Surah 7: Al-A’raf (11 – 25)

Perjanjian Iblis

Surah 7: Al-A’raf (11 – 25)


Perjanjian Iblis untuk menghasut Manusia

Iblis berjanji untuk menghasut manusia dari hadapan, belakang, kiri dan kanan mereka

Ayat 11

وَلَقَدْ خَلَقْنَـٰكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَـٰكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.

Allah Ta’ala menyebutkan kisah perintahNya kepada malaikat untuk bersujud kepada Nabi Adam as sebagai penghormatan dan pemuliaan kepada Baginda as dan bukannya sujud ibadah kerana tidak ada yang disembah kecuali Allah swt semata. Lalu semua malaikat bersujud kepada Nabi Adam as kecuali Iblis yang berasal daripada golongan jin. Ia enggan, sombong dan tidak termasuk yang bersujud. 

Ayat 12

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِى مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُۥ مِن طِينٍ

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

Allah Ta’ala bertanya tentang sebab-sebab yang menghalang Iblis daripada bersujud kepada Nabi Adam as. Lalu ia menjawab bahawa ia lebih baik daripada Nabi Adam as kerana ia diciptakanNya daripada api sedangkan Nabi Adam as diciptakan daripada tanah. 

Perkataan Iblis, “Aku lebih baik daripadanya” adalah suatu alasan yang merupakan dosa yang paling besar. Ini kerana seolah-olah ia menolak untuk melakukan ketaatan kerana yang lebih mulia tidak diperintahkan untuk bersujud kepada yang lebih rendah keutamaannya. Oleh itu dengan menganggap ia lebih mulia daripada Nabi Adam as, ia mempersoalkan mengapa Allah swt memerintahkannya sujud kepadanya. 

Iblis melihat kepada asal penciptaannya daripada api yang disangkakannya lebih mulia daripada tanah, bukan kepada penghormatan yang besar iaitu Allah Ta’ala menciptakan Nabi Adam as dengan tanganNya. Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan kebiasaan api adalah membakar, merosak dan keadaannya tidak kukuh (goyang). Sedangkan keadaan tanah adalah tenang, mudah diolah dan teguh. Oleh sebab itu, Nabi Adam as yang diciptakan daripada tanah lebih mudah rujuk (kembali kepada Allah swt), bertaubat, tunduk kepada perintah Allah swt, mengakui kesalahan dan meminta keampunanNya. Ini berbeza dengan Iblis yang malah semakin sombong dan angkuh. 

Ayat 13

قَالَ فَٱهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَٱخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ

Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.

Oleh sebab Iblis membangkang dan melanggar perintah Allah Ta’ala maka ia dihalau dari syurga. Ini kerana syurga adalah tempat bagi golongan yang ikhlas dan tawadhuk bukannya tempat golongan yang membangkang dan menyombongkan diri. 

Ayat 14

قَالَ أَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.

Iblis terkutuk lalu menyedari dan meminta agar diberi penangguhan sehingga Nabi Adam as dan keturunannya dibangkitkan iaitu sehingga hari kiamat. 

Ayat 15

قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ

Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.

Allah Ta’ala mengabulkan permintaan Iblis iaitu diberi penangguhan kematian sehingga waktu sangkakala pertama, firmanNya: 

“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusan masing-masing).” 

Az-Zumar 39:68 

Penangguhan tersebut merupakan hikmah (kebijaksanaan), iradah (keinginan) dan masyi’ah (kehendak) Allah swt yang tidak boleh dicegah. 

Ayat 16

قَالَ فَبِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَٰطَكَ ٱلْمُسْتَقِيمَ

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Ketika Iblis diberi tangguh sehingga sampai hari kebangkitan, maka ia mulai melakukan penentangan dan bertindak sewenang-wenangnya. Ia mengatakan oleh sebab Allah swt telah menyesatkannya, maka ia berjanji akan menyesatkan dan menghalang keturunan Nabi Adam as daripada mengikuti jalan kebenaran. Ia akan menjadikan keturunan Nabi Adam as memandang baik jalan-jalan yang sesat dan menyimpang, lalu mereka tidak lagi mentauhidkan Allah swt. 

Iblis terkutuk menyedari bahawa dia dilaknat oleh Allah Ta’ala maka ia berjanji bahawa ia akan bersama dengan manusia ketika mereka masih hidup untuk membalas dendam dengan cara menyesatkan mereka kesemuanya dan ia akan menyaksikan kehancuran hidup dan kebangkitan mereka kelak. 

