda berdoa memohon kepada Allah Ta’ala agar membebaskan mereka daripada penderitaan azab tersebut. Mereka berjanji sekiranya musibah itu dapat dihilangkan maka mereka akan beriman dengan apa yang disampaikan oleh Baginda dan akan membebaskan Bani Israil untuk pergi bersama-samanya. 

Ayat 135

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ ٱلرِّجْزَ إِلَىٰٓ أَجَلٍ هُم بَـٰلِغُوهُ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ

(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menerima permohonan Nabi Musa as dan menghapuskan musibah-musibah tersebut, tiba-tiba mereka mengingkari janji mereka dan berterusan melakukan kekafiran. Janji mereka adalah akan beriman kepada Musa as dan akan melepaskan Bani Israil, namun mereka tidak menepatinya. Mereka tetap kafir kepada Nabi Musa as dan tetap menindas Bani Israil. 

Ayat 136

فَٱنتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ عَنْهَا غَـٰفِلِينَ

Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

Allah Ta’ala menyatakan tatkala mereka terus-menerus menentang dan memungkiri janji demi janji padahal Dia telah menguji mereka dengan menimpakan azab yang bertubi-tubi satu demi satu, maka akhirnya Dia mengazab mereka dengan menenggelamkan mereka ke dalam laut. 

Ketika tiba waktu untuk menghukum mereka, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as membawa pergi Bani Israil pada malam hari. Firaun dan tenteranya menyusul mereka dan mengejar mereka dari belakang melalui jalan yang sama menyeberangi lautan. Ketika Firaun dan tenteranya berada di tengah lautan, air laut menggulung dan menenggelamkan mereka semuanya. Allah Ta’ala menyelamatkan Nabi Musa dan orang-orang yang bersamanya. 

Ayat 137

وَأَوْرَثْنَا ٱلْقَوْمَ ٱلَّذِينَ كَانُوا۟ يُسْتَضْعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ بِمَا صَبَرُوا۟ ۖ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُۥ وَمَا كَانُوا۟ يَعْرِشُونَ

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)

Setelah Allah Ta’ala menenggelamkan Firaun dan kaumnya di Laut Merah, Nabi Musa as bersama Bani Israil dapat menyeberanginya dengan selamat sehingga sampai ke semenanjung Sinai, dalam perjalanan menuju Palestin. 

Ayat ini menerangkan salah satu nikmat Allah Ta’ala yang paling besar dilimpahkanNya kepada Bani Israil yang beriman, sabar dan tabah dalam menghadapi penderitaan dan kesengsaraan yang mereka alami. Selepas tenggelamnya Firaun dan tenteranya, maka tertunailah janji Allah Ta’ala iaitu untuk memberikan pertolongan dan nikmat kepada orang-orang yang menegakkan agamaNya, menegakkan kebenaran dan menghancurkan orang-orang yang meruntuhkan agamaNya dan menekan kebatilan. 

Demikian juga sempurnalah suatu peristiwa iaitu berkuasanya Bani Israil di bahagian timur bumi yang subur dan penuh berkah itu. Dia menepati janjiNya yang berupa pemberian nikmat yang besar kepada Bani Israil. FirmanNya: 

“Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman berserta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan daripada mereka itu.” 

Al-Qasas 28:5-6 

Sesuai pula dengan janji Allah swt, maka Dia telah menghancurkan semua bangunan yang didirikan oleh Firaun yang tujuannya untuk menyombongkan diri dan menghancurkan agamaNya, seperti kota-kota dan istana-istana yang indah, bangunan-bangunan yang besar untuk orang-orang Mesir, taman-taman dan kebun-kebun yang permai, menara yang dibina oleh Haman untuk melihat dan membinasakanNya dan sebagainya. Firman Allah swt: 

“Dan berkata Firaun, ‘Wahai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang yang berdusta.” 

Al-Qasas 28:38 

Hal ini dapat dijadikan panduan oleh kaum muslimin, bahawa janji Allah swt kepada seluruh orang-orang beriman adalah sama dengan janjiNya kepada para rasul terdahulu, sewaktu mereka berjuang menegakkan agama Allah swt iaitu menolong dan memenangkan setiap usaha menegakkan agamaNya dan menegakkan kebenaran, sebagaimana firmanNya: 

“Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” 

Muhammad 47:7