Ayat 17

ثُمَّ لَـَٔاتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَـٰنِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَـٰكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Oleh itu syaitan tidak akan membiarkan satu arah pun daripada empat arah ini iaitu kanan, kiri, belakang dan depan kecuali akan didatanginya untuk menghasut manusia agar tidak menyembah dan mentauhidkan Allah Ta’ala. Lalu menjadikan kebanyakan manusia tidak mensyukuri nikmat-nikmatNya dan tidak pula mentaati perintah-perintahNya. Ucapan Iblis ini hanyalah sangkaan dan angan-angannya namun sesuai dengan kenyataan yang berlaku ketika ini sebagaimana dalam firmanNya: 

“Dan sesungguhnya Iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman. Dan tidak adalah kekuasaan Iblis terhadap mereka, melainkan hanyalah agar Kami dapat membezakan siapa yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat daripada siapa yang ragu-ragu tentang itu. Dan Rabbmu Maha Memelihara segala sesuatu.” 

Saba’ 34:20-21 

Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra, “aku akan mendatangi mereka dari depan” bermaksud memberikan keraguan tentang hari akhirat, “dari belakang mereka” menjadikan mereka senang kepada kehidupan dunia, “dari kanan” menjadikan mereka samar tentang urusan agama mereka dan “dari kiri mereka” bermaksud Iblis menjadikan mereka senang kepada kemaksiatan. 

Ibnu ‘Abbas ra berkata tentang, “aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka.” Namun tidak dikatakan dari atas mereka kerana rahmat Allah Ta’ala turun dari atas. 

Ayat 18

قَالَ ٱخْرُجْ مِنْهَا مَذْءُومًا مَّدْحُورًا ۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنْهُمْ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمْ أَجْمَعِينَ

Allah berfirman: “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia melaknat dan mengusir Iblis dari tempat yang tinggi darjatnya iaitu syurga dengan keadaan terhina dan dijauhkan daripada rahmatNya. Dia bersumpah bahawa Iblis dan sesiapa yang mengikutinya dengan mensyrikkanNya akan dimasukkan dalam neraka Jahannam. FirmanNya: 

“(Allah) berfirman, ‘Pergilah, sesiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup. Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan bersatulah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan janjikanlah mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka. Sesungguhnya hamba-hambaKu, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Rabbmu sebagai Penjaga.'” 

Al-Isra’ 17:63-65 

Ayat 19

وَيَـٰٓـَٔادَمُ ٱسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ ٱلْجَنَّةَ فَكُلَا مِنْ حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

“Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim”.

Allah Ta’ala membolehkan Nabi Adam as dan isterinya, Hawa’ tinggal di dalam syurga dan memakan daripada semua yang mereka inginkan kecuali satu pohon sahaja. Sekiranya mereka memakan daripada pohon tersebut, mereka akan termasuk orang-orang yang menzalimi diri sendiri kerana melakukan apa yang menyebabkan mereka dihukum. 

Ayat 20

فَوَسْوَسَ لَهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ لِيُبْدِىَ لَهُمَا مَا وُۥرِىَ عَنْهُمَا مِن سَوْءَٰتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّآ أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ ٱلْخَـٰلِدِينَ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

Oleh sebab syaitan iri hati kepada Nabi Adam as dan isterinya, maka ia membuat perancangan jahat berupa tipu daya kepada mereka berdua untuk merampas kenikmatan dan pakaian yang elok daripada mereka. Lalu ia menjadikan mereka memandang baik apa yang membahayakan diri mereka. 

Syaitan membisikkan kepada kedua-duanya bahawa Allah Ta’ala tidak melarang mereka memakan dari pohon itu kecuali dengan dua sebab iaitu mereka akan menjadi malaikat atau kekal di syurga sebagaimana dalam firmanNya dalam surah yang lain: 

“Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata, ‘Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi), dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” 

Taha 20:120 

Ayat 21

وَقَاسَمَهُمَآ إِنِّى لَكُمَا لَمِنَ ٱلنَّـٰصِحِينَ

Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua”.

Iblis terus-menerus memperdaya dan menggoda kedua-duanya dengan mendorong mereka memakan dari pohon tersebut dengan janji dan sumpah yang diperkuatkan sehingga kedua-duanya lupa terhadap peringatan Allah Ta’ala tentang Iblis itu adalah musuh mereka. FirmanNya: 

“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka dia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat.” 

Taha 20:115 

Ayat 22

فَدَلَّىٰهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا ٱلشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ ٱلْجَنَّةِ ۖ وَنَادَىٰهُمَا رَبُّهُمَآ أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَن تِلْكُمَا ٱلشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُمَآ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Iblis berjaya membuatkan Nabi Adam as dan isterinya makan daripada pohon itu dengan sumpah menggunakan namaNya untuk menipu. 

Ketika mereka memakan daripada pohon itu maka nampaklah aurat mereka. Lalu bersegeralah mereka menjadikan daun demi daun dari pohon syurga itu untuk menutup aurat mereka. 

Lalu Allah Ta’ala mengingatkan mereka bahawa bukankah Dia telah memberi amaran bahawa syaitan itu adalah musuh mereka yang nyata. Syaitan hanyalah bertujuan mengeluarkan mereka dari syurga, tempat yang penuh kenikmatan kepada tempat yang penuh kesengsaraan dan kepenatan. 

Ayat 23

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Adam as dan isterinya, Hawa’ menyedari kesalahan mereka kerana menuruti ajakan syaitan iaitu memakan dari pohon larangan dan meninggalkan perintahNya. Mereka sangat menyesali perbuatan mereka, lalu segera bertaubat dengan penuh rendah hati. Mereka mengucapkan doa seperti di atas yang diilhamkan oleh Allah Ta’ala kepada mereka. Lalu Dia memperkenankan doa mereka seperti dalam firmanNya: 

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimah daripada Rabbnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” 

Al-Baqarah 2:37 

Ketika itu, Allah swt memberi hidayah dan taufik kepada mereka berdua untuk memohon ampun dan bertaubat. 

Berdasarkan ayat ini, sesiapa yang terlibat dengan dosa dan maksiat, kemudian mengakui kesalahan, meminta ampun dan bertaubat, maka Allah swt akan memberikannya petunjuk sebagaimana yang diberikanNya kepada Nabi Adam as. Sebaliknya sesiapa yang terlibat dengan dosa, kemudian berputus asa, tidak meminta ampun dan bertaubat, sepertimana perlakuan Iblis, maka semakin bertambah dosanya, dan dia akan semakin jauh daripada rahmat Allah swt. 

Ayat 24

قَالَ ٱهْبِطُوا۟ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

Allah berfirman: “Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”.

Setelah Allah Ta’ala menerima taubat Nabi Adam as dan isterinya, Dia memerintahkan mereka keluar dari syurga. FirmanNya: 

“Maka kedua-duanya memakan daripada buah pohon itu, lalu nampaklah bagi kedua-duanya aurat mereka dan mulailah kedua-duanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan derhakalah Adam kepada Rabbnya dan sesatlah dia. Kemudian Rabbnya memilihnya maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.” 

Taha 20:121-122 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa selain Nabi Adam as dan isterinya, Iblis juga diperintahkan keluar dari syurga. Kemudian Dia menjelaskan bahawa akan berlaku permusuhan antara jin dan manusia. Oleh itu Dia mengingatkan manusia agar berhati-hati dengan bisikan syaitan sebagaimana firmanNya: 

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” 

Fatir 35:6 

Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan bahawa mereka akan tinggal dan menetap di bumi. Bumi dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan sebagai sumber kehidupan yang menyenangkan mereka sehingga sampai kepada waktu yang telah ditentukan olehNya iaitu pada waktu berakhirnya ajal dan tibanya hari kiamat bersesuaian dengan firmanNya: 

“Daripada bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan darinya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.” 

Taha 20:55 

Ayat 25

قَالَ فِيهَا تَحْيَوْنَ وَفِيهَا تَمُوتُونَ وَمِنْهَا تُخْرَجُونَ

Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa di bumi inilah mereka akan hidup sepanjang umur yang telah ditakdirkan bagi mereka dan di bumi ini pula mereka akan mati apabila sampai ajal mereka, suatu ketentuan yang tak dapat diubah lagi, tidak dapat dipercepatkan dan tidak juga dapat ditangguhkan sebagaimana firman-firmanNya: 

“Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaatpun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya.” 

Al-A’raf 7:34 

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu kerjakan.” 

Al-Munafiqun 63:11 

“Turunlah kamu berdua dari Syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, lalu sesiapa yang mengikut petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka…………….” 

Taha 20:123-